Wednesday, August 28, 2013

Nabi Muhammad SAW seorang yang buta huruf

Persoalan penting yang perlu ditonjolkan lagi ialah Nabi Muhammad SAW seorang yang buta huruf. Jadi, bagaimana boleh Baginda menulis, mengarang atau meniru daripada kitab Bible atau kitab yang terdahulu daripadanya? Ini juga ditegaskan dalam Al-Quran surah Al-Ankabut, 29: 48 yang bermaksud,"Dan engkau (wahai Muhammad) tidak pernah tahu membaca sesebuah kitab pun sebelum turunnya Al-Quran ini, dan tidak pula tahu menulisnya dengan tangan kanan kamu; (kalaulah engkau dahulu pandai membaca dan menulis) tentulah ada alasan bagi orang-orang kafir yang menentang akan merasa ragu-ragu (tentang kebenarannya)".

Allah SWT memilih nabi seorang yang 'ummi' yang terkenal di kalangan orang Arab di Mekah masa itu, Baginda tidak pandai membaca dan menulis. Dengan ini tidak ada alasan bagi orang yang berfikir untuk mengatakan Nabi Muhammad SAW itu mengarang/menulis Al-Quran.

Berita tentang akan wujudnya Nabi Muhammad ini sebagai Rasulullah yang tidak pandai membaca dan menulis sebenarnya telah dikhabarkan oleh Allah dalam kitab Bible yang terdahulu. Ini ditegaskan dalam Al-Quran, 7:157 yang bermaksud, "(Iaitu) orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad SAW), Nabi yang ummi, yang mereka dapati tertulis, (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil ada di sisi mereka".

Ramalan tentang akan datangnya Nabi Muhammad SAW yang ummi ini, sebenarnya telah tertulis dalam kitab Bible Yesaya 29:12 yang bermaksud,"Jika kamu membawa naskhah gulungan itu kepada orang yang tidak tahu membaca dan menyuruh dia membacanya, dia akan berkata bahawa dia tidak tahu membaca".

Dalam Al-Quran, sekurang-kurangnya terdapat lebih daripada empat ayat yang berlainan yang menyebut tentang Nabi Muhammad ini sebagai ummi (tidak pandai membaca dan menulis). Di antaranya, surah Al-A'raf, 7:158 dan surah Al-Jumu'ah, 62:2.

Rujuk halaman 164-165 untuk lebih penjelasan mengenai buku Islam, Pelbagai Agama dan Kepercayaan.

No comments: