Selepas kematian Mahavira berlakulah perpecahan yang agak ketara kepada dua golongan satu dinamakan "Digambara" yang menganggap pakaiannya langit dan udara (bertelanjang) dan satu lagi. "Svetambara" iaitu mereka yang memakai pakaian putih. Bagaimanapun ianya tidaklah sangat bercanggah 'akidahnya. Cuma aspek-aspek tokok tambah cerita dan seumpamanya. Di samping itu ada lagi beberapa kumpulan lainnya yang kecil. Di antara perbezaannya pada dua kumpulan "Digambara" dengan "Svetambara" seperti dalam huraian berikutnya.
"Digambara" percaya bahawa Mahavira sejak mula lagi di kandung oleh ibunya, Tri Sala; tetapi "Svetambara" percaya Mahavira dicabut dari rahim Deyunanda Brahma kemudian dilemparkan ke dalam rahim Tri Sala. "Digambara" mengatakan Mahavira tidak pernah kahwin, beliau meninggalkan rumahnya sejak kecil. Mereka juga percaya orang yang 'arif sempurna tidak menikmati sesuatu, kiranya mempunyai pakaian, tidak dapat ke tahap "penyelamat". Kaum perempuan pula tidak akan dapat ke tahap Penyelamat, selagi bentuk perempuannya ada kecuali rohnya memasuki ke jasad yang bentuknya berubah selepas mati.
Kumpulan "Svetambara" pula adalah bercorak agak sederhana. Mengikutnya biar pun Mahavira sejak kecil lagi berhasrat mahu meninggalkan istananya, tetapi ia hanya meninggalkan istana tempat kediamannya itu setelah ibu bapanya meninggal dunia. Begitu juga dengan kaum wanita, bagi kumpulan "Svetambara", kiranya mengikuti syarat-syarat sepertimana lelaki mereka juga akan sampai ke tahap Penyelamat.
Biarpun perpecahan sedikit sebanyak wujud bagi penganut Jaina ini, tetapi amnya mereka ini tergolong dalam dua kategori iaitu golongan pendeta yang berusaha ke tahap Penyelamat dan hidupnya biasa dengan bertapa; Satu lagi ialah para pengikut am yang terdiri daripada orang awam. Golongan awam ini biasanya terdiri daripada peniaga, pedagang, ceti dan seumpamanya; sebab aspek pertanian tidak sesuai dengan pegangan agama mereka. Penglibatan mereka dalam bidang yang bukan pertanian ini, menyebabkan mereka ramai yang kaya, sebab hidupnya cukup berekonomi di samping membantu golongan para pendeta yang mereka hormati.
Para pengikut agama Jaina ini juga sangat digemari oleh para pemerintah sebab ajarannya juga mewajibkan taat kepada pemerintah. Pengikutnya yang tidak taat kepada pemerintah biarpun pemerintah itu bukan daripada agama Jaina, mereka yang tidak taat itu boleh dihukum mati. Ini menyebabkan para pengikut agama Jaina ini ada di antaranya diberi tempat/jawatan dalam kerajaan di India. Keramaiannya hari ini dijangka kira-kira 1 juta orang. Kebanyakan di India.
Rujuk hal. 320-322 dalam buku Islam, Pelbagai Agama dan Kepercayaan untuk lebih lanjut.
No comments:
Post a Comment