Dalam konteks Al-Qur'an, kebolehpercayaannya (Reliability) dalam aspek pengumpulan fakta dan sumber rujukan adalah tinggi sekali. Ianya wahyu yang diterima terus oleh nabi Muhammad SAW melalui Jibril, dari semasa ke semasa. 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah. Sebaik sahaja di terima wahyu itu dari Jibril, Baginda Rasulullah yang tidak pandai membaca dan menulis itu, terus menyuruh pengikutnya menulis dan setengahnya menghafal. Dengan ini seluruh kandungan Al-Qur'an itu ada ditulis para penulis dan pengikut Baginda dan dihafal beratus-ratus oleh mereka yang soleh.
Selepas kemangkatan Nabi Muhammad SAW, Abu Bakar yang menjadi khalifah yang pertama, mempertanggungjawabkan kepada Zaid ibn Thabit untuk mengumpulkan semuanya. Ini kerana sesetengah sahabat baginda ada mencatatkan ayat-ayat Al-Qur'an ini ada yang di atas cebisan-cebisan kulit binatang atau seumpamanya. Zaid mengumpulkan semuanya ini dan selepas membandingkan dengan apa yang dihafal oleh para pengikut Baginda secara fasih, dikumpulkan yang dipanggil Mus'haf di mana ianya diyakini 100% betul.
Semasa pemerintahan Othman, khalifah yang ketiga, tujuh naskhah daripada Mu'haf Al-Qur'an itu disahkan lagi oleh golongan para hafiz (penghafal Al-Qur'an) dan menghantarkannya ke beberapa pusat empayar Islam. Salah satu daripadanya dihantar ke Tashkent. Semasa kerajaan Czar di Russia, naskhah ini dicetak secara banyak; Dan didapati naskhah Al-Qur'an ini tidak ada sebarang perbezaan dengan naskhah lain yang digunakan di seluruh dunia hari ini, sama juga dengan naskhah asal yang enam naskhah asal pada KM 1 Hijrah dahulu.
Daripada zaman nabi sehinggalah hari ini didapati beratus-ratus ribu hafiz di serata dunia. Kesan daripada ini sebarang usaha penyelewengannya tetap gagal. Sehingga hari ini tiada pakar akademik sama ada Islam mahu pun bukan Islam yang boleh mencabarnya (al-Qur'an) secara bukti yang kukuh dari segi kebolehpercayaannya (Reliability). Malah pengkritik yang terkenal Sir William Muir menulis tentang Al-Qur'an yang bermaksud katanya tiada sebarang buku di dunia hari ini yang kekal keasliannya sehingga ke 12 abad, kecualilah Al-Qur'an. Ini tepat sekali dengan firman Allah dalam QS, Al-Hijr 15:9 yang bermaksud:
"Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur'an, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya."
Rujuk halaman 133-134 dalam buku Satu Perhitungan: Islam-Kristian untuk lebih lanjut.
No comments:
Post a Comment