Thursday, November 28, 2013

Tiada Paksaan Dalam Islam

Dakwah perlu menekankan perkara yang paling pokok dalam Islam iaitu tiada paksaan dalam beragama (Al-Quran, al-Baqarah, 2: 256).

"Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat; kerana itu barangsiapa yang ingkar kepada Thaghut) dan beriman kepada Allah SWT, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah SWT Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."

Allah SWT sendiri menegaskan dengan jelasnya dalam Al-Quran. Ia mempunyai implikasinya secara tersendiri. Ini kerana ia melibatkan aspek hati dan perasaan yang boleh menebalkan keyakinan seseorang. Sesungguhnya tarikan secara psikologi perlu diwujudkannya mengikut strategi secara tertentu, berbincanglah secara lembut tetapi mempunyai fakta yang konkrit tegasnya berhimah (Al-Nahl, 16: 125).

"Serulah (manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah) dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk."

Sekira-Nya tidak ada lagi berupaya untuk mereka diyakinkan, biarkanlah, mereka akan ketinggalan (QS, Al-'Imraan,3:176).

"Janganlah kamu disedihkan oleh orang-orang yang segera menjadi kafir, sesungguh-Nya mereka tidak sekali-kali dapat memberi mudharat kepada Allah SWT sedikitpun. Allah SWT berkehendak tidak akan memberi sesuatu bahagian (dari pahala) kepada mereka di hari akhirat, dan bagi mereka azab yang besar."

Kemudian pastikan diri kita sebagai pendakwah, mencuba dan terus mencuba jangan berputus asa, Tuhan akan memberikan hikmah (QS Al-Insyirah, 94:5-6).

"Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan." (5)
"Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan." (6)

Dua kali Allah SWT mengulangi semoga kita tidak berputus asa. Ini menunjukkan perkara ini amatlah penting. Bagaimana pun sekiranya orang bukan Muslim ini masih juga tidak dapat diyakinkan berdoa sahajalah kepada Tuhan mudah-mudahan akan tertariklah kepada Islam. Nabi Muhammad SAW sendiri pun ada golongan Kristian yang tidak dapat diyakininya untuk memeluk Islam, tidak diapa-apakannya, dibebaskan mengikut agama asalnya dan hidup dalam Negara Islam dengan aman.

Dalam konteks ini Islam sebenarnya menggalakkan manusia bebas mengeluarkan pendapat, berbincang mengenai agama masing-masing dalam mencari kebaikan bersama. Adalah baik sekali kiranya diadakan seminar akademik bagi mereka yang pakar dalam agama, masing-masing bertukar-tukar bebas berhujjah dan mempengaruhi secara fakta di antara agama di mana mereka yang berminat secara akademik berhak untuk mendengar atau mempengaruhi atau pun dipengaruhi. Biarpun begitu, perancangan untuk ini perlulah secara rapi supaya tidak menimbulkan sebarang salah faham. Untuk itu, sila rujuk cadangan dialog antara agama pada Islam perlu dibuktikan secara meyakinkan dengan fakta-fakta yang kukuh dalam membuktikan kebenaran.

Rujuk halaman 38-39 dalam buku Mengapa Kami Memeluk Islam untuk lebih lanjut mengenai topik ini.

Wednesday, November 27, 2013

Islam Mengarahkan Pemeluknya Hidup Secara Bermatlamat

"Dan (ingatlah) Aku tidak jadikan jin dan manusia, melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepadaKu."
(QS Adz-Dzaariyaat, 51:56)

Amat jelas sekali bahawa ayat Al-Quran di atas, Allah SWT telah menjelaskan bahawa tujuan Allah SWT menjadikan jin dan manusia ini ialah untuk menyembah dan beribadat kepada-Nya. Ini adalah paling penting bagi setiap Muslim. Ia merupakan garis atau tali yang perlu dipegangi oleh umat Islam. Perlu ditekankan di sini kita berbicara hanya dalam konteks manusia sahaja, bukan dalam konteks jin dan manusia, kerana diskusi penemuan ini adalah hasil penyelidikan di kalangan para 'saudara baru'.

Maksud menyembah di sini bukanlah menyembah seperti menyembah patung buatan manusia atau pada apa-apa benda seumpamanya yang dijadikan Allah SWT di dunia ini seperti matahari, pokok dan batu tetapi melakukan solat mengikut apa yang disyariatkan kepada umat Islam dengan mengikut masa dan caranya tertentu, mengarahkan kepada Kaabah di Makkah di mana Kaabah itu adalah tempat menentu arah perpaduan umat Islam seluruh dunia ini dalam mengingati Allah SWT dan bersyukur kepada nikmat Allah SWT yang dijadikan untuk kita semua sebagai penghuni dunia ini.

Sebagai seorang pemeluk Islam yang telah mengucap dua kalimah Syahadah: mengaku keEsaan Tuhan dan Nabi Muhammad SAW itu rasul-Nya, kita melakukan amalan yang disyariatkan kepada kita secara tulus ikhlas. Kita bekerja secara tulus ikhlas kerana Allah SWT, kita bertingkah laku dan bergaul mesra dengan manusia kerana Allah SWT. Malah, apa-apa yang kita lakukan di dunia ini setiap hari adalah baik sekali ditanamkan dalam jiwa kita kesemuanya kerana Allah SWT. Kiranya ini dapat dilakukan Insya Allah kita akan menjadi seorang yang berjaya dalam hidup. Maksudnya di sini matlamat kita adalah membuat sesuatu kerana Allah SWT.

Allah SWT juga menjadikan manusia ini sebagai khalifahnya di bumi ini di mana diamanahkan untuk mengurus dan menjaga alam ini dengan sebaik-biknya. Menjaga masa dengan sebaik-baiknya, Al-QUran, surah Al-'Asr.

Dengan ini kita sebagai umat Islam janganlah melakukan perkara-perkara yang memusnahkan alam. Bagaimanapun, kiranya terpaksa dilakukan kerana kebaikan seperti menebang pokok, membelah bukit bakau untuk kemajuan, bermatlamat baik kerana Allah SWT, ia adalah kebajikan yang digalakkan Islam.

Tegasnya, apa sahaja yang kita lakukan dengan niat yang baik kerana Allah SWT, ia adalah amalan yang soleh, mendapat pahala dan diredhai Allah SWT. Ini bukan sahaja mendapat kenikmatan di dunia malah yang akhirnya ialah di akhirat. Matlamat umat Islam yang paling penting ialah di akhirat dengan tidak mengabaikan dunia secara baik yang diredhai Allah SWT. Menjaga anakisteri, memberi rezeki yang halal, memberi pelajaran, bersahabat baik sesama manusia, dibuat kerana Allah SWT adalah jalan yang lurus menuju ke akhirat untuk kesenangan yang berkekalan. Nikmat yang Tuhan berikan di dunia ini amat banyak sekali, cuma kita tidak begitu menyedari dan kurang bersyukur kepada Allah SWT. Itulah sebabnya dalam Al-Quran, surah Ar Rahman, 55:1-78, didapati berjumlah 31 ayat yang mengulangi kepada manusia:

"Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?"

Rujuk halaman 38-39 dalam buku Mengapa Kami Memeluk Islam?

Tuesday, November 26, 2013

Islam Untuk Seluruh Umat Manusia

Agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW bukanlah untuk satu bangsa atau sesuatu kaum sahaja, tetapi untuk seluruh manusia di dunia ini yang mahu menerimanya tanpa paksaan.

Islam tidak membezakan warna kulit sebaliknya semua bersaudara.

Apa yang didapati pada peringkat awalnya, persepsi para 'saudara baru' ini sebelum ia memeluk Islam katanya bilamana seseorang itu berhasrat untuk memeluk Islam, tergambarlah dalam fikirannya 'masuk Melayu'. Ini adalah satu gambaran yang perlu dibaiki segera. Mereka mempersoalkan apakah penting menukar nama asalnya kepada nama baru. Ramai di kalangan mereka selepas menjadi 'saudara baru', ramai juga beranggapan ada baiknya tidak menukarkan nama asalnya. Contohnya nama asalnya Chan Ah Chai. biarlah kekalkan nama asalnya Chan Ah Chai. Maksudnya tidak perlulah ditukarkan kepada Muhammad Chan bin Abdullah, tetapi agamanya secara rasmi perlu ditukar kepada agama Islam. Mereka beranggapan bahawa dengan ini anggapan 'masuk Melayu' itu boleh dikikiskan dan lebih sesuai katanya sebagai agama untuk semua bangsa sebagaimana inti sebenarnya agama Islam dalam konteks universal. Bagaimana pun ini biar terserahlah kepada individu berkenaan untuk membuat keputusan atas pertukaran nama itu.

Kebanyakan penganut baru ini terutamanya daripada bangsa India, mereka cukup ghairah dengan ajaran Islam yang menghapuskan kasta. Dengan kemasukan Islam ini dengan tersendirinya mereka boleh mengelakkan diri daripada kasta yang rendah kepada taraf yang sama rata dari segi Islam. Mereka amat tertarik dengan petikan al-Quran, surah (Al-Hujurat, 49:13)

Maksudnya: "Manusia yang paling baik disisi Allah SWT ialah mereka yang bertaqwa".

Dalam konteks ibadat sembahyang setiap kali selepas sahaja niat solat dan bertakbir di rakaat pertama itu, kita perlu membaca doa iftitah yang berbunyi maksudnya:

"Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidup matiku adalah untuk Tuhan yang memelihara dan sekalian alam."
(QS Al-An'am, 6:162)

Ini penting dihayati bagi membuktikan ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Dengan ini ia lebih mendekati diri kita dengan Allah SWT. Di samping itu, sejarah sahabat nabi yang di antaranya dijamin syurga iaitu Bilal, asalnya seorang hamba. Ini perlu ditekankan secara positif terutamanya di kalangan orang India dari kasta yang rendah. Begitu juga sejarah penghijrahan Nabi Muhammad SAW ke Madinah dari Makkah di mana golongan Ansar yang merupakan penduduk asal Madinah menyambut baik golongan Muhajirin iaitu yang berhijrah bersama Nabi Muhammad SAW ke Madinah (622M). 

Rujuk halaman 34-35 dalam buku Mengapa Kami Memeluk Islam untuk lebih lanjut mengenai topik ini.

Monday, November 25, 2013

Kristian : Khabar Gembira Tentang Nabi Muhammad SAW Dalam Kitab Bible

Bagi Kristian, didapati banyak bukti yang mengatakan Nabi Muhammad akan lahir sebagai nabi yang terakhir melengkapkan ajaran daripada para nabi sebelumnya. Bukti-bukti ini dapat dikumpulkan sepertimana berikut:

Perkhabaran penting firman Tuhan

Di dalam kitab Taurat, Allah SWT telah berfirman kepada Nabi Musa:

"Seorang nabi akan Ku bangkitkan untuk mereka di kalangan saudara mereka, seperti engkau ini; Aku akan firmanKu dalam mulutnya, dan dia akan mengatakan kepada mereka segala yang Kuperintahkan kepadanya. Orang yang tidak mendengar segala firmanKu yang akan diucapkan oleh nabi itu demi namaKu, daripadanya akan Kutuntut pertanggungjawaban." (Deuteronomy 18: 18-19)

Dalam konteks akan dibangkitkan nabi oleh Allah SWT "...di kalangan saudara mereka, seperti engkau ini: " adalah jelas dimaksudkan dengan Nabi Muhammad SAW, sebab Nabi Muhammad SAW adalah saudara kepada Bani Israel kerana saudara Bani Israel ialah Bani Ismail sebab Ismal adalah saudara Nabi Ishak iaitu ayah Israel (Nabi Ya'kub). Kedua-duanya (Nabi Ishak dan Nabi Ismail) adalah daripada ayah yang sama: Nabi Ibrahim. Cuma emak mereka berlainan iaitu emak Nabi Ismail ialah Siti Hajar, manakala emak Nabi Ya'akub (Israel) ialah Siti Sarah. Kedua-dua Nabi ini dilahirkan di Palestin.

Selain itu tidak ada lagi nabi diutuskan Allah SWT selepas nabi Musa di kalangan saudara Bani Israel yang ciri-cirinya seperti Nabi Musa, selain daripada Nabi Muhammad SAW. Ada pendapat mengatakan bahawa nabi yang akan diutuskan oleh Allah SWT itu ialah Nabi Isa, bukannya Nabi Muhammad SAW. Pandangan ini salah kerana ia tidak memenuhi ciri-ciri seperti Nabi Musa. Ini boleh diperhatikan dengan ciri-ciri berikut:

1. Nabi Isa dilahirkan dengan kuasa Allah SWT tanpa ayah, tidak seperti Nabi Musa dan Nabi Muhammad SAW yang melalui proses ayah dan emak secara lazim.
2. Nabi Musa dan Nabi Muhammad SAW wafat seperti biasa dan tidak sepertimana Nabi Isa.
3. Nabi Musa dan Nabi Muhammad SAW  hidup dengan umur yang agak panjang, berbeza dengan Nabi Isa di mana umurnya ketika berlaku penyaliban itu cuma 34 tahun. 
4. Nabi Musa dan Nabi Muhammad SAW sama-sama berkahwin dan masing-masing mempunyai zuriat keturunan (lelaki dan perempuan), dan ini berbeza dengan Nabi Isa kerana tidak berkahwin dan ia cuma datang untuk mengakui syariat Nabi Musa tanpa membawa syariat baru.
5. Nabi Musa dan Nabi Muhammad SAW bukan sahaja sebagai rasul tetapi juga sebagai pemimpin secara berkerajaan di zamannya, manakala Nabi Isa hanya sebagai rasul sahaja iaitu bagi mengakui syariat Nabi  Musa sahaja.
6. Dalam konteks ayat "Aku akan menaruh firmanKu dalam mulutnya, dan ia akan mengatakan kepada mereka segala yang Kuperintahkan kepadanya" di atas kebenarannya terserlah dalam ayat yang pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW yang berbunyi:

"Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan."
                                                                                                                                 (QS Al-'Alaq:1)

Rujuk halaman 30-32 dalam buku Mengapa Kami Memeluk Islam untuk lebih lanjut.

Sunday, November 24, 2013

Nabi Muhammad SAW dalam kitab Buddha

Bagaimana pun ajaran Buddha ini kemudiannya bercampur aduk dengan agama Hindu yag begitu lama bertapak di India. Hindu percayakan banyak tuhan: dewa-dewa itu Tuhan, pokok, malah ular pun jelmaan Tuhan (tetapi kepercayaan Hindu sebenarnya mengakui ada satu Tuhan agung). Kini ada pengikut Buddha ini membina patung Buddha dan ada pula yang menganggapnya sebagai Tuhan (Prof. Dr.Ahmad Shalaby:135). Lantas dengan ini pengikut ajaran Buddha kemudiannya menganggap penyembahan itu sebagai peraturan biasa sebagai satu agama. Perbezaan ketaranya dengan agama Hindu ialah ajaran Buddha tidak wujud kasta, tetapi agama Hindu tetap wujud kasta. Ajaran Buddha ini kian pupus di India, tetapi terus berkembang di luar India, khususnya di negara Thailand, Laos, China dan Jepun.

Buddha sebenarnya telah meramalkan bahawa akan datang wujudnya seorang 'Maitreya' (baik dan murah hati). Ramalan ini dapat diikuti sepertimana berikut:

1. Dari sefi nama 'Maitreya':

i. Dalam Chakkavantti Snhnad Suttanta D.111, 76, menyatakan yang bermaksud, "Akan lahir ke dunia ini seorang Buddha yang dikenali dengan nama 'Maitreya'. Maireya ini ialah seorang yang suci, seorang yang tertinggi dalam kuasa,yang dikurniakan kebijaksaan, yang bertuah dan yang mengenali alam ini dan apa yang Maitreya ini dapat daripada alam ghaib belaiu akan sebarkan risalah ini ke seluruh alam. Maitreya ini akan dakwahkan agama beliau yang agong ini daripada awal hingga ke akhir. Buddha berkata bahawa Maitreya ini akan memperkenalkan satu cara hidup yang sempurna dan suci sebagaimana aku (Buddha) memperkenalkan agama aku. Pengikut Maitreya ini lebih ramai daripada pengikut aku (Buddha).

ii. Dalam buku 'Secred Books of the East, Jilid 35, halaman 225 ada menyebut yang bermaksud, "Aku bukanlah satu-satunya  Buddha sahaja. Selepas aku akan lahir seorang Buddha lagi yang dikenali dengan nama Maitreya. Dia akan memiliki banyak sifat-sifat yang mulia dan utama. Kalau anak murid aku beratus-ratus anak murid Maitreya tersebut beribu-ribu."

iii. Ramalan selanjutnya ialah tentang Maitreya dalam kitab Agama Buddha oleh Carus, halaman 217 dan 218 negara Ceylon (Sri Lanka) yang maksudnya, "Ananda (Anak murid Buddha) bertanya kepada Buddha, "Siapakah akan mengajar kita semua selepas kamu meninggal dunia?"

Ini dijawab oleh Gautama Buddha yang bermaksud, "Saya bukanlah Buddha yang pertama atau yang akhir yang didatangkan ke dunia ini. Selepas aku seorang Buddha lagi akan dihantar ke dunia ini. Dialah seorang yang kudus atau suci, yang mempunyai kesedaran yang tinggi, yang dikurniakan dengan kebijaksanaan, mempunyai akhlak yang baik, yang mengenali alam ini, pemimpin manusia yang bijaksana, yang dikasihi oleh malaikat dan malaikat lain. Dia akan mengajar kepada kamu semua satu agama atau kebenaran yang kekal abadi serta terpuji.  Agama yang diajar oleh Buddha ini akan menjadi satu cara hidup yang sempurna dan suci. Kalau anak murid aku beratus-ratus tetapi anak murid Buddha ini ialah beribu-ribu".

Ananda terus bertanya lagi dengan soalan yang bermaksud, "Bagaimana kami hendak mengenali Buddha ini?" Jawab Buddha, "Dia akan dikenali dengan gelaran Maitreya".

Persoalan yang perlu ditimbulkan disini apakah sebenarnya Maitreya itu? Untuk ini keterangan selanjutnya adalah berikut: 

* Perkataan 'Maitreya' dalam bahasa Sanskrit atau "Metteyya" dalam bahasa Pali, bererti yang memiliki sifat kasih sayang, belas kasihan, atau pun murah hati. Ianya juga membawa makna seseorang yang pemurah dan mesra. Perkataan 'Arab yang membawa makna yang sama ialah 'Rahmat'. Al-Quran, surah Al-Anbiya, 21:107 bermaksud, "Dan tiadalah kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi sekalian 'alam".

Rujuk halaman 25-27 dalam buku Mengapa Kami Memeluk Islam untuk lebih lanjut.

Thursday, November 21, 2013

Agama Hindu Meriwayatkan Nabi Muhammad SAW Akan Lahir Sebagai Pemimpin

Dalam kitab tua Hindu ada disebut Narashangsa. Dr. Ved Prakash Upaddhay telah menghuraikannya bahawa Narashangsa itu ialah Nabi Muhammad SAW yang akan lahir di suatu hari nanti. Ini terbukti dalam Rig Veda 1:13:3, 1:18:9, 1: 106:4, 1:142:3, 2:3:2, 3:29:11, 5:5:2, 7:2:2, 10:64:3, 10: 182:2 dan 19:70:2. Alasan membuktikan Narashangsa yang akan lahir itu Nabi Muhammad mengikut Dr. Ved Prakash adalah seperti mana berikut:

a. Narashangsa = Yang Terpuji = Nabi Muhammad SAW

Di mana-mana tempat dalam kitab Vedas, disebut juga nama Eelit. Dalam nota kaki pada salah satu daripada kitab Rigveda yang diterbitkan, Eelit bermakna 'Yang Terpuji'. Muhammad adalah dalam bahasa Arab maknanya dalam bahasa Melayu ialah 'Yang Terpuji'. Maknanya Narashangsa dan Eelit adalah mempunyai erti yang sama, iaitu 'Yang Terpuji'.

b. Tempat yang Narashangsa akan lahir adalah di kawasan padang pasir

Ini sudah tentu, buktinya jelas sekali. Nabi Muhammad dilahirkan di Mekkah pada tahun 570. Ayahnya bernama Abdullah dan ibunya bernama Aminah.  Makkah cuacanya panas, terletak di tengah padang pasir di negara Arab.

c. Kualiti personaliti

Dalam Rig Veda, dijelaskan bahawa Narashangsa yang akan lahir itu mempunyai personaliti yang cukup hebat, Ia amat disayangi oleh ramai manusia. Stanley Lane Poole, menulis tentang  Speeches of Muhammad (MacMillan, 1982) menjelaskan bahawa siapa yang melihatnya akan menghormatinya. Siapa yang mendekatinya, akan menyayanginya. Mereka akan mengatakan ia tidak pernah melihat orang seperti ini sebelum dan sesudahnya.

d. Wahyu (Revelation)
Dijelaskan juga bahawa Narashangsa akan mendapat pengetahuan secara wahyu. Nabi Muhammad juga mendapat ajaran Islam secara wahyu. Malah sesuatu perkara yang belum terjadi pun kiranya diwahyukan baginda akan tahu. Contohnya semasa berlakunya peperangan di antara kerajaan Parsi dan kerajaan Rome di mana kerajaan Rome telah kalah. Apabila dapat perkhabaran ini kepada Nabi Muhammad, baginda telah dapat wahyu dan menjelaskan bahawa kerajaan Rome akan menang peperangan beberapa tahun lagi. Didapati betul iaitu pada tahun 627 dalam peperangan Nineveh kerajaan Rome telah menang. Ini boleh dirujuk kepada Al-Quran surah Ar-Ruum, 30: 2-4,

"Telah dikalahkan bangsa Rumawi. Di negeri yang terdekat dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang. Dalam beberapa tahun, bagi Allah SWT lah urusan sebelum dan sesudah mereka menang. Dan di hari itu (kemenangan bangsa Rumawi) itu bergembiralah orang-orang yang beriman."

e. Pengetahuan daripada Tuhan

Dalam Vedas pula Narashangsa dikenali sebagai Kavi. Makna Kavi ada dua: satu sebagai penyair dan satu lagi sebagai orang yang menerima pengetahuan dari Tuhan. Ini juga sebenarnya ada pada Nabi Muhammad SAW. Al-Quran surah As  Shaffaat, 36-37 bermaksud:

Dan mereka berkata: "Apakah sesungguhnya kami harus meninggalkan sembahan-sembahan kami kerana seorang penyair gila. Sebenarnya dia (Muhammad) telah datang membawa kebenaran dan membenarkan rasul-rasul sebelumnya."

Rujuk halaman 19-20 dalam buku Mengapa Kami Memeluk Islam untuk lebih lanjut

Wednesday, November 20, 2013

Islam Selepas Kewafatan Nabi Muhammad SAW

Islam selepas Nabi Muhammad SAW ini asasnya adalah sama dengan Islam sebelum Nabi Muhammad dan semasa Nabi Muhammad khususnya tentang ajaran Tauhid yang Tuhan itu Satu dan kita wajib mempercayai-Nya sebagaimana yang dijelaskan oleh para nabi dan rasul yang disebutkan dalam al-Quran yang antaranya Adam, Nuh, Idris, Musa, Ibrahim, Ismail, Isa dan Muhammad.

Bagaimanapun, selepas beberapa abad ada cabang-cabang tertentu yang dibawa dalam Islam yang telah ditafsirkan mengikut fahaman yang dibawa dalam Islam yang telah ditafsirkan mengikut fahaman para ulama yang masing-masing ahli dalam bidangnya. Umpamanya, wujud mazhab-mazhab dalam Islam seperti Hanafi, Hanbali, Maliki dan Shafie. Bagaimanapun, asas penting dalam Islam iaitu Rukun Iman dan Rukun Islam adalah sama. Namun wujud juga mazhab Syiah yang agak jauh sedikit bezanya dengan mazhab-mazhab tadi. Dalam konteks ini, HAMKA menjelaskan bahawa empat imam bergilir setiap waktu bersembahyang jemaah kerana masing-masing pengikutnya tidak mahu berimamkan imam daripada mazhab lain, biarpun sesama Islam.

Pada tahun 1925, setelah negeri Makkah dikuasai oleh Ibnu Sa'ud, sembahyang berjemaah di Masjidil Haram itu dijadikan hanya satu kali di setiap waktu. Kata HAMKA, "Syukurlah Raja Abdul Aziz Ibn Sa'ud bertindak menyuruh satukan sembahyang kembali. Sekian lama Parsi (Iran) dengan Arab bermusuhan kerana berlainan mazhab, tetapi pada tahun 1931 ketika terjadi kongres Islam di Palestin, ulama-ulama Ahli Sunnah telah mempersilakan Mujahid Mazhab Syiah yang terkenal dari Najaf (Iraq) menjadi imam sembahyang berjemaah, iaitu Maulana Al-Kasyif Al-Ghitha. Adakah ini satu masalah darurat?

Pengajaran daripada ini, Islam boleh bersatu dan bekerjasama rapat di antara mazhab Sunnah dan Syiah. Dengan ini, semoga akan terlepaslah kongkongan jerat kaum orientalis untuk memecah-belahkan umat Islam seluruhnya. Malah Nabi Muhammad pernah bersabda bahawa umatnya akan berpecah kepada 73 pecahan dan daripada itu hanya satu pecahan sahaja yang akan masuk syurga iaitu pecahan yang mengikuti kepada pegangan baginda (Nabi Muhammad SAW) dan sahabatnya. 

Dalam konteks Islam sekarang berbanding dengan agama-agama lain selain daripada yang dinyatakan di atas ada juga wujudnya persamaan dengan kepercayaan lain seperti Buddha, ajaran Konfucianisme dan Hindu. Mungkinkah Sidharta Gautama Buddha dan juga pengasas agama Hindu itu adalah salah seorang daripada rasul yang dikatakan 313 orang itu? Satu penyelidikan khusus tentang perbandingan agama mungkin boleh menjawabnya secara lebih baik.

Soalan ini masih tidak dapat dijawab sehingga sekarang. Bagaimanapun, ada pendapat yang mengatakan perkataan Brahma di dalam kitab Veda (Hindu) itu mungkin berasas daripada perkataan Abraham (Nabi Ibrahim). Huruf A di depan itu terhilang, tinggal B dan A pula diletakkan di belakang manakala A di tengah (ham) itu terhilang, jadilah ia perkataan Brahma. Manakala Dewi Saraswati dalam kitab Veda itu mungkin Sarah (isteri pertama Ibrahim). Manakala Manu atau Manuh dalam kitab Veda itu juga adalah Nabi (Nabi Nuh). Apa yang menarik lagi di sini ialah undang-undang Manu mungkin tidaklah jauh bezanya dengan ajaran Islam, Kristian dan Yahudi. 

Rujuk halaman 17-18 dalam buku Islam, Pelbagai Agama dan Kepercayaan untuk lebih lanjut.

Tuesday, November 19, 2013

Islam Mencakupi Tiga Bidang: Tauhid, Syariah dan Akhlak

Dalam konteks kemurniaan Islam ini, persoalan yang difokuskan oleh para 'saudara baru' kita tentang sebab penting mereka masuk Islam ini ialah faktor Islam mencakupi keseluruhan iaitu Tauhid, Syariah dan Akhlak. Kebanyakan mereka membuat perbandingan dengan agama asal masing-masing.

Dalam aspek Tauhid iaitu Tuhan itu Satu. Kristian mengakui adanya Tuhan walaupun konsep Triniti itu masih dipersoalkan. Para penganut Hindu juga di samping katanya mempunyai banyak tuhan, tetapi juga yakin dalam ajaran Hindu sebenarnya ada satu Tuhan yang mengetahui segala Tuhan.

Manakala  Buddha pula dalam konteks ketuhanan ini hanya mendiamkan diri. Bagaimanapun, hari ini 99% para penganut Buddha percaya penyembahan satu Tuhan, banyak Tuhan dan lebih teruk lagi mempercayai Buddha itu sendiri adalah Tuhan. Penyembahan patung yang tidak pernah diajar oleh Buddha, sekarang boleh dikatakan di mana-mana ada ramai penganut Buddha, di situlah adanya patung Buddha dan penyembahan berlaku. Malah sekiranya Buddha dikembalikan hidup semula sekarang ini, mungkin ia tidak mengiktiraf agama yang ia sendiri pengasasnya.

Bagaimanapun dalam konteks Tauhid ini secara asasnya baik sekali kiranya ditinjau bahawa adanya unsur-unsur persamaan ajaran Islam ini dengan ajaran agama-agama lain. Untuk ini boleh diteliti huraian berikutnya.

A. Persamaan Islam Dengan Agama-Agama Lain

Dalam konteks persamaan ini perlu ditinjau Islam sebelum Nabi Muhammad SAW, Islam semasa Nabi Muhammad SAW dan Islam selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW.

Islam Sebelum Nabi Muhammad SAW

Islam  sebelum Nabi Muhammad SAW sebenarnya bermula sejak Nabi Adam lagi. Sebenarnya Islam diseru oleh para rasul dan dibawa juga oleh para nabi yang ramainya sampai beribu orang. Ada di antara Hadis yang mengatakan 124,000 orang para Nabi. Rasul 313 orang. Cuma yang disebut dalam al-Quran adalah seramai 25 orang rasul sahaja yang wajib diketahui iaitu Adam, Nuh, Idris, Shalih, Ibrahim, Hud, Lut, Yunus, Ismail, Ishak, Ya'kub, Yusuf, Ayyub, Shu'ib, Musa, Harun, Ilyasa', Zulkifli, Daud, Zakaria, Sulaiman, Ilyas, Yahya, Isa dan Muhammad. Nabi Muhammad SAW adalah yang terakhir. 5 daripadanya digelar ulu al-'azmi (Yang mempunyai kecekalan hati). Mereka itu ialah Nabi Nuh, Ibrahim, Musa, Isa dan Muhammad SAW. Semua ajaran para nabi dan rasul itu menumpukan kepada Tauhid (percayakan Tuhan itu Satu), menyerah dan tunduk kepada-Nya dengan cara membuat apa yang diseru-Nya dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya.

Rujuk halaman 14-150dalam buku Mengapa Kami Memeluk Islam untuk lebih lanjut.

Monday, November 18, 2013

Kemurniaan Islam

Cat Stevens (Yusuf Islam) memeluk Islam kerana beliau tertarik dengan isi al-Quran (terjemahan). Keinsafannya untuk menjadi seorang Islam yang baik itu tidak perlu mengasingkan diri ke gunung. Apa yang perlu ialah menurut perintah Allah SWT. Beliau mulai insaf bahawa semua rasul diutuskan Allah SWT hanya untuk menunaikan satu mesej iaitu keesaan Allah SWT. Mulailah beliau memahami bahawa Yahudi tidak menerima Jesus sebagai utusan Allah SWT dan pemeluk Kristian katanya salah faham tentang perkataan Tuhan dan mengatakan Jesus itu anak Tuhan. Katanya keindahan al-Quran ialah antaranya menyeru manusia supaya membanding, mencari sebab dan tidak menyuruh sembah bulan atau matahari, tetapi hanya menyembah Allah SWT yang mencipta setiap sesuatu. Bulan dan matahari katanya mempunyai jarak yang berlainan dengan bumi, tetapi kelihatan saiznya adalah sama dan di suatu ketika ia bertindihan. Malah katanya, ramai angkasawan mulai percayakan Allah SWT kerana ketandaan-Nya.

Keindahan al-Quran juga katanya lantaran penggunaan bahasanya yang  dapat difahami pada beberapa peringkat. Katanya, beliau mulai memahami peringkat lain antaranya menyebut bahawa mereka yang percaya tidak boleh membuat kawan dengan yang tidak percaya dan mereka yang percaya itu semuanya adalah bersaudara. Beliau juga tertarik dengan Islam kerana al-Quran menjelaskan hubungan (beribadat) terus antara manusia dengan Allah SWT, tidak melalui benda lain seperti berhala. Menurutnya lagi, beliau tidak berinteraksi dengan orang Islam sebelum beliau memeluk Islam. Penelitian al-Quran terjemahan adalah faktor yang paling penting beliau memeluk Islam.

Dr. Kari Ann Owen, Ph.D (USA), membuat penyelidikan mengenai daging halal dan haram di satu daerah di San Francisco. Dalam proses penyelidikan ini beliau telah mengenali individu dan masyarakat Islam di sana dengan lebih dekat di samping terpaksa membaca beberapa aspek tentang Islam. Daripada penyelidikan ini ia amat tertarik dengan Islam dan akhirnya menjadi seorang Islam.

Tena bersama suaminya membuat penyelidikan melalui internet mengenai pakaian hijab dan pakaian biasa di kalangan wanita Muslim. Kemudian beliau meneliti Hadith, manakala suaminya membaca (meneliti) al-Quran. Tertarik dengan kebaikan kelakuan orang Islam dan pengajaran Islam sebenarnya, kedua-duanya memeluk Islam pada 1997.

Tarik Ali, di Chicago (USA), dibesar dan disekolahkan dalam suasana Kristian. Beliau juga tidak selesa dengan ajaran Kristian, memandang rendah kepada Protestan dan Kristian Orthodox, tetapi menghormati Judaisme manakala agama Hindu dan Islam pula adalah suatu yang amat asing baginya. Mulanya hendak peluk agama Judaisme  dan hendak ke Israel. Bagaimanapun, setelah beliau melayari internet, terpandang website pada halaman Islam Ibrahim Shufi. Beliau terus mengikutinya dan amat tertarik. Akhirnya, pada tahun 1996 beliau memeluk Islam.

Rujuk halaman 6-7 dalam buku Mengapa Kami Memeluk Islam untuk lebih lanjut.

Sunday, November 17, 2013

Satu Perhitungan

Agama Zarathustra, Judaisme, Kristian dan Islam adalah agama yang mempunyai kesinambungan. Bermula dengan agama Tauhid (Keesaan Allah) yang mana ini merupakan permulaan bagi Hindu (Hindu: juga asalnya percayakan Satu Tuhan/Allah), Zarathustra, Judaisme "Kristian" dan "Islam". Tidak sah jika kisah sejarah yang bermula di Tanah Arab ini tidak diceritakan. Ketiga-tiga agama ini percaya bahawa Nabi Adam dan Hawa adalah manusia pertama yang dicipta oleh Tuhan Yang Maha Esa (Allah SWT) dan hidup dengan bahagia di dalam syurga. Oleh kerana termakan hasutan syaitan , Nabi Adam dan Hawa diusir dari syurga setelah memakan buah yang dilarang Allah.

Akibat kemurkaan Allah, kedua-duanya dihantar ke dunia (Adam di India) dan Hawa di Jedah dan menempuh kehidupan yang biasa sahaja,tidak seperti  di syurga. Di sinilah bermulanya kehidupan manusia setelah Nabi Adam dan Hawa dikurniakan anak cucu seterusnya. Penduduk dunia semakin ramai namun mereka hidup tanpa pegangan. Oleh itu, Allah melantik nabi-nabi daripada mereka yang terpilih untuk menjadi pesuruh-Nya. Nabi-nabi inilah yang membimbing sekalian manusia supaya membuat kebaikan dan menyembah hanya kepada Allah. Tanpa nabi-nabi yang diutus oleh Allah ini, penduduk bumi pada zaman itu menyembah berhala, membuat kejahatan dan  kemaksiatan serta hidup dalam kejahilan. Selepas Nabi Adam, kemudian muncul Nabi Idris , Nabi Nuh, Nabi Hud, Nabi Salih dan lain-lain lagi.

Setelah Nabi Ibrahim pula dipilih oleh Allah sejarah amalan seterusnya bermula di sini. Dalam solat (Islam) bacaan sunat yang sangat besar disebut (selawat) kepada Nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim mempunyai dua orang anak iaitu Nabi Ismail dan Nabi Ishak. Setelah berkahwin, Nabi Ishak memperoleh seorang cahaya mata yang diberi nama Nabi Yakub (nama timangannya Israel). Maka, keturunan Bani Israel pun bermula. Setelah sekian lama keturunan Bani Israel berkembang, Firaun telah menindas kaum ini dan memperhambakan mereka. Lalu Allah melantik Nabi Musa untuk menyelamatkan kaumnya yang dipinggirkan dan membawa mereka ke jalan yang diredainya. Nabi Musa membawa mereka menuju ke 'Tanah Yang Dijanjikan' di Kanaan.

Dalam perjalanan menuju ke sana, mereka tiba di Tursina. Di situ Nabi Musa bermunajat kepada Allah dan mengikut perjanjian setia kaum Bani Israel kepada-Nya dan Allah menurunkan perintah-perintah-Nya untuk mereka taati. Semenjak itu, kaum Bani Israel memperhambakan diri hanya kepada Allah SWT. Mereka bukan saja menganggap Nabi Musa sebagai nama malah 'pendiri agama Judaisme' (daripada Judas). Walau bagaimanapun, Nabi Musa wafat sebelum mereka sampai di Kanaan. Kaum Bani Israel terus dipimpin oleh pemimpin-pemimpim yang cekap iaitu Joshua dan 'para hakim'. Mereka telah menguasai tempat-tempat penting dalam perjuangan menduduki seluruh Kanaan dan menuju Jerusalem.

Rujuk halaman 377-378 dalam buku Islam, Pelbagai Agama dan Kepercayaan untuk lebih lanjut.

Thursday, November 14, 2013

Kepercayaan Taoisme

Kuil penganut Taoisme mengajar teori asas 'chi quong' dan bertafakur. Ia penting bagi memahami bahawa kuil itu adalah sebuah tempat suci yang terpenting. Penganut Taoisme percaya bahawa Tuhan Kesihatan mementingkan kesihatan tubuh badan. Dia juga digambarkan dengan berkepala kubah, sebelah tangan memegang naga dan sebelah lagi memegang buah pic. Dia diperbuat daripada kayu atau tanah liat. Patung-patung ini ada kalanya diwarnakan sebagai peneraju tertinggi penganut agama ini.

Ketua jemaah akan menjemput roh yang sesuai untuk menghuni patung-patung itu dengan mengadakan sebuah majlis 'membuka mata' mengikut adat resam mereka. Penganut Taoisme setara dalam mentakdiskan kuil. Kuil menjadi tempat di mana jemaah bersembahyang untuk  ke syurga. Roh kuil ini mencapai kedudukannya dengan tiga cara:


  1. Roh kategori pertama ini ialah wira makhluk yang mana Dia menderita dan mati dengan kejam. Sama seperti 'saints' (Kristian), roh ini melindungi penganut Taoisme yang ikhlas untuk memasuki syurga dan cuba untuk hidup secara batiniah.
  2. Kategori yang kedua pula ialah Tuhan Peperangan iaitu makhluk yang cuai dalam kehidupan yang lepas tetapi belajar daripada kesilapan tersebut. Kebolehan untuk belajar daripada kesilapan adalah kemahiran penganut Taoisme dalam memperbaiki diri sendiri.
  3. Kategori yang terakhir ini ialah terdiri daripada makhluk yang lahir secara terus ke dunia seperti Tuhan Belas Kasihan. Mereka sesuai menjadi perantara sembahyang yang menghubungkan makhluk dunia dengan syurga.
Pendekatan penganut Taoisme telah memberi kesan kepada kesenian China. Zaman kegemilangan kesenian China telah dipengaruhi oleh mereka. Ciri Taoisme yang lain ialah tanggapan perbandingan semua nilai sebagai hubung kait identiti perlawanan iaitu prinsip Yin dan Yang. Yang adalah kekuatan positif  yang bermaksud semua sifat aktif seperti panas, keras, siang, kuat dan sebagainya. Dalam kehidupan ini terdapat unsur-unsur pertentangan seperti baik dan jahat, negatif dan positif, lelaki dan perempuan dan lain-lain lagi. Walaupun ia bertentangan tetapi ia saling melengkapi.

QS, surah Saba', 34:28 yang bermaksud, "Dan tiadalah Kami mengutus mu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pemberi amaran ( kepada orang-orang yang ingkar); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu)".

Berpasangan : Positif-Negatif : QS Yasin, ayat 36 berbunyi: " Maha Suci Allah SWT yang telah mencipta pasangan-pasangan semuanya baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan daripada apa yang mereka tidak ketahui".

Rujuk halaman 373-375 dalam Buku Islam, Pelbagai Agama dan Kepercayaan untuk lebih lanjut.

Wednesday, November 13, 2013

Ajaran Tao

Sama keadaannya dengan Konfucianisme, Taoisme juga bukan sebuah agama pada asalnya. Ia lahir daripada ideo golongan yang bijak pandai di negara China. Ia menyeru manusia untuk berbuat kebaikan di dunia. Malah pengasas kedua-dua ajaran ini dikatakan pernah bertemu namun mereka mempunyai perbezaan pendapat yang sangat nyata. Yang pasti, Taoisme ini juga banyak memberi kesan kepada orang China dan penganut-penganutnya.

Pengasas Taoisme

Taosime ialah fahaman yang dicipta oleh Li Peh Yang. Beliau dilahirkan pada 604 S.M. Ketika dilahirkan, dikatakan bahawa berlaku kejadian yang luar biasa seperti bintang yang terbang dengan kencang. Oleh kerana beliau memegang jawatan sebagai penjaga arkib negara maka beliau berpeluang untuk belajar tentang kearifan dan kebijaksanaan tokoh-tokoh Cina zaman lepas dari buku-buku di sana. Oleh kerana beliau begitu bijak, beliau dikenali sebagai Lao-Tzu yang bermaksud orang tua yang arif dan bijaksana. Berbeza dengan ajaran Konfucianisme yang mana ia membela persesuaian dan sikap yang elok dengan sistem sosial yang ideal, Taoisme pula menyinari pendekatan buah fikiran baru dalam kehidupan. Ia menganggap bahawa kehidupan manusia begitu menjelikkan. Oleh itu, beliau menyeru ke arah keadaan semula jadi iaitu mengembalikan keharmonian alam semula jadi. Perlakuan jenayah, pembunuhan, kecurian dan rompakan akan terjadi apabila manusia tidak memperoleh sesuatu yang diingini dengan cara yang baik.

Namun begitu, beliau mengeluarkan ajaran yang samar-samar, meragukan dan berbelit-belit sehingga sukar untuk difahami. Oleh kerana itu, banyak ajaran beliau yang disalah tafsirkan oleh pengikut-pengikutnya sehingga ada yang sudah jauh menyimpang daripada ajaran yang sebenarnya. Dikatakan juga bahawa Lao-Tzu pernah bertemu dengan pengasas Konfucianisme dan berbahas tentang fahaman masing-masing dan mereka tidak sehaluan dalam pelbagai aspek.  Konfucius telah mengatakan bahawa tidak memahami ajaran oleh Tao-Tzu serta doktrin-doktrinnya.

Falsafah Taoisme


  1. Kelompok Taoisme ini menumpukan perhatian mereka kepada sudut falsafah iaitu kekuatan yang memasuki kehidupan makhluk yang menjalin dirinya ke jalan peredaran dan perkembangan alam.
  2. Ia merupakan fahaman Taoisme yang paling mudah diperluaskan berbanding dengan yang lain.
  3. Mereka berpegang kuat kepada prinsip 'wu wei' yang mana bermaksud 'diam yang mencipta'.
  4. 'Dia yang mencipta' ini ialah pada waktu yang sama seseorang itu tidak melakukan apa-apa tetapi dengan berdiam diri akan memberikan gaya hidup melalui kerohanian yang tinggi.
  5. Wu wei adalah suatu tindakan tertinggi, kesederhanaan, ketulusan dan kemerdekaan yang mengalir dalam diri.
Keagamaan Taoisme

  1. Disebabkan kesukaran orang-orang biasa memahami Taoisme maka muncul kepercayaan yang penuh dengan perbuatan-perbuatan sihir, ajaib dan tahyul.
  2. Mereka berfahaman bahawa sesiapa yang telah mencapai Tao, hidupnya menjadi abadi.
  3. Didorong untuk mencapai kehidupan yang abadi, ramai yang telah meninggalkan tempat tinggal masing-masing dan pergi betapa di gunung-gunung sehingga tidak mempedulikan hal-hal keduniaan.
  4. Penganut Taoisme telah berdepan dengan beberapa masalah seperti berhadapan dengan wabak-wabak yang perlu diperiksa, hantu-hantu yang menakutkan dan hujan yang harus dihentikan sekiranya ada majlis keramaian.
  5. Ramai tukang ramal bebas mereka-reka amalan. Selain tukang amal, ada ahli psikik, pawang dan sesiapa sahaja datang dengan kuasa masing-masing untuk merubah bentuk agama rakyat China.
Rujuk halaman 369-372 dalam buku Islam, Pelbagai Agama dan Kepercayaan untuk lebih lanjut.

Sunday, November 10, 2013

Buku Ajaran Konfius dan Kesan Peninggalannya

Segala ajaran beliau dapat dilihat pada Analects. Analects Confucius (Lun Yu) adalah kompilasi yang bukan dilakukan oleh beliau tetapi pengikut-pengikutnya. Ia mengandungi bahagian-bahagian yang penting dalam perlakuan, pengucapan dan pengajaran Konfucius. Dalam pengajaran beliau, sekiranya setiap orang mengikuti bentuk dan etika yang betul, menghormati, berbudi bahasa dan mempunyai kemurahan hati dengan mengamalkan lima perhubungan asas  manusia itu, pasti keamanan wujud dalam setiap lapisan masyarakat. Analects juga menggambarkan hierarki sosial dan tindakan yang tepat dan jenis-jenis struktur keluarga yang dapat mengeratkan hubungan. Apa yang penting setiap kehidupan mesti diiringi dengan displin yang baik, bentuk pertimbangan dan etika kewajipan.

Setelah kira-kira 250 tahun Konfucius mati, seorang maharaja China bernama Ts'in-Shin-Huang-Ti telah memerintah China dan menjadi seorang raja yang berkuasa mutlak.  Beliau memaklumkan kepada rakyat bahawa beliau adalah maharaja China yang pertama walaupun sebelum ini ramai maharaja yang sudah memerintah China supaya rakyat  mengagung-agungkannya. Beliau juga tidak mahu rakyatnya mempelajari buku-buku falsafah dari zaman sebelumnya kerana bimbang ada pihak yang cuba untuk menjatuhkannya. Semua buku-buku sama ada di perpustakaan atau di rumah-rumah golongan cerdik pandai diperintah olehnya untuk dibakar. Semua buku itu termasuklah buku-buku Konfucius. Lebih kejam lagi, para sarjana dan golongan bijak pandai dibunuh.  Namun masih ada lagi yang sempat menyembunyikan buku-buku itu termasuk buku Konfucius. Setelah kerajaan maharaja itu jatuh, orang ramai kembali mempelajari falsafah Konfucius dan buku-bukunya disebarkan secara meluas.

Oleh kerana terlalu kagum dengan kehebatan Konfucius, China telah memerintahkan pemujaan terhadap beliau sebagai nabi. Mereka menyediakan sajian dan korban pada kubur beliau. Mereka juga mendirikan rumah-rumah pemujaan untuk beliau supaya mereka dapat mengunjungi  dan melakukan pemujaan dua kali setahun. Mereka menganggap dan meletakkan beliau sebagai seorang dewa yang telah banyak memberi jasa kepada orang China.

Rujuk halaman  366-368 dalam buku Islam, Pelbagai Agama dan Kepercayaan.

Thursday, November 7, 2013

Jasa Konfucius Dalam Pengajarannya

Konfucius telah memberikan  balasan baik kepada orang yang baik dan menghukum orang yang jahat sehingga ramai membuat keputusan untuk menjadi orang yang baik-baik kerana orang yang jahat akan mnedapat musibah. Itulah cara yang dilakukan oleh beliau semasa menjadi pegawai kerajaan sehingga rakyat pada masa itu semuanya berbuat baik. Beliau juga mengajar bagaimana untuk menjadi orang yang bahagia dan gembira iaitu beliau telah memilih orang-orang yang bijak pandai untuk menjaga dan mengajar rakyat. Dengan pengajaran yang baik, semua orang akan menjadi bijak pandai dan akan sentiasa bahagia.

Semasa ditugaskan menjadi pegawai kerajaan, beliau telah membuat kajian tentang penghuni tersebut. Beliau mendapati bahawa mereka adalah golongan miskin dan bodoh. Kejahatan dan jenayah yang dilakukan adalah kerana dorongan daripada kemiskinan dan kebodohan. Oleh itu, beliau telah berusaha untuk membanteras kemiskinan dengan mengajar rakyat bekerja keras sehingga mendapat kedudukan yang terhormat dan membanteras kebodohan dengan mendidik mereka dengan ajaran yang berguna. Berkat usaha beliau yang berterusan, selepas itu tiada lagi yang dipenjarakan dan dihukum kerana semua rakyat menjadi baik.

Idea reformasi Konfucius ini telah membuatkan ramai pihak berkuasa tertarik dengannya. Walaupun reformasi merangkumi beberapa jawatan tertinggi namun beliau tidak pernah menerima atau mengambil kesempatan untuk diri sendiri. Sebelum beliau mati pada tahun 479 S.M, beliau bersama dengan pengikut-pengikutnya membuat kerja-kerja mengedit dan mengumpul  bahan-bahan bertulis yang penting. Beliau juga menghabiskan masa dengan mengajar. Beliau mati pada usia 72tahun.

Rujuk halaman 365-366 dalam buku Islam, Pelbagai Agama dan Kepercayaan untuk lebih lanjut.

Wednesday, November 6, 2013

Fahaman Konficianisme

Selain agama Buddha, Konfucianisme adalah salah satu ajaran yang terbesar di China dan juga dianuti oleh sebagian orang Cina di Malaysia. Malah ajaran ini telah memberi kesan yang sangat besar terhadap sejarah, budaya dan tamadun China selama dua ribu tahun sehingga tersebar pula ke Korea dan Jepun. Bukan itu sahaja, malah ajaran ini mempengaruhi sikap orang Cina terhadap kehidupan, mencipta satu sistem corak kehidupan dan taraf nilai masyarakat, mendirikan satu bentuk piawaian untuk pegawai kerajaan dan memperlengkapkan latar belakang teori politik China. Ini kerana pada zaman Dinasti Han, Konfucianisme diambil sebagai ajaran rasmi untuk negara manakala ajaran lain ditindas.

Riwayat Hidup Konfucius

Fahaman Konfucianisme diasaskan oleh Konfius. Beliau dilahirkan pada tahun 551 S.M. di negeri Lu yang kini dikenali sebagai Shantung. Nama Konfucius adalah daripada perkataan Latin yang memberi maksud Kung Fu-Zu atau King the Master. Beliau merupakan golongan pemikir China yang membantu kerajaan tempatan untuk mentadbir berdasarkan prinsip keamanan dan keadilan di  pemikirannya sangat mempengaruhi sejarah China. Sejak kecil lagi beliau mempunyai sikap ingin tahu, tidak putus asa, tekun dan rajin dalam menuntut ilmu walaupun beliau hidup dalam kemiskinan. Beliau dibesarkan oleh ibunya dengan penuh kasih sayang.

Pada usia awal 20-an, beliau sudah memegang jawatan pegawai kerajaan. Beliau juga telah menjadi guru persendirian pertama di China. Apabila sistem Feudalisme merosot di China dan banyak komplot penunjuk-penunjuk perasaan, beliau kecewa dengan kekacauan dan nilai moral yang semakin berkurangan. Beliau amat percaya bahawa perlu ada pemulihan dan mengajar mereka prinsip dan ajaran adat resam yang berguna. Oleh itu, beliau mengajar murid-muridnya nilai-nilai adat resam yang mulia. Kerana kebijaksanaan dan kearifan beliau, rumah beliau sering didatangi oleh golongan bijak pandai untuk berbincang pelbagai masalah. Beliau begitu hebat dalam pelbagai bidang seperti bidang sejarah, kesusasteraan dan falsafah Cina.

Ajaran Konfucius sebenarnya berkaitan dengan tatasusila, kesopanan, akhlak dan bukan kepada kehidupan selepas kematian walaupun beliau ada menyentuh tentang alam ghaib. Beliau juga tidak menolak kepercayaan orang Cina sejak turun temurun tentang kewujudan roh orang yang telah mati. Mereka percaya bahawa langit dan bumi adalah dua perkara yang sepasang. Penghuni langit adalah tempat tinggal para nenek moyang yang disebut 'ti' yang diperintah oleh nenek moyang yang maha agung iaitu Shang-Ti. Manakala penduduk bumi adalah mereka yang masih hidup. Langit berkuasa untuk menguasai bumi untuk memberikan kesejahteraan dan kemakmuran serta menentukan nasib bumi. Maka, bumi mestilah berbuat baik dan berbakti dengan langit.

Rujuk halaman 359-360 dalam Islam, Pelbagai Agama dan Kepercayaan lebih lanjut.