Apabila Rasulullah s.a.w. baru saja wafat, adalah diriwayatkan bahawa ketika Sayyidina Ali bin Abu Talib r.a. meletakkan jasad baginda diatas tempat tidurnya, tiba-tiba terdengar suara ghaib dari penjuru rumah berseru dengan nada tinggi: "Jangan kamu mandikan jenazah Muhammad, kerana ia adalah orang yang suci lagi pula membawa kesucian!" Ali curiga terhadap suara itu seraya ia bertanya:
"Siapakah engkau?Bukankah Rasulullah menyuruh kami memandikannya..?Tiba-tiba terdengar suara ghaib yang lain berseru sebaliknya:
"Hai Ali! Mandilah beliau! Suara ghaib yang pertama itu berasal dari suara iblis yang terkutuk kerana dengki terhadap Muhammad s.a.w. dan ia bermaksud supaya Nabi Muhammad tidak dimasukkan ke dalam liang kuburnya dalam keadaan dimandikan."
Ujar Ali pula: "Semoga Allah membalasi engkau dengan kebajikan dikala engkau memberitahukan, bahawa suara itu berasal dari iblis. Sekarang siapakah pula sebenarnya engkau sendiri?"
"Aku adalah Khidir, aku datang untuk menziarahi jenazah Muhammad s.a.w. "Jawab suara itu.
Kemudian Saiyidina Ali r.a. pun memandikan jenazah Rasulullah s.a.w. sedang AlFadhal Bin Abbas dan Usamah Bin Zaid r.a. menimbakan air dan malaikat Jibril datang membawa harum-haruman dari syurga. Mereka kapan dan kuburkan beliau di kamar rumah Siti Aishah pada malam Rabu dan ada yang mengatakan pada malam Selasa.
Kewafatan baginda telah menyebabkan kesedihan yang bukan sedikit dikalangan seluruh ummat, lebih-lebih lagi para sahabat yang terdekat. Kata-kata yang dilahirkan oleh para sahabat setelah mengetahui kewafatan beliau amatlah mengharukan.
Seketika membuka kain selubung yang menutupi wajab Rasulullah yang baru saja wafat, Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq berkata dengan penuh terharu:
"Demi ayah dan bondaku! Alangkah indahnya hidupmu dan alangkah indahnya matimu! Demi Allah! Sekali-kali tidak akan terkumpul dua kematian atas dirimu. Adapun mati yang telah ditentukan Allah bagimu, telah kau alami. Dan setelah itu takkan ada lagi kematian yang datang kepadamu buat selama-lamanya!"
Hassan bin Thabit r.a. salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. yang utama dan penyair Islam yang agung dizaman Rasulullah, telah menerima berita kewafatan baginda dengan berat sekali. Kesedihan yang dirasakannya dapat kita saksikan dari sebuah sajak yang ditinggalkan sejurus kewafatan Rasulullah:
"duhai, engkaulah biji mataku
Dengan kematianmu,
aku menjadi buta
tak dapat melihat
siapa yang ingin mati sepeninggalanmu
biarlah ia mati pergi menemui ajalnya
Aku, hanya risau haru dengan pemergianmu.."
Tetapi yang paling merasakan berat atas kewafatan baginda ialah kaum keluarganya yang terdekat seperti puteri baginda yang paling dikasihinya Siti Fatimah serta balu-balu baginda terutama Siti Aisyah r.a.
Ada meriwayatkan sepeninggal ayahnya, orang melihat Siti Fatimah Azzahra selalu berikat kepala, tubuhnya semakin kurus dan matanya membengkak kerana menangis terus menerus, bahkan ia sering tidak sedarkan diri kepada putera-puteranya ia selalu mengataka:
"Mana dia ayah yang mencintai kalian itu?Aku tidak pernah lagi melihat dia membuka pintu ini. Kalian tidak akan pernah lagi naik ke atas punggungnya seperti yang biasa kalian lakukan.."
Ingin mendapatkan buku PALING LARIS "ISLAM, PELBAGAI AGAMA DAN KEPERCAYAAN" dengan harga promosi RM 20. Contact 019-380 5413 (Dr Nawi Jusoh) / 019-2278311 (Nik Noraini)
No comments:
Post a Comment