Tuesday, September 3, 2013

Apakah benar Nabi Isa sebagai Kalimatullah (Kalimah Allah) dan Roh daripada Allah seperti yang dikatakan dalam Al-Quran?

Untuk menjawab persoalan ini pertamanya perlu dahulu dirujuk kepada Al-Quran surah Ali-'Imran, 3:45 yang bermaksud, (Ingatlah ketika, malaikat berkata: "Wahai Maryam, bahawasanya Allah memberikan khabar yang menggembirakanmu, dengan (mengurniakan kepadamu seorang anak yang engkau akan kandungkan semata-mata dengan) kalimah daripada Allah, nama anak itu: Al Masihi 'Isa Ibn Maryam, seorang anak yang terkemuka dalam dunia dan akhirat, dan ia juga dari orang-orang yang didampingkan (diberi kemuliaan di sisi Allah)".

Dalam maksud ayat al-Quran di atas disebut bahawa "kalimah daripada Allah" dan bukannya kalimah Allah. Kalimah daripada Allah maksudnya ialah berita daripada Allah. Ini membawa makna bahawa itu adalah seorang pesuruh Allah atau Nabi Allah. Keduanya gelaran yang diberikan kepada seseorang Nabi itu bukanlah bermakna ianya diberikan kepada Nabi itu sahaja. Contohnya Nabi Ibrahim a.s. diberi gelaran "Khaleelullah" atau "teman Allah", ini bukanlah bererti yang nabi-nabi lain juga tidak menjadi kawan/teman Allah. 

Nabi Musa, dalam Al-Quran ada juga disebut sebagai "kaleemullah" yang bermaksud Tuhan bercakap dengan Baginda. Ini bukanlah bermakna pula Tuhan tidak pernah bercakap dengan nabi-nabi yang lain. Jadi apabila Nabi Isa a.s. itu disebut sebagai "Kalimatullah" atau "Kalimah daripada Allah" atau pesuruh Allah, ini bukanlah bermakna nabi-nabi lain juga tidak boleh dikatakan sebagai bukan pesuruh Allah.

Ketiganya Nabi Yahya a.s. juga disebut dalam Al-Quran sebagai Kalimatullah (kalimah daripada Allah). Ini boleh dirujuk kepada surah Ali'Imran, 3:38-39, yang bermaksud, "Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhan, katanya: "Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik, sesungguhnya engkau sentiasa mendengar (menerima) doa permohonan". (38) Lalu ia diseru malaikat sedang ia berdiri sembahyang  di  mehrab, (katanya); "Bahawasanya Allah memberikan khabar yang menggembirakanmu, dengan (mengurniakan kepadamu seorang anak lelaki bernama (Yahya), yang akan beriman kepada kalimah dari Allah dan akan menjadi ketua, juga akan menahan diri dari berkahwin, dan akan menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang soleh".

Sila rujuk halaman 177-178 dalam buku Islam, Pelbagai Agama dan Kepercayaan untuk lebih lanjut mengenai topik ini.

No comments: