Dalam konteks kemurniaan Islam ini, persoalan yang difokuskan oleh para 'saudara baru' kita tentang sebab penting mereka masuk Islam ini ialah faktor Islam mencakupi keseluruhan iaitu Tauhid, Syariah dan Akhlak. Kebanyakan mereka membuat perbandingan dengan agama asal masing-masing.
Dalam aspek Tauhid iaitu Tuhan itu Satu. Kristian mengakui adanya Tuhan walaupun konsep Triniti itu masih dipersoalkan. Para penganut Hindu juga di samping katanya mempunyai banyak tuhan, tetapi juga yakin dalam ajaran Hindu sebenarnya ada satu Tuhan yang mengetahui segala Tuhan.
Manakala Buddha pula dalam konteks ketuhanan ini hanya mendiamkan diri. Bagaimanapun, hari ini 99% para penganut Buddha percaya penyembahan satu Tuhan, banyak Tuhan dan lebih teruk lagi mempercayai Buddha itu sendiri adalah Tuhan. Penyembahan patung yang tidak pernah diajar oleh Buddha, sekarang boleh dikatakan di mana-mana ada ramai penganut Buddha, di situlah adanya patung Buddha dan penyembahan berlaku. Malah sekiranya Buddha dikembalikan hidup semula sekarang ini, mungkin ia tidak mengiktiraf agama yang ia sendiri pengasasnya.
Bagaimanapun dalam konteks Tauhid ini secara asasnya baik sekali kiranya ditinjau bahawa adanya unsur-unsur persamaan ajaran Islam ini dengan ajaran agama-agama lain. Untuk ini boleh diteliti huraian berikutnya.
A. Persamaan Islam Dengan Agama-Agama Lain
Dalam konteks persamaan ini perlu ditinjau Islam sebelum Nabi Muhammad SAW, Islam semasa Nabi Muhammad SAW dan Islam selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW.
Islam Sebelum Nabi Muhammad SAW
Islam sebelum Nabi Muhammad SAW sebenarnya bermula sejak Nabi Adam lagi. Sebenarnya Islam diseru oleh para rasul dan dibawa juga oleh para nabi yang ramainya sampai beribu orang. Ada di antara Hadis yang mengatakan 124,000 orang para Nabi. Rasul 313 orang. Cuma yang disebut dalam al-Quran adalah seramai 25 orang rasul sahaja yang wajib diketahui iaitu Adam, Nuh, Idris, Shalih, Ibrahim, Hud, Lut, Yunus, Ismail, Ishak, Ya'kub, Yusuf, Ayyub, Shu'ib, Musa, Harun, Ilyasa', Zulkifli, Daud, Zakaria, Sulaiman, Ilyas, Yahya, Isa dan Muhammad. Nabi Muhammad SAW adalah yang terakhir. 5 daripadanya digelar ulu al-'azmi (Yang mempunyai kecekalan hati). Mereka itu ialah Nabi Nuh, Ibrahim, Musa, Isa dan Muhammad SAW. Semua ajaran para nabi dan rasul itu menumpukan kepada Tauhid (percayakan Tuhan itu Satu), menyerah dan tunduk kepada-Nya dengan cara membuat apa yang diseru-Nya dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya.
Rujuk halaman 14-150dalam buku Mengapa Kami Memeluk Islam untuk lebih lanjut.
No comments:
Post a Comment