Tuesday, July 23, 2013

Di sebalik Hajarul Aswad

Banjir besar yang melanda Kota Makkah menyebabkan Kaabah mengalami kerosakan teruk dan selepas banjir surut, tiada siapa berani meruntuhkan baki dinding yang tinggal bagi membinanya semula. Hanya Al-Walid bin Mughirah, ketua suku Makhzum yang berani melakukannya, seorang diri beliau meruntuhkan bahagian antara Hajarul Aswad dan Rukn Yamani. Keesokan harinya, selepas melihat tiada apa-apa yang buruk berlaku kepada Al-Walid, barulah kerja pembinaan semula dilakukan secara gotong royong dengan baik sekali. Bagaimanapun, berlaku pertikaian dalam menentukan siapa yang lebih berhak meletakkan Hajarul Aswad pada tempatnya hingga ada yang menghunus pedang, bersumpah untuk berjuang menuntut apa yang disangka hak mereka. Pertikaian berlarutan hingga lima hari tanpa ada penyelesaian, perang antara puak seolah-olah akan meletus bila-bila masa sahaja.

Akhirnya, Aba Umaiyah memberi cadangan penyelesaian kepada konflik ini. Seperti dipersetujui semua pihak, siapa yang pertama memasuki kawasan Kaabah melalui As-Safa, orang itu akan menjadi hakim bagi menyelesaikan masalah mereka. Keesokan paginya Nabi Muhammad orang pertama memasuki kawasan Kaabah melalui pintu As-Safa dan dengan kebijaksanaannya. Baginda meminta semua wakil suku yang bertelagah bersama mengangkat Hajarul Aswad di atas sehelai kain. Apabila hampir dengan tempatnya, Baginda sendiri mengambil Hajarul Aswad lalu meletakkannya di tempat asalnya iaitu di penjuru timur Kabbah dan tindakan itu dipersetujui semua pihak bertelagah.


No comments: