Dr. Zaglool Al-Najjar, pemegang ijazah Ph.D dalam geologi dari Wales University menjelaskan bahawa Al-Qur'an ada menyebut 49 versi yang berbeza tentang gunung. Dalam satu daripada versi ini Al-Qur'an menyebut gunung sebagai pasak. Surah An-Naba' 78: 6-7 bermaksud:
"Mengapa kamu ragu-ragukan kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang telah mati? Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan? Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya?"
Para ahli sains kini mengakui bahawa gunung mempunyai pasaknya secara tersendiri. Apa yang kita lihat atas permukaan ini ketinggiannya itu hanya sedikit sahaja jika dibandingkan yang tertanam dalam bumi. Contohnya kemuncak Gunung Everest (gunung yang paling tinggi di dunia), ketinggian puncak yang terpacak di bumi ini cuma sembilan km tetapi yang bahagian dalam bumi batu gunung ini jauh terpancak ke dalam sehingga 125 km.
Sepertimana tiang khemah yang terpacak ke dalam bumi bagi menegakkan khemah daripada diterbangkan oleh tiupan angin, begitulah juga fungsinya gunung ini terpacak teguh sebagai paksi ke dalam bumi bagi menahan sebarang pergerakan tanah, air dan juga plat yang menyaluti paksi atau pasak (teras) pada gunung berkenaan. Dengan ini, kehidupan seperti tumbuhan, binatang dan manusia boleh berterusan sepertimana hari ini. Di sinilah bila diteliti, ia menggambarkan kebesaran Allah SWT. Firman-Nya dalam Al-Qur'an Surah Al-Hijr 15:6 bermaksud:
"Dan Dia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya ia tidak menghayun-hayunkan kamu dan Dia mengadakan sungai-sungai serta jalan-jalan lalu lalang supaya kamu dapat sampai ke matlamat yang kamu tuju."
Firman Allah SWT lagi:
"Dia menciptakan langit tanpa tiang yang kamu melihatnya dan Dia meletakkan gunung-ganang (di permukaan) bumi supaya bumi itu tidak menggoyangkan kamu..."
(Luqman 31: 10)
Bumi, laut dan api
Penemuan terkini di kalangan para ahli sains membuktikan bahawa hampir 70% daripada gunung berapi wujud di dasar laut. Kawasan-kawasan utamanya bagi gunung berapi yang dibawah lautan merangkumi satu jarak yang jauh iaitu kira-kira 70,000 km terbentuk menerusi dua kaedah kewujudannya iaitu:
i. Plat bumi terpisah melalui perolakan dan larva gunung berapi bawah memenuhi rekahan itu; atau
ii. Lava dari bawah tanah menolak ke atas dan memisahkan plat bumi.
Lava yang dihasilkan itu berbentuk basalt atau dalam bahasa saintifiknya dikenali dengan nama MORB (Mid Oceans Ridge Basalt). MORB ini sebenarnya meliputi seluruh dasar lautan dan juga merupakan jenis batu yang lazim dijumpai di atas muka bumi ini. MORB ini juga adalah menjadi tempat yang banyak berlaku gempa bumi, tetapi ianya pada skala yang rendah. Para saintis setakat ini (2006) tidak pernah merekodkan sebarang letusan gunung berapi di sini, biar pun keladak-keladak gempa bumi ini seperti ini pernah dikesan.
Para saintis telah melakukan kajian dan mendapati bahawa selepas kejadian tersebut, muncullah sejenis batu basalt yang baru dan air laut pula mengandungi bahan-bahan kimia yang panas dan organisme laut menjadi mati.
Letusan gunung berapi di dasar laut sebenarnya telah pun disebut dalam Al-Qur'an sejak 1400 tahun dahulu lagi, di mana Allah telah berfirman QS, Ath-Thuur, 52:6 yang bermaksud, "Dan laut yang di dalam tanahnya ada api".
Untuk membuat kajian seterusnya dalam aspek ini, para saintis sebenarnya terpaksa melalui dua halangan yang besar iaitu menyelami ke dasar lautan dan masuk ke dalam bahagian tanah yang di bawah lautan berkenaan. Oleh itu aneh sekali bagaimana Al-Qur'an telah menyebut hal ini dengan kesimpulan yang ringkas tetapi padat. Inilah yang membuktikan Allah yang Maha Besar dan Maha Mengetahui. Al-Qur'an bukanlah karangan Nabi Muhammad SAW sebagaimana yang didakwa oleh ornag-orang bukan Islam hari ini.
Rujuk halaman 55-56 dalam buku Mengapa Kami Memeluk Islam untuk lebih lanjut.
No comments:
Post a Comment