Islam dengan Kristian ini seperti dimaklumkan pada asalnya banyak persamaan. Apa yang difokuskan oleh mubaligh Kristian sekarang ialah pemahaman barat tentang Jesus (Nabi Isa), bukan sebenarnya apa yang disampaikan oleh Nabi Isa. Bagi Islam, apa yang pentingnya ialah intipati yang disampaikan oleh Nabi Isa iaitu percayakan Tuhan yang Satu. Mubaligh Kristian sebenarnya mengelak daripada memberitahu kepada pengikut-pengikutnya yang Islam mengiktirafkan Nabi Isa. Jauh sekali untuk menyebut yang di dalam Al-Quran telah berkali-kali menceritakan tentang Nabi Isa iaitu anak Maryam dan merupakan utusan Allah yang mana umat Islam wajib mempercayai dan menghormatinya.
Kedua-dua agama ini masing-masing mengakui kebenarannya. Untuk mencari kebenaran secara mutlak adalah mustahil dapat dipersetujui kecuali dengan adanya Diskusi Agama secara 'kawan' di antara dua agama terbesar di dunia hari ini. Dengan adanya diskusi ini, ia dapat saling memahami secara fakta di antara satu sama lain. Dengan ini, perasaan hormat-menghormati akan terus terjalin walaupun orang Islam tidak dapat mempengaruhi mereka untuk memeluk Islam. Bagaimanapun, Islam tetap dapat mempengaruhi Kristian dalam aspek kebenaran ini. Dalam usaha diskusi ini, beberapa pra-syarat perlu dipatuhi. Di antaranya ialah:
1. Kedua-dua agama ini biarlah sama-sama boleh menerima kritikan atau pandangan secara terbuka biarpun tidak dipersetujui.
2. Saling menghormati sepanjang diskusi.
3. Perspektif sejarah perlu dijadikan asas.
4. Kedua-dua perlu akur kepada faktor yang sebenar.
5. Tidak mengikat diri dengan sebarang tokok tambah ajaran asal.
6. Diskusi ini memfokuskan kepada bidang yang difikirkan berpotensi kepada kejayaan, contohnya dalam bidang pembentukan akhlak yang baik.
Dalam konteks ini, ada tiga aspek yang boleh menjalankan diskusi ini:
a. Islam dan Kristian mengakui manusia dicipta oleh Tuhan dan mempunyai tugas memakmurkan dunia ini. Manusia juga diberikan fikiran, tenaga dan jasad bersesuaian dalam menghadapi gelombang hidup di dunia ini di mana manusia perlulah belajar dan berusaha berasaskan pemberian Tuhan terhadaop dirinya dan persekitarannya.
b. Kesedaran diri tentang kewujudan Tuhan. Pengakuan ini perlulah diselaraskan dengan amalan harian. Akhlak yang baik dan sebarang tindakan yang baik itu perlulah dikaitkan dengan Tuhan yang menjadikan manusia. Buruk dan baiknya tingkahlaku manusia ini adalah tanggungjawabnya sendiri dan akan menerima pembalasannya sama ada syurga atau neraka di akhirat.
c. Setiap manusia mempunyai peluang yang sama dalam mengabdikan dirinya kepada Tuhan. Orang yang paling dikasihi Tuhan ialah mereka yang memenuhi kedua-dua syarat di atas iaitu bertaqwa kepada Allah. Taqwa di sini bukan sahaja mengakui kewujudan-Nya, tetapi juga membuat amalan yang baik kerana kebaikan di dunia juga memberi saham di akhirat nanti. Di samping itu tidak melakukan perkara yang ditegah-Nya.
Rujuk halaman 158-159 dalam buku Mengapa Kembali Memeluk Islam.
No comments:
Post a Comment