Para penganut Kristian mengetahui bahawa Nabi Adam yang menyebabkan terjadinya Dosa Warisan ini kerana memakan buah larangan Tuhan disebabkan diperdaya oleh Iblis (Old Testament:Genesis,3:6) bermaksud:
Perempuan itu melihat pokok itu sangat cantik dan buahnya enak dimakan. Dia berfikir betapa eloknya jika dia menjadi bijaksana. Maka dia memetik buah itu dan memakannya serta ia juga memberikan kepada suaminya memakan buah itu.
Oleh kerana Nabi Adam dan isterinya memakan buah itu ia telah dihukum oleh Tuhan dengan menghantarnya ke dunia ini. Dosa Nabi Adam yang memakan buah itu terus diwarisi oleh setiap keturunannya di dunia ini. Penganut Kristian mempercayai Jesus dihantar ke dunia ini di mana Penyaliban Jesus adalah sebagai menebus Dosa Warisan ini.
John,3:16 bermaksud, "Allah sangat mengasihi manusia di dunia ini sehingga Dia memberikan AnakNya yang tunggal supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak akan binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal".
Galatins,1:4 bermaksud, "Untuk menyelamatkan kita daripada zaman yang jahat ini, Jesus Christ telah menyerahkan dirinya sebagai korban bagi dosa-dosa kita. Dia melakukannya bagi mentaati kehendak Allah bapa kita".
Malah seseorang bayi yang baru lahir juga terpaksa dengan sendirinya menerima dosa itu secara mewarisi dan untuk menghapusnya ini seseorang bayi/anak itu mengikut amalan Kristian hari ini diadakan upacara 'Baptis'.
Implikasinya di sini kiranya Adam dan Siti Hawa tidak memakan buah itu, Nabi Adam dan isterinya itu tidak akan dihantarkan ke dunia ini dan tidak akan adalah Jesus untuk menebus dosa ini. Apakah ini satu yang logik? Untuk ini pembaca sendirilah yang menjawabnya.
Islam tidak percayakan dosa Nabi Adam itu diwarisi. Dosa Nabi Adam dan Siti Hawa hanya ditanggung oleh mereka berdua. Nabi Adam dan Siti Hawa telah dihukum, dihantar ke dunia ini.
Al-Qur'an surah Al-Isra, 17:15 bermaksud,
"...........Dan setiap orang yang berdosa (dengan dosanya) tidak pula dapat menanggung dosa orang lain dan kami tidak akan menimpakan azab sebelum kami mengutuskan rasul (kepada manusia)". Ini pula agak bersamaan dengan Bible yang berikut di bawah ini.
Bible Jerimiah, 31:30 menegaskan "......setiap orang akan mati kerana dosanya sendiri". Manakala dalam Ezekiel, 18:20 juga menjelaskan, ".....Seorang anak tidak menanggung akibat daripada dosa bapanya. Demikian juga seseorang bapa tidak menanggung akibat daripada dosa anaknya. Seorang yang baik akan menerima ganjaran kerana kebaikannya, dan seorang yang jahat akan menanggung akibat daripada kejahatannya".
Matthew, 19:14, Jesus berkata kepada para pengikutnya, "Biarlah kanak-kanak itu datang kepadaku. Jangan larang mereka, kerana orang seperti inilah menikmati Perintah Allah".
Romans 2:5-6, bermaksud, "Kamu degil dan keras kepala. Oleh itu, kamu sendiri yang menjadikan hukuman kamu semakin berat pada hari Kiamat apabila Allah menyatakan kemurkaanNya dan menjatuhkan hukuman yang 'adil. Hal yang demikian itu adalah kerana Allah akan membalas setiap orang, setimpal dengan perbuatannya sendiri".
Rujuk halaman 139-140 dalam buku Satu Perhitungan : Islam-Kristian untuk lebih lanjut.