Sunday, January 19, 2014

Masalah Pada Jesus (Nabi Isa a.s.)

Sesungguhnya bagi sebahagian besar umat Kristian hari ini mempercayai bahawa Jesus (nabi Isa a.s.) adalah Allah yang telah menjelma menjadi manusia. Pemahaman ini adalah berasaskan kepada konsep Triniti yang telah diwarisi sejak 325 M lagi. Mengikut konsep ini Allah itu dalam tiga identiti iaitu Allah Bapa, Allah Anak (Jesus) dan Allah Roh Kudus.

Pemahaman sebegini amatlah bercanggah dengan Islam. Ini dapat diteliti dalam QS, Al-Maa'idah 5:72 yang bermaksud:

"Demi sesungguhnya! Telah kafirlah orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibnu Maryam". Pada hal Al-Masih sendiri berkata: "Wahai bani Isra'il! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, bahawasanya sesiapa yang menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim".

Islam tetap tidak mengiktiraf Triniti itu. Islam tetap dengan keEsaan Tuhan (Allah SWT). Al-Qur'an Surah Al-Ikhlas, 112:1-4, Allah telah berfirman yang bermaksud:

Katakanlah: "Dialah Allah SWT, Yang Maha Esa." (1) 'Allah SWT adalah Tuhan yang bergantung kepadaNya segala sesuatu." (2) "Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan." (3) "Dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia." (4)

Perbezaan fahaman ini amatlah dalam jurangnya dan ianya menjadi perdebatan yang setakat ini tidak berpenghujung. Malah sampai kedua-dua pihak saling mengkafirkan di antara satu sama lain. Keadaan ini terus berkembang menjadi satu lingkaran syaitan di mana ianya sudah mudah diprovokasikan dalam pelbagai konteks untuk kepentingan pihak-pihak tertentu baik politik, ekonomi dan juga sosial yang melangkaui batas sempadan geografi sesebuah negara yang menjadi virus penyakit bermasalah atas nama agama.

Persoalan yang perlu ditimbulkan lagi di sini ialah Siapakah Jesus itu?

Jesus disebut dalam Al-Qur'an sebagai 'Isa al-Masih. Ia dilahirkan oleh seorang gadis solehah yang bernama Maryam dengan mengandung janin secara 'ajaib yang dikurniakan oleh Allah SWT disampaikan melalui Roh Kudus (Jibril). Ini disebut dalam Al-Qur'an Surah Maryam, 19:18-22 bermaksud,"Maryam berkata:Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan) mu; kalaulah engkau orang yang bertaqwa (18). Ia berkata: "Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk menyebabkanmu dikurniakan seorang anak yang suci" (19). Maryam bertanya (dengan cemas): "Bagaimana aku akan beroleh  seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelakipun, dan aku pula bukan perempuan jahat?" (20). Ia menjawab: "Demikianlah keadaannya tak usahlah dihairankan, Tuhanmu berfirman: "Hal itu mudah bagiKu: dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (yang membuktikan kekuasaan kami) untuk umat manusia, dan sebagai satu rahmat dari Kami; dan hal itu adalah satu perkara yang ditetapkan berlaku" (21). Maka Maryam hamillah mengandungnya, lalu ia memencilkan diri dengan kandungannya itu ke sebuah tempat yang jauh" (22).

Rujuk halaman 9-10 dalam buku Allah Islam & Allah Kristian (Asal) Adalah Sama untuk lebih lanjut.

No comments: