Tuesday, November 26, 2013

Islam Untuk Seluruh Umat Manusia

Agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW bukanlah untuk satu bangsa atau sesuatu kaum sahaja, tetapi untuk seluruh manusia di dunia ini yang mahu menerimanya tanpa paksaan.

Islam tidak membezakan warna kulit sebaliknya semua bersaudara.

Apa yang didapati pada peringkat awalnya, persepsi para 'saudara baru' ini sebelum ia memeluk Islam katanya bilamana seseorang itu berhasrat untuk memeluk Islam, tergambarlah dalam fikirannya 'masuk Melayu'. Ini adalah satu gambaran yang perlu dibaiki segera. Mereka mempersoalkan apakah penting menukar nama asalnya kepada nama baru. Ramai di kalangan mereka selepas menjadi 'saudara baru', ramai juga beranggapan ada baiknya tidak menukarkan nama asalnya. Contohnya nama asalnya Chan Ah Chai. biarlah kekalkan nama asalnya Chan Ah Chai. Maksudnya tidak perlulah ditukarkan kepada Muhammad Chan bin Abdullah, tetapi agamanya secara rasmi perlu ditukar kepada agama Islam. Mereka beranggapan bahawa dengan ini anggapan 'masuk Melayu' itu boleh dikikiskan dan lebih sesuai katanya sebagai agama untuk semua bangsa sebagaimana inti sebenarnya agama Islam dalam konteks universal. Bagaimana pun ini biar terserahlah kepada individu berkenaan untuk membuat keputusan atas pertukaran nama itu.

Kebanyakan penganut baru ini terutamanya daripada bangsa India, mereka cukup ghairah dengan ajaran Islam yang menghapuskan kasta. Dengan kemasukan Islam ini dengan tersendirinya mereka boleh mengelakkan diri daripada kasta yang rendah kepada taraf yang sama rata dari segi Islam. Mereka amat tertarik dengan petikan al-Quran, surah (Al-Hujurat, 49:13)

Maksudnya: "Manusia yang paling baik disisi Allah SWT ialah mereka yang bertaqwa".

Dalam konteks ibadat sembahyang setiap kali selepas sahaja niat solat dan bertakbir di rakaat pertama itu, kita perlu membaca doa iftitah yang berbunyi maksudnya:

"Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidup matiku adalah untuk Tuhan yang memelihara dan sekalian alam."
(QS Al-An'am, 6:162)

Ini penting dihayati bagi membuktikan ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Dengan ini ia lebih mendekati diri kita dengan Allah SWT. Di samping itu, sejarah sahabat nabi yang di antaranya dijamin syurga iaitu Bilal, asalnya seorang hamba. Ini perlu ditekankan secara positif terutamanya di kalangan orang India dari kasta yang rendah. Begitu juga sejarah penghijrahan Nabi Muhammad SAW ke Madinah dari Makkah di mana golongan Ansar yang merupakan penduduk asal Madinah menyambut baik golongan Muhajirin iaitu yang berhijrah bersama Nabi Muhammad SAW ke Madinah (622M). 

Rujuk halaman 34-35 dalam buku Mengapa Kami Memeluk Islam untuk lebih lanjut mengenai topik ini.

No comments: