Kira-kira 500 dahulu, seorang wanita Brahmin di Benares melahirkan seorang bayi yang cantik. Oleh sebab-sebab tertentu, bayi itu dimasukkan ke dalam sebuah bakul dan diapungkan di tasik yang ditumbuhi juga oleh bunga lotus. Bayi itu dijumpai oleh sepasang suami isteri Muslim bernama Niru dan isterinya Nima. Bayi itu sedang menangis. Bayi itu diambilnya dinamakan Kabir dan dipelihara sehingga menjadi seorang kanak-kanak yang baik dan pintar. Kabir dihantar belajar kepada seorang guru yang bijak di Benares, ketika umurnya 16 tahun dia telah belajar agama Islam dan Hindu tetapi yang paling disukainya ialah ajaran yang dikemukakan oleh Ramanand di mana pokok ajaran itu adalah sepertimana berikut:
- Tuhan itu Maha Esa
- Kebenaran adalah teman manusia yang paling besar
- Kehidupan yang sederhana adalah jalan menuju ke nirwana.
Beliau juga berminat dan pandai mengarang sajak. Sajaknya ramai digemari oleh penduduk Benares. Beliau berkahwin dan mempunyai dua orang anak. Seorang lelaki dinamakan Kamal dan yang perempuan dinamakan Kamali. Pekerjaan Kabir ialah sebagai penenun.
Di suatu hari Kabir pergi ke sungai Gangga, menyaksikan beribu-ribu penganut agama Hindu mandi di sungai itu untuk membersihkan dosa. Di situ Kabir berjumpa dengan dua orang pendeta. Kabir berbincang mengenai karya Ramanand terutamanya tentang ketuhanan; tetapi ini tidak disukai oleh pendeta itu. Malah ada di antaranya yang mengatakan bahawa datuk nenek mereka tidak salah menyembah para dewa. Kebetulan salah seorang pendeta itu haus. Kabir menyenduk air sungai itu dengan cangkirnya dan diberikan kepada pendeta yang haus itu. Pendeta itu tidak mahu menerima dengan alasan Kabir dari kasta yang lebih rendah daripadanya. Kesombongan pendeta itu menyebabkan Kabir berkata yang maksudnya:
"Jika air Sungai Gangga tak dapat membersihkan cangkir saya ini, bagaimana pula ia akan membersihkan dosa anda? Jika anda orang-orang Brahmin menyentuh orang dari kasta lain, kamu menyangka diri kamu menjadi kotor, kamu bangga dengan kesombongan; dan kesombongan takkan dapat menghasilkan kebaikan".
Setelah itu Kabir terus meninggalkan tempat itu. Seterusnya Kabir terus mengarang sajak-sajaknya dan dalam khutbah-khutbahnya beliau mengajar penentangan ke atas kesombongan, kebanggaan diri dan kasta dan penyembahan berhala. Beliau mengajar pengabdian kepada Tuhan yang Esa. Kabir menyatakan bahawa setiap agama itu mengandungi kebenaran, Tuhan hanya Satu, disebut berbagai nama: Allah, Rama atau Krishna. Masjid dan rumah-rumah berhala Hindu sama sucinya. Di mana-mana kita berada katanya kita dijumpai Tuhan.
Beliau mati di kala umurnya 79 tahun. Mayatnya menjadi rebutan di antara orang Brahmin dengan orang Muslim. Masing-masing mendakwa Kabir memeluk agamanya. Mengikut legenda, bilamana kain yang menyelubungi mayatnya dibuka, mayatnya tiada, hanya dijumpai sekuntum bunga. Sekarang ada dua kubur Kabir. Satu di perkuburan Islam dan satu lagi di perkuburan Hindu.
Para pengikut Kabir mengumpulkan ucapan dan tulisannya dan dibukukan dalam sebuah buku dikenali dengan "Bijak". Para pengikutnya menyebut Kabir Panthis yang bermaksud "Pengikut jalan Kabir". Sekarang lebih daripada sejuta orang menjadi pengikut Kabir. Mereka ini melakukan upacara-upacara tersendiri dengan menyaksikan lagu-lagu yang digubah oleh Kabir sendiri dari 500 tahun dahulu.
Rujuk halaman 332-334 dalam buku Islam, Pelbagai Agama dan Kepercayaan.
No comments:
Post a Comment