Wednesday, September 4, 2013

Bukankah Al-Quran itu ditulis oleh syaitan?

Dalam konteks ini Al-Quran sendiri telah menjelaskan dalam surah Waqiah, 56:77-80, yang bermaksud, "Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah Al-Quran yang mulia, yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan (77), yang tersimpan  dalam kitab yang cukup terpelihara (78), yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci (79); Al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam (80).

Terbukti di sini bahawa Al-Quran itu tidak boleh disentuh, melainkan oleh hamba-hambanya yang suci. Manakala syaitan ialah jenis yang menderhaka kepada Allah, bahkan diharamkan oleh Allah daripada menghampiri dan menyentuhi Al-Quran. Jadi dengan ini tidaklah timbul lagi Al-Quran itu ditulis oleh syaitan.

Surah Syura, 26:210-211 menjelaskannya lgi yang bermaksud, "Dan Al-Quran itu pula tidak sekali-kali dibawa turun oleh syaitan-syaitan (210). Dan tidaklah layak bagi syaitan-syaitan itu berbuat demikian, sert mereka tidak akan dapat melakukannya. (211)".

Ramai orang kafir masih menganggap bahawa kuasa syaitan itu lebih rendah sedikit daripada Allah di mana ianya (syaitan itu) hanya tidak boleh buat beberapa perkara sahaja yang Allah sahaja boleh lakukan. Dengan ini mereka tidak menerima Al-Quran ini sebagai mukjizat dari Allah kepada Nabi Muhammad SAW. Jadi terus menuduh Al-Quran ini perbuatan syaitan.

Sekiranya Al-Quran itu perbuatan syaitan, sudah tentu ayat ini (surah Nahl,16:98) tidak akan disebut yang bermaksud, "Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran, hendaklah engkau (terlebih dahulu) meminta perlindungan kepada Allah daripada hasutan syaitan yang direjam".

Di samping itu, Al-Quran menekankan lagi dalam surah Al-Aaraf, 7:200 yang bermaksud, "Dan jika engkau dihasut syaitan, maka mintalah perlindungan daripada Allah. Sesungguhnya Allah amat mendengar, lagi amat mengetahui."

Jika dikatakan Al-Quran itu perbuatan syaitan mengapakah pula Allah menyuruh hambanya supaya meminta perlindungan-Nya sekiranya dihasut syaitan? Anehkan? Dalam surah Al-Baqarah, 2:168, Allah menyatakan lagi yang bermaksud, "Wahai sekalian manusia, makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu".

Dalam surah Yasin,  36:60 juga menjelaskan yang bermaksud; "Bukankah Aku telah memerintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah syaitan? Sesungguhnya ia terhadap kamu adalah musuh yang nyata."

Sememangnya syaitan itu bijak dalam memesongkan pemikiran manusia. Biar pun begitu Allah maha bijak dan mengetahui segala-galanya. Oleh hal yang demikian Allah telah memberi tahu bahawa Al-Quran itu adalah sememangnya kalamullah dan bukannya perbuatan syaitan.

Rujuk halaman 179-180 untuk lebih lanjut mengenai topik ini dalam buku Islam, Pelbagai Agama dan Kepercayaan.

No comments: