Friday, October 25, 2013

Jalan Tuhan

"Syinto" berasal daripada bahasa Cina Shen-tao bermaksud Jalan Dewata. Orang Jepun menyebut Kami-no-michi bermaksud Jalan Tuhan. Kami dalam bahasa Jepun bermaksud "Dewa-dewa/tuhan/kekuatan luar biasa (super natural).

Orang Jepun percayakan dewa-dewi. Kitab suci  yang mengesahkan dewa-dewi "Syinto" dikenali dengan nama Nihongi. Di antara para dewa dan dewi itu yang dianggap ketuanya ialah Amaterasu-Omi-Kami (dewi matahari) yang memerintah cahaya dan siang. Ianya sangat baik hati dan bertertib, penyebar perdamaian dan juga bertugas sebagai mengatur penyediaan makanan.

Dewa Susa-no-wo yang menjaga taufan adalah saudara lelaki dewi Amaterasu-Omi-Kami. Pada suatu hari  Susa-no-wo mengacau di wilayah Amaterasu-Omi-Kami menyebabkan Amaterasu-Omi-Kami amat terganggu dan melarikan diri di suatu tempat di kayangan. Akibatnya dunia menjadi gelap. Para dewa berkumpul di pintu tempat persembunyian Amaterasu-Omi-Kami itu sambil  menyanyi dan menari. Berhampiran dengan pintu tempat persembunyiannya itu para dewa-dewi menggantungkan cermin pada pokok yang berada di tepi pintu berkenaan. Kebisingan itu menyebabkan Amaterasu-Omi-Kami menjenguk keluar dan beliau ternampak wajahnya di cermin itu. Beliau menghulurkan tangannya untuk mengambil cermin itu; tetapi sempat ditarik tangannya oleh para dewa menyebabkan Amaterasu-Omi-Kami terkeluar daripada tempat persembunyiannya itu. Sebaik sahaja  dewi itu terkeluar, cahaya cerah menjadi siang. Para dewa-dewi menghukumnya dengan mengusirnya ke Izumo.

Sesungguhnya cerita ini mungkin dikaitkan dengan gerhana matahari. Atau kaitannya dengan musim sejuk (cuaca mudah gelap) dan musim panas (cuaca terang). Amaterasu-Omi-Kami dipercayai oleh orang Jepun sebagai ketua dewa Syinto. Ianya mempunyai ibadat terletak di Ise. Segala benda pusaka sakti iaitu sebuah cermin, sebilah pedang dan seuntai tasbih dianggap berasal daripada dewi ini disimpan di sini.

Legenda Jepun dikatakan ada mengesahkan bahawa Amaterasu-Omi-Kami telah menghantarkan puteranya yang bernama Ni-nigi untuk memerintahkan di kepulauan Jepun dan kemudiannya berkahwin dengan puteri gunung Fuji. Keturunannya bernama Jimmu Tenno telah menjadi maharaja Jepun yang pertama. Dengan ini kewibawaan Amaterasu-Omi-Kami terus terasa  selagi keturunannya itu berkuasa sebagai maharaja Jepun yang dikenali sebagai salsilah Tenno-Heika yang masih bertakhta di Jepun sekarang.

Para bangsawan Jepun sekarang ini pula dikatakan keturunan daripada para dewa lainnya yang lebih rendah. Amaterasu-Omi-Kami dipercayai oleh orang Jepun sebagai Tuhan yang maha Tinggi menguasai alam dewa, maka keturunannya pula (Tenno) menguasai alam manusia iaitu bangsa Jepun sekarang.

Mengikut Mitos Jepun bahawa ada kira-kira 800,000 para dewa rendah daripada Amaterasu-Omi-Kami. Mereka  itu dipercayai adalah roh daripada pelbagai  kehebatan benda-benda di alam ini seperti  gunung, laut, bukit, pokok dan sebagainya. Roh itu adalah menjadi pujaan orang Jepun. Paling penting pujaanya ialah roh bahan makanan dan pertanian. Roh-roh itu ada mempunyai lambangnya tersendiri. Contohnya roh (dewa) padi yang dikenali dengan nama Inari, dilambangkan sebagai serigala Orang Jepun juga memuja roh nenek moyang.

Sila rujuk halaman 324-326 dalam buku Islam, Pelbagai Agama dan Kepercayaan.

No comments: