Tuesday, September 17, 2013

Tuhan dalam penggambaran manusia

Untuk menggambarkan secara lebih jelas tentang pengenalan Tuhan itu pengertian secara transendental perlu diertikan dalam impirisis (amaliah), biar pun ianya tidak sesuai dengan pengertian yang diberikan dalam kitab-kitab suci; tetapi untuk kepentingan orang awam, ianya boleh dibenarkan asalkan pengertiannya tidak diseleweng. Itulah sebabnya ditambahkan perkataan dengan sifat "lebih iaitu Maha. Ini banyak terdapat dalam kitab-kitab suci Hindu, contohnya Maha Pelindung (Rg.V.X.4.1.), Maha Ada (A.V.IV.16.2) dan Maha Melihat (A.V.IV.16.5)". Dengan ini manusia biasa senang faham.

Deva dan Devata

Tuhan (Pencipta) dengan makhluk (yang Diciptakan-Nya) sudah tentu berbeza; tetapi dalam kitab Veda DEVA ini mempunyai dua erti yang berbeza yang kadangkala digunakan secara tidak disedari DEVA sebagai Pencipta (Tuhan) dengan DEVA sebagai makhluk (Yang diciptakan). Contohnya wujud dalam R. Veda X.129, "Deva diciptakan oleh-Nya setelah menjadikan semua alam semesta berikut isinya". Dalam Rg. Veda X.121.8 dan X.90.3, terdapat kalimah yang mengatakan bahawa Deva menciptakan deva-deva (makhluk) lain yang maksudnya sama dengan Malaikat (R.Veda X.129.6).

Deva (Malaikat?) dalam kepercayaan Hindu ada 33. (Rg. Veda VIII.57.2). Ada tugasannya masing-masing. Contohnya deva langit, Deva angin, deva bulan dan juga deva bintang. Deva dilambangkan sebagai hukum tertinggi, Tuhan pula adalah penguasa atas hukum tertinggi. Deva berfungsi sebagai pengatur alam semesta di bawah kekuasaan Tuhan. Rg.V.X.36.14 ada menyebut yang bermaksud, "Dewa dari arah Barat, Dewa dari arah Timur, Dewa dari arah utara, Dewa dari arah Selatan. Semoga Ia dilimpahkan rahmah-Nya kepada kita dengan pemberian umur panjang".

Berdasarkan pemikiran arah ini timbul pula konsep-konsep baru tentang penunjuk arah. Lapan kardinal arah (utara, selatan, timur dan barat di samping di tengahnya antara beberapa sempadan itu: Timur Laut, Tenggara, Barat Daya dan Barat Laut) digambarkan seperti teratai berdaun lapan. Setiap daun melambangkan deva yang dikatakan bersifat sebagai Tuhan yang Maha Kuasa, iaitu seperti mana berikut:

Anima- sifat Tuhan yang amat halus dan peka
Laghima- sifat Tuhan Yang Maha Ringan
Mahima- sifat Tuhan Yang Maha Besar
Prapti- sifat Tuhan yang dapat mencapai ke mana saja.
Prakamya- sifat Tuhan yang segala kehendaknya tercapai.
Isitva- sifat Tuhan yang merajai atas segala yang berkuasa
Vasitva- sifat Tuhan yang berkuasa atas segala yang berkuasa
Yatrakamavasayitva- sifat Tuhan yang kudrat-Nya tidak ada yang melawan.

Di samping itu, terdapat juga gambar selain daripada bentuk teratai, terdapat bentuk seperti senjata, kenderaan, warna, bentuk simbol deva atau pelbagai gabungan lagi.

Sila rujuk halaman 202-203 dalam buku Islam, Pelbagai Agama dan Kepercayaan.

No comments: