Monday, November 25, 2013

Kristian : Khabar Gembira Tentang Nabi Muhammad SAW Dalam Kitab Bible

Bagi Kristian, didapati banyak bukti yang mengatakan Nabi Muhammad akan lahir sebagai nabi yang terakhir melengkapkan ajaran daripada para nabi sebelumnya. Bukti-bukti ini dapat dikumpulkan sepertimana berikut:

Perkhabaran penting firman Tuhan

Di dalam kitab Taurat, Allah SWT telah berfirman kepada Nabi Musa:

"Seorang nabi akan Ku bangkitkan untuk mereka di kalangan saudara mereka, seperti engkau ini; Aku akan firmanKu dalam mulutnya, dan dia akan mengatakan kepada mereka segala yang Kuperintahkan kepadanya. Orang yang tidak mendengar segala firmanKu yang akan diucapkan oleh nabi itu demi namaKu, daripadanya akan Kutuntut pertanggungjawaban." (Deuteronomy 18: 18-19)

Dalam konteks akan dibangkitkan nabi oleh Allah SWT "...di kalangan saudara mereka, seperti engkau ini: " adalah jelas dimaksudkan dengan Nabi Muhammad SAW, sebab Nabi Muhammad SAW adalah saudara kepada Bani Israel kerana saudara Bani Israel ialah Bani Ismail sebab Ismal adalah saudara Nabi Ishak iaitu ayah Israel (Nabi Ya'kub). Kedua-duanya (Nabi Ishak dan Nabi Ismail) adalah daripada ayah yang sama: Nabi Ibrahim. Cuma emak mereka berlainan iaitu emak Nabi Ismail ialah Siti Hajar, manakala emak Nabi Ya'akub (Israel) ialah Siti Sarah. Kedua-dua Nabi ini dilahirkan di Palestin.

Selain itu tidak ada lagi nabi diutuskan Allah SWT selepas nabi Musa di kalangan saudara Bani Israel yang ciri-cirinya seperti Nabi Musa, selain daripada Nabi Muhammad SAW. Ada pendapat mengatakan bahawa nabi yang akan diutuskan oleh Allah SWT itu ialah Nabi Isa, bukannya Nabi Muhammad SAW. Pandangan ini salah kerana ia tidak memenuhi ciri-ciri seperti Nabi Musa. Ini boleh diperhatikan dengan ciri-ciri berikut:

1. Nabi Isa dilahirkan dengan kuasa Allah SWT tanpa ayah, tidak seperti Nabi Musa dan Nabi Muhammad SAW yang melalui proses ayah dan emak secara lazim.
2. Nabi Musa dan Nabi Muhammad SAW wafat seperti biasa dan tidak sepertimana Nabi Isa.
3. Nabi Musa dan Nabi Muhammad SAW  hidup dengan umur yang agak panjang, berbeza dengan Nabi Isa di mana umurnya ketika berlaku penyaliban itu cuma 34 tahun. 
4. Nabi Musa dan Nabi Muhammad SAW sama-sama berkahwin dan masing-masing mempunyai zuriat keturunan (lelaki dan perempuan), dan ini berbeza dengan Nabi Isa kerana tidak berkahwin dan ia cuma datang untuk mengakui syariat Nabi Musa tanpa membawa syariat baru.
5. Nabi Musa dan Nabi Muhammad SAW bukan sahaja sebagai rasul tetapi juga sebagai pemimpin secara berkerajaan di zamannya, manakala Nabi Isa hanya sebagai rasul sahaja iaitu bagi mengakui syariat Nabi  Musa sahaja.
6. Dalam konteks ayat "Aku akan menaruh firmanKu dalam mulutnya, dan ia akan mengatakan kepada mereka segala yang Kuperintahkan kepadanya" di atas kebenarannya terserlah dalam ayat yang pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW yang berbunyi:

"Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan."
                                                                                                                                 (QS Al-'Alaq:1)

Rujuk halaman 30-32 dalam buku Mengapa Kami Memeluk Islam untuk lebih lanjut.

No comments: