Thursday, April 17, 2014

Berlawanan

Dalam konteks berlawanan ini perlu ditinjau secara positif dan lebih berhati-hati. Maksudnya jangan mudah dibuat kesimpulan tanpa bukti kukuh. Contohnya tentang kematian Judas (seorang murid Nabi Isa). Ada dua versi. Versi pertama ialah Acts 1:18 di mana Petrus mengatakan bahawa Judas mati dalam keadaan jatuh tertiarap dan perutnya pecah. Tetapi dalam Matthew 27:5 pula mencatatkan Judas mati gantung diri. Mana satu yang betul? Sebenarnya kedua-duanya betul. Ini kerana bila diteliti iaitu Judas mati dengan menggantungkan dirinya, kemudian jenazahnya jatuh dan perutnya pecah.

Dalam Al-Qur'an juga bila dibaca dengan sekali imbas akan wujudnya pertentangan. Lebih-lebih lagi oleh mereka yang mencari-cari kelemahan dalam Al-Qur'an. Contohnya boleh diteliti pada dua ayat dalam Al-Qur'an pada surah Al-Maidah sepertimana berikut:

QS Al-Maidah,5:51 yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim".

Manakala di surah yang sama QS Al-Maidah 5:69 pula Allah berfirman bermaksud, "Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi, dan orang-orang Saabi'in, dan orang-orang Nasrani - sesiapa sahaja di antara mereka yang beriman kepada Allah (dan segala rasulNya meliputi Nabi Muhammad s.a.w.), dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal salih, maka tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berduka cita".

Pertentangan ini pernah dipersoalkan oleh para cendikiawan Kristian, kata mereka manakah satu yang benar di antara dua ayat ini? Jawapannya ialah kedua-duanya benar! Dalam begitu ramai orang Yahudi dan begitu ramai juga orang Nasrani, ada yang beriman dan ada yang tidak beriman sepertimana yang dimaksudkan pada ayat di atas. Yang dimaksudnya pada ayat 51 itu ialah terhadap orang Yahudi dan Nasrani yang tidak beriman; manakala yang dimaksudkan oleh ayat ke 69 itu ialah terhadap orang-orang Yahudi dan Nasrani yang beriman kepada Allah sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat 69 itu. Itulah sebabnya yang dikatakan kedua-duanya betul.

Demikianlah halnya dengan perkataan Tuhan dan Anak Allah itu yang disebut dalam Bible. Dalam Bible mengatakan Jesus itu Tuhan dan Jesus juga Anak Tuhan; Sedangkan dalam Al-Qur'an mengatakan Tuhan (Allah) hanya Esa, tidak beranak dan tidak diperanakkan (QS Al-Ikhlas, 112:1-4). Apakah ini berlawanan dengan apa yang dijelaskan dalam Al-Qur'an. Bagi penulis, ianya tidak berlawanan. Hanya persepsi manusia sahajalah yang menyebabkan kenyataan itu mudah terseleweng! Ini telah diperjelaskan di dalam Bab 2 sebelum ini. Oleh itu perkataan "Tuhan" dan Anak Tuhan (Allah) dalam Bible itu tidaklah bertentangan dengan QS Al-Ikhlas, 112:1-4 itu.

Rujuk halaman 118-120 dalam buku Satu Perhitungan : Islam-Kristian untuk lebih lanjut.

No comments: