"Dan (ingatlah) Aku tidak jadikan jin dan manusia, melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepadaKu."
(QS Adz-Dzaariyaat, 51:56)
Amat jelas sekali bahawa ayat Al-Quran di atas, Allah SWT telah menjelaskan bahawa tujuan Allah SWT menjadikan jin dan manusia ini ialah untuk menyembah dan beribadat kepada-Nya. Ini adalah paling penting bagi setiap Muslim. Ia merupakan garis atau tali yang perlu dipegangi oleh umat Islam. Perlu ditekankan di sini kita berbicara hanya dalam konteks manusia sahaja, bukan dalam konteks jin dan manusia, kerana diskusi penemuan ini adalah hasil penyelidikan di kalangan para 'saudara baru'.
Maksud menyembah di sini bukanlah menyembah seperti menyembah patung buatan manusia atau pada apa-apa benda seumpamanya yang dijadikan Allah SWT di dunia ini seperti matahari, pokok dan batu tetapi melakukan solat mengikut apa yang disyariatkan kepada umat Islam dengan mengikut masa dan caranya tertentu, mengarahkan kepada Kaabah di Makkah di mana Kaabah itu adalah tempat menentu arah perpaduan umat Islam seluruh dunia ini dalam mengingati Allah SWT dan bersyukur kepada nikmat Allah SWT yang dijadikan untuk kita semua sebagai penghuni dunia ini.
Sebagai seorang pemeluk Islam yang telah mengucap dua kalimah Syahadah: mengaku keEsaan Tuhan dan Nabi Muhammad SAW itu rasul-Nya, kita melakukan amalan yang disyariatkan kepada kita secara tulus ikhlas. Kita bekerja secara tulus ikhlas kerana Allah SWT, kita bertingkah laku dan bergaul mesra dengan manusia kerana Allah SWT. Malah, apa-apa yang kita lakukan di dunia ini setiap hari adalah baik sekali ditanamkan dalam jiwa kita kesemuanya kerana Allah SWT. Kiranya ini dapat dilakukan Insya Allah kita akan menjadi seorang yang berjaya dalam hidup. Maksudnya di sini matlamat kita adalah membuat sesuatu kerana Allah SWT.
Allah SWT juga menjadikan manusia ini sebagai khalifahnya di bumi ini di mana diamanahkan untuk mengurus dan menjaga alam ini dengan sebaik-biknya. Menjaga masa dengan sebaik-baiknya, Al-QUran, surah Al-'Asr.
Dengan ini kita sebagai umat Islam janganlah melakukan perkara-perkara yang memusnahkan alam. Bagaimanapun, kiranya terpaksa dilakukan kerana kebaikan seperti menebang pokok, membelah bukit bakau untuk kemajuan, bermatlamat baik kerana Allah SWT, ia adalah kebajikan yang digalakkan Islam.
Tegasnya, apa sahaja yang kita lakukan dengan niat yang baik kerana Allah SWT, ia adalah amalan yang soleh, mendapat pahala dan diredhai Allah SWT. Ini bukan sahaja mendapat kenikmatan di dunia malah yang akhirnya ialah di akhirat. Matlamat umat Islam yang paling penting ialah di akhirat dengan tidak mengabaikan dunia secara baik yang diredhai Allah SWT. Menjaga anakisteri, memberi rezeki yang halal, memberi pelajaran, bersahabat baik sesama manusia, dibuat kerana Allah SWT adalah jalan yang lurus menuju ke akhirat untuk kesenangan yang berkekalan. Nikmat yang Tuhan berikan di dunia ini amat banyak sekali, cuma kita tidak begitu menyedari dan kurang bersyukur kepada Allah SWT. Itulah sebabnya dalam Al-Quran, surah Ar Rahman, 55:1-78, didapati berjumlah 31 ayat yang mengulangi kepada manusia:
"Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?"
Rujuk halaman 38-39 dalam buku Mengapa Kami Memeluk Islam?
No comments:
Post a Comment