Pakar dalam hal laut, Prof. Durga Rao dari King Abdul Aziz dari Universiti di Jeddah telah diminta komen ayat mengenai kegelapan di lautan dalam, iaitu Al-Qur'an Surah An-Nuur, 24:40 yang bermaksud seperti berikut:
"Atau (orang-orang kafir itu keadaannya) adalah umpama keadaan (orang yang di dalam) gelap-gelap di lautan yang dalam yang diliputi oleh ombak yang bertindik ombak, di sebelah atasnya pula awam tebal (demikianlah keadaannya) gelap gelita yang berlapis-lapis, apabila orang itu mengeluarkan tangannya, ia tidak dapat melihatnya sama sekali. Dan (ingatlah) sesiapa yang tidak dijadikan Allah SWT menurut undang-undang-Nya mendapat cahaya (hidayah petunjuk) maka ia tidak akan beroleh sebarang cahaya (yang akan memandunya ke jalan yang benar)."
Prof. Rao menjelaskan bahawa hanya dengan menggunakan peralatan yang moden sahaja manusia dapat tahu bahawa di dalam lautan yang dalam itu gelap. Manusia katanya tanpa menggunakan peralatan moden hanya dapat menyelam sedalam 20-30 meter sahaja dan tidak akan dapat hidup di bawah daripada 200 meter bagi lautan yang dalam. Kegelapan ini adalah kerana sinaran cahaya yang mempunyai tujuh warna iaitu ungu, biru, hijau, kuning, oren, biru nila dan merah berbeza penyerapannya. Cahaya itu tidak akan menembusi air yang dalam. Cuma di peringkat atas sahaja di antara 10-15 meter boleh menyerapi ke dalam air.
Oleh itu, sekiranya seseorang penyelam berada melebihi 25 meter di dalam air, kiranya ia luka terkena batu atau seumpamanya ia tidak akan dapat melihat warna darahnya, kerana sinaran warna merah tidak dapat menembusi air sedalam itu. Begitulah juga pada cahaya oren pada kadar melebihi 30-50 meter, kuning di antara 50-100 meter, hijau di antara 100-200 meter, biru melebihi 200 meter dan seterusnya ungu dan biru nila tidak melebihi 300 meter. Begitulah seterusnya makin dalam makin gelap dan bilamana dalamnya melebihi 1000 meter kawasan itu amatlah gelap sekali ( Ocean, Elder and Pernetta, p.27). Prof. Durga membuat kesimpulan tidak mungkin manusia biasa dapat menghuraikan fenomena sebegitu baik. Ini bermakna ia datang daripada kuasa yang luar biasa.
Rujuk halaman 59 dalam buku Mengapa Kami Memeluk Islam untuk lebih lanjut.
No comments:
Post a Comment