Monday, September 30, 2013

Hidup Selepas Mati (di akhirat)

Mengikut agama Islam bahawa seseorang manusia daripada tiada di dunia ini, diadakan (dilahirkan) dan hidup di dunia ini sehinggalah habis hanyatnya (mati). Kemudian dihidupkan semula di hari kiamat untuk perhitungan amalannya di dunia semasa hidupnya dahulu. Ianya akan dikembalikan semula kepada penciptanya (Allah) untuk menempatkannya sama ada di dalam syurga atau pun neraka. Ia dapat diteliti dalam Al-Quran, surah Al-Baqarah, 2:28 yang bermaksud, " Bagaimana tergamak kufur (mengingkari) Allah pada hal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu., setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat kelak), akhirnya kamu dikembalikan kepada-Nya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)".

Kehidupan manusia ini di dunia sebenarnya adalah sebagai satu ujian bagi pembalasan di akhirat. Sehubungan dengan ini Al-Quran menjelaskan pada surah Al-Mulk, 67:2 yang bermaksud, "Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi amat pengampun kepada orang-orang yang bertaubat);-

Dengan jelasnya Allah telah memberi amaran bahawa kehidupan dalam dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan diri kita sendiri. Oleh itu kita perlu pandai memilih mana yang baik amalannya untuk ke syurga, manakala amalan yang jahat, kita akan ke neraka.

Ini dinyatakan dalam Al-Quran surah Al Imran, 3:185 yang bermaksud, "Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya, dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya."

Betapa adilnya Allah SWT kerana segala dosa dan pahala yang dilakukan di dunia ini akan ditimbang di akhirat nanti. Di sini Allah telah menegaskan bahawa keadilan itu seperti tersurat dalam QS, Al-Zalzalah 99: 7-8 yang bermaksud. "Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalnya) (7); Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalnya) (8)".

Sla rujuk halaman 244-245 dalam buku Islam, Pelbagai Agama dan Kepercayaan.

No comments: