Wednesday, October 2, 2013

Persoalan yang ditimbulkan oleh para cendekiawan Hindu tentang Keadilan Tuhan

Jika Tuhan (Allah) itu adil, mengapa wujudnya seseorang bayi itu dilahirkan tidak semuanya sama iaitu ada setengahnya yang sempurna manakala setengahnya cacat seperti buta, tuli, pekak atau sebagainya?Setengahnya dilahirkan dalam keluarga dalam keluarga yang miskin dan setengahnya dilahirkan dalam keluarga yang kaya?

1. Kehidupan manusia di dunia ini adalah satu ujian dari Allah. Ini dapat diteliti pada Al-Quran, surah Al-Mulk, ayat 67:2 yang bermaksud; "Dialah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu)- untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; Dan Ia Maha Kuasa (membalas  amalan kamu), lagi Amat Pengampun (kepada orang-orang bertaubat);"

Ini bermakna bahawa manusia yang wujud di dunia ini dijadikan Allah hanya sebagai ujian manakala di antara manusia ini yang iman dan bertakwa kepada-Nya. Ini juga dijelaskan-Nya lagi dalam Al-Quran, surah Al-Dhariyat, 51:56 yang bermaksud; 

"Dan (ingatlah), tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada Ku".

Sesungguhnya Allah menyatakan dalam Al-Quran bahawa Ia akan menguji manusia ini dalam beberapa cara iaitu di dapati sebagaimana berikut:

a. Surah Al-Baqarah, ayat 2:214 yang bermaksud;

"Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, pada hal belum sampai kepada kamu (ujian dan dugaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit , serta digoncangkan ancaman bahaya dan musuh), sehingga berkatalah (oleh rasul dan orang-orang yang beriman) yang ada bertanya: "Bilakah (datangnya) pertolongan Allah" Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kami bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)".

b. An-Quran surah Al-'Ankabut, ayat 29:2 yang bermaksud, "Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaab?)".

c. Al-Quran, surah Al-Anbiya', ayat 21:35 yang bermaksud; "Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada kamilah kamu sekaliannya akan dikembalikan".

d. Al-Quran surah Al-Baqarah, ayat 2:155 yang bermaksud, "Demi sesungguhnya, kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan takut (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar".

e. Al-Quran surah Al-Anfaal, ayat 8:28 yang bermaksud; "Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar".

2. Sesungguhnya balasan di akhirat terhadap manusia adalah berasaskan berat ringannya apa yang dilakukannya di dunia ini. Maksudnya kalaulah ujian di dunia ini telah susah dan berat dalam melakukan amalan dan kebaikan demi untuk agama Allah (Islam), maka akan ringanlah hisabnya di akhirat. Kalaulah Allah telah mengujinya dengan kemiskinan di dunia ini, bermakna zakat tidak diwajibkan ke atasnya. Oleh itu hisab terhadap tugasnya membelanjakan harta benda itu tidak sangat dipersoalkan di akhirat nanti. Di sebaliknya bagi orang kaya diwajibkan zakat ke atasnya; contohnya dikenakan 2.5 peratus ke atas keuntungan perniagaannya. Kiranya ia tidak membayar zakat, dikenakan hukuman berat di akhirat. Begitulah juga ujian-ujian lain terhadap tingkah laku dan cara mana ia dapat harta dan cara mana membelanjakan (halal / haram) terhadap hartanya itu.

Sila rujuk halaman 251-253 dalam buku Islam, Pelbagai Agama dan Kepercayaan.

No comments: