Tuesday, December 24, 2013

Taqwa kepada Allah SWT

Dalam konteks taqwa kepada Allah SWT ini, ada di antara mereka sering tertanya-tanya tentang bagaimana seseorang Islam boleh begitu patuh kepada ajaran agamanya terhadap Tuhan dalam menghadapi pelbagai tentangan dan kerenah daripada pihak-pihak kuasa besar dunia. Orang-orang Islam melawan pihak bukan Islam atas nama jihad yang orang-orang barat anggap sebagai pengganas. Mereka sesetengahnya tertanya-tanya bagaimana mereka sanggup hidup menderita kerana mempertahankan agama. Mereka tidak faham dengan konsep taqwa tetapi apa yang mereka faham seseorang Islam yang baik sanggup mempertahankan agama sehingga sanggup mati.

Ketaatan orang Islam juga sehingga sanggup berpuasa sampai sebulan lamanya. Apakah rahsia di sebalik itu? Faktor kesihatan mereka boleh faham tetapi ketaatan kepada Allah SWT dengan menahan diri tidak makan seharian membuatkan mereka sering mencari jawapan. Apabila berjumpa sesama Islam, mereka sering terdengar 'Assalamualaikum' dan dijawab oleh orang Islam yang lain ' Wa'alaikum mussalam'. Ada di antara mereka sering tertanya-tanya apakah rahsia di sebaliknya. Bagi orang Cina, apabila berjumpa sesama mereka, perkara yang pertama diucapkan ialah pertanyaan, "Sudah makan?" tetapi orang Islam memberi salam apabila berjumpa.

Mereka juga ingin tahu apa kaitan kepatuhan (ketaqwaan) kepada Tuhan itu dengan suara azan terutama di waktu subuh. Bagi mereka waktu ini adalah waktu orang masih tidur tetapi orang Islam telah dikejutkan dengan suara azan.Selepas itu, ramai orang Islam pergi ke surau atau pun masjid. Mereka ini hairan. Bukan sahaja pada waktu subuh tetapi juga pada waktu tengah hari kira-kira jam satu (Zuhur), kira-kira jam 4.30 petang (Asar), jam 7.00 petang (Maghrib) dan kira-kira jam 8.30 malam (Isyak). Selepas azan, ramai orang Islam menuju ke tempat suara azan itu. Di samping itu, ada juga di antara mereka yang sering tertanya-tanya kepatuhan orang-orang Islam pergi menunaikan ibadat haji di Mekkah. Ramai orang tua yang masih sanggup ke Mekkah dalam suasana menghadapi cuaca panas yang terik. 

Perkara-perkara ini sebenarnya ada di antara mereka yang amat tersentuh hati kecil untuk mengetahui rahsia kepatuhan kepada ajaran Islam ini. Maksudnya, dengan konsep taqwa ini, rasa ingin tahu mendesak mereka untuk tahu tentang Islam. Ketika mencari-cari, ada yang tertarik hati dengan Islam, dan akhirnya memeluk Islam.

Rujuk halaman 96 dalam buku Mengapa Kami Memeluk Islam.

No comments: