Thursday, January 9, 2014

Mengapa Islam Makan Daging Haiwan

Orang Islam dibenarkan memakan daging untuk keperluan manusia itu sendiri. Ini dinyatakan di dalam Al-Qur'an Surah Al-Mu'minuun, 23:21:

"Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak, benar-benar terdapat pengajaran yang penting bagi kamu, kami memberi minum kamu dari air susu yang ada di perutnya, dan juga pada binatang-binatang ternak itu terdapat faedah yang banyak untuk kamu, dan sebahagian darinya kamu makan."

Sesungguhnya makanan bukan vegetarian adalah sumber protein yang lengkap, mengandungi kesemua lapan asid amino, zat besi, vitamin B1 dan niasin yang amat diperlukan manusia. Binatang yang jenisnya memakan daging mempunyai gigi taring. Manusia juga mempunyai gigi taring. Oleh itu, logiknya Allah menjadikan manusia juga untuk memakan daging yang dihalalkan-Nya. Manusia juga dikurniakan Allah dengan sistem pencernaan yang dapat menghadamkan kedua-dua jenis makanan ini iaitu vegetarian dan daging. Maka, amat baik sekiranya kita menggunakan kurniaan Allah ini dengan jalan yang dibenarkan-Nya.

Kita mendapati orang agama Hindu tidak memakan daging, lebih-lebih lagi daging lembu. Biarpun begitu, sebenarnya pendita Hindu juga makan daging. Dalam kitab Hindu juga membenarkan memakan daging. Contohnya kitab Hindu Manu Smruti, bab 5, rangkap 30:

"Orang yang memakan daging yang boleh dimakan tidak melakukan keburukan, walau pun dia memakannya setiap hari, kerana Tuhan telah menciptakan sebahagian untuk dimakan dan sebahagian lagi sebagai pemakan daging."

Di samping itu, dalam kitab Smriti, bab 5, rangkap 39 dan 40 pula menyebut:

"Tuhan sendiri telah mencipta haiwan korban untuk dikorbankan..., oleh itu membunuh untuk korban bukanlah pembunuhan."

Apa yang perlu ditekankan di sini ialah wujudnya persamaan dalam konteks di antara agama Hindu dengan agama Islam iaitu daging lembu boleh dimakan dan dibunuh (sembelih bagi Islam) untuk korban bukanlah dianggap sebagai pembunuhan. Sekiranya pihak yang mengamalkan vegetarian mendakwa mereka tidak boleh makan makanan yang bernyawa. Walaupun dikatakan pokok tidak mempunyai pancaindera seperti manusia yang mempunyai lima pancaindera, pembunuhan manusia yang mempunyai tiga pancaindera juga dianggap berdosa besar (kalau mahkamah hukumannya tetap sama).

Rujuk halaman 176-177 dalam buku Mengapa Kami Kembali Memeluk Islam untuk lebih lanjut.

Wednesday, January 8, 2014

Penaklukan Iraq

Pencerobohan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iraq pula dengan alasan yang diberikan oleh AS ialah untuk membebaskan rakyat Iraq daripada kekejaman diktator Saddam Hussein. Alasan lain pula ialah untuk menghapuskan program senjata nuklear, kimia dan biologi di Iraq. Anehnya, senjata yang jauh lebih dahsyat kesannya wujud dalam simpanan Amerika dan sebahagian daripadanya digunakan secara berleluasa. Negara Israel mempunyai banyak senjata nuklear tetapi Amerika tidak mengambil sebarang tindakan. Malah usaha sekatan membina senjata nuklear di Timur Tengah (termasuk negara Israel) oleh Amerika sebagai kuasa vetonya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menyekat usaha anak emasnya (Israel) daripada membina senjata nuklear. Keadilan apakah ini namanya? Jelas di sini bahawa ia hanya untuk diri sendiri sahaja. Ini menunjukkan dasar 'double standard' yang makin dicemuhi oleh masyarakat dunia.

Pada 20 Mac 2003, Iraq sekali lagi digegarkan dengan ledakan bom dan peluru berpandu senjata pemusnah Amerika dan sekutunya. Tahun 1991, Iraq diserang tetapi Iraq masih berjaya mempertahankan diri. Namun Iraq dikenakan sekatan ekonomi yang teruk. Hasil minyak di Iraq, ditelan oleh puak Zionis sedangkan rakyat Iraq hanya diberikan makanan, mengikut catuan ketetapan PBB. Setelah Iraq dalam keadaan benar-benar tenat pada 20 Mac 2003, pihak penceroboh Amerika dan sekutunya bertindak menyerang Iraq bersama 300 ribu tentera dengan pelbagai peralatan tentera yang canggih mengganas dengan begitu hebat sekali di Iraq. Pencerobohan ini sebenarnya tanpa kebenaran PBB kerana PBB tidak dapat membuktikan yang Iraq ada senjata pemusnah seperti yang didakwa oleh pengganas dan penceroboh Amerika.

Sebenarnya pengganas dan penceroboh Amerika tidaklah terlalu kuat tetapi oleh kerana perpecahan umat Islam sendirilah yang menyebabkan Iraq dan Afganistan dapat diguling dengan cepat. Di Iraq dan di Afganistan terdapat sebahagian umat Islam yang membantu Amerika, mengkianati agama dan bangsa sendiri. Mungkinkah ada di antara pemimpin mereka lebih pentingkan tawaran rasuah ratusan billion dollar daripada pengganas dan penceroboh Amerika? Entah.

Sebaik sahaja pengganas dan penceroboh ini menakluki Iraq, dengan rakusnya ia menguasai telaga-telaga minyak Iraq. Syarikat-syarikat minyak milik mereka ini mengambil alih urusan pengeluaran minyak Iraq dan merompak khazanah Iraq. Rakyat Iraq berputih mata. Inilah matlamat mereka yang sebenarnya di samping memerangi Islam itu sendiri iaitu dengan cara menyebarkan Kristian secara halus. Untuk ini mungkinkah Satu gelaran yang sesuai untuk Amerika ialah 'Pengganas-Penceroboh-Perompak Dunia' di alaf baru. Sebenarnya, Amerikalah punca keganasan di seluruh dunia. (Prof. Yusof al-Qardhawi, Ibid, hal. 1055)

Iraq yang dahulu pernah menjadi antara negara yang terkaya di Timur Tengah, kini telah menjadi negara yang termiskin. Konflik Iraq-Iraq pada tahun 1980-an dan juga Perang Teluk pada tahun 1991 yang didalangi oleh 'penjenayah' Amerika menyebabkan Iraq terpaksa meminjam daripada negara-negara lain khasnya Amerika, Rusia, Perancis dan Arab Saudi. Hutang tersebut dianggarkan AS $ 120 juta. Itu tidak termasuk tuntutan pampasan perang iaitu lebih daripada AS$100 juta yang perlu dibayar kepada kerajaan Arab Saudi dan Kuwait sebagai ganti rugi Perang Teluk itu.

Rujuk halaman 173-174 dalam buku Mengapa Kami Memeluk Islam untuk lebih lanjut.

Tuesday, January 7, 2014

Pengeboman WTC Dan Kesan Ke atas Afganistan

Pada September 2001, satu tragedi mengejutkan dunia iaitu bangunan WTC di Amerika yang mempunyai 109 dan 110 tingkat itu telah dibom dan ranap jadi abu. Mungkinkah ini sudah menjadi suratan takdir dari Tuhan sebagai amaran untuk menyedarkan umat Islam yang sering bertelagah sesama sendiri? Untuk ini sila renungkan Al-Qur'an Surah At-Taubah, ayat 109-110 yang bermaksud,

"Maka adakah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di atas dasar taqwa kepada Allah dan (untuk mencari) keredhaan Allah itu lebih baik ataukah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya itu di tepi jurang yang (hampir) runtuh, lalu runtuhlah ia dengan yang membangunkannya ke dalam api neraka? Dan (ingatlah) Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim (109). (Keruntuhan masjid) yang dibina oleh mereka yang munafik itu senantiasa menjadi penyakit syak dan keluh kesah (lebih daripada yang sedia ada) dalam hati mereka, (dan tidak akan habis) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." (110)

Renungkanlah...Apakah ia suratan Takdir?

  • Surah At-Taubah ini sebenarnya adalah amaran keras kepada orang-orang munafik di Makkah. Perlu diperhatikan bahawa di antara surah-surah yang sebanyak 114 itu dalam al-Qur'an, hanya Surah At-Taubah ini sahaja yang dimulai-Nya dengan Bismillahi rahmanirrahim. Mungkin ini supaya kita lebih ambil perhatian tentang amaran-Nya.
  • Ayat 109 dan 110 Surah At-Taubah ini menceritakan tentang bangunan yang didirikan oleh orang-orang yang zalim. Kebetulannya bangunan WTC ini berkembar dua, satu 109 tingkat dan satu lagi 110 tingkat.
  • Ayat 109 Surah At-Taubah ini ada disebut 'Jurufin Har' (Jurang yang runtuh). Kebetulannya bangunan WTC yang runtuh itu terletak di jalan Jerf Har, New York, Amerika Syarikat.
Subhanallah! Maha Suci Allah, Tuhan yang Maha Agung lagi Maha Mengetahui! Mudah-mudahan menjadi iktibar bagi kita semua di dunia hari ini.

Ayat 109-110 ini menceritakan tentang bangunan yang didirikan oleh orang-orang yang zalim. Siapakah itu orang-orang yang zalim? Biarlah anda sendiri menjawabnya. Sesungguhnya sebelum peristiwa ini, Amerika menganggap negaranya dalam dunia ini satu-satunya yang tidak pernah diserang musuh, malah ia sendirilah (AS) yang menyerang dan memporak-perandakan negara orang lain. 

Kali ini bangunan yang begitu berprestij di negaranya sendiri diranapkan. Selepas sahaja peristiwa ini, AS menudingkan jarinya kepada musuh nombor satunya yang tidak mengikut telunjuknya iaitu Sheikh Osama bin Laden sebagai orang yang paling disyaki merancang pengeboman ini. Salahnya ialah Osama ini berada di Afganistan. Itu pun disyaki sahaja. Osama tidak bertanggungjawab. Malah sebagai seorang yang berani kerana benar, kita yakin kiranya beliau melakukan perbuatan itu sudah sepatutnyalah ia akan mengaku bertanggungjawab. 

Anehnya di sini, rakyat Afganistan yang tidak berdosa ramai dibunuh. Sekiranya Amerika itu kerajaan Islam dan Afganistan ini beragama Kristian, kerajaan Islam tetap tidak melakukan perkara ini. Allah melarang keras membunuh seseorang yang tidak ada bukti sahih kesalahannya. Lebih-lebih lagi rakyat yang tidak berdosa mati menjadi mangsa keadaan.

Untuk info lanjut mengenai topik ini, sila rujuk halaman  169-170 dalam buku Mengapa Kami Memeluk Islam.

Monday, January 6, 2014

Kaitan Orang Islam Dengan Fundamentalis Dan Pengganas

Sesungguhnya perkataan pengganas ini dilabelkan kepada orang-orang Islam secara melulu. Ini adalah kerana perancangan pihak-pihak tertentu yang berasa takut kepada bayang-bayangnya sendiri terhadap Islam yang sedang berkembang rancak di negara mereka secara aman. Islam tetap melarang membunuh manusia kecuali dengan sebab-sebab yang dibenarkan oleh syara'. Allah berfirman:

Maksudnya: "Oleh kerana itu Kami tetapkan (suatu hukum) bagi Bani Israel bahawa: barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana orang itu membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia semuanya, dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya. Dan demi sesungguhnya, telah datang kepada mereka Rasul-Rasul Kami dengan membawa keterangan yang cukup terang; kemudian, sesungguhnya kebanyakan dari mereka sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang-orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi."
                                                                                                                                 (QS Al-Ma'idah 5:32)

Perkataan fundamental ini juga telah disalah gunakan. Perkataan ini pada mulanya digunakan untuk segolongan Kristian yang mempercayai bahawa Bible adalah kata-kata suci tanpa sebarang kesalahan dari Tuhan. Menurut kamus Oxford, 'fundamentalisme' bererti memegang teguh kepada dokrin fundamental lama sebarang agama, khususnya Islam. Anehnya hari ini, sebaik sahaja seseorang itu menggunakan perkataan fundamentalis, ia berfikir tentang pengganas Islam. Padahal dalam pengertian sebenarnya menurut Dr. Zakir Abdul Karim Naik ialah organ fundamentalis yang mengamal dan mematuhi doktrin teori yang diikutinya. Bagaimanapun, fundamentalis ini perlu merujuk kepada bidang aktiviti berkaitan. Kalau perompak yang fundamentalis, ia akan mendatangkan bahaya tetapi kalau doktor yang fundamentalis, ia adalah seorang doktor yang baik dan dihormati.

Dalam konteks ini, anehnya pula gelaran 'pengganas' ini diberikan juga kepada orang yang sama yang dianggap sebagai patriot atau pahlawan untuk perbuatan yang sama. Contohnya, sebelum India mencapai kemerdekaan daripada British,  beberapa pejuang kebangsaan untuk kemerdekaan India yang berjuang secara aman, juga digolongkan sebagai pengganas oleh pihak British. Begitulah juga di Malaysia, sebelum merdeka dahulu Mat Kilau yang menentang Inggeris pada masa itu dianggap bukan lagi sebagai pengganas tetapi juga sebagai penderhaka. Padahal Mat Kilau ini adalah pejuang tulen menentang penjajah Inggeris pada masa itu di Pahang dalam Semenanjung Malaysia.

Dengan ini, setiap orang Islam perlu menjadi fundamentalis kepada agama Islam demi mencapai pengertian dan ajaran Islam yang sebenarnya iaitu kesejahteraan dan keadilan masyarakat. Dalam konteks Islam, dilarang keras menghukum seseorang tanpa bukti sahih. Dalam soal pembunuhan pula, diharam membunuh kecuali wujud bukti jelas dengan kesalahannya yang diharamkan mengikut hukum syara'.

Persoalannya di sini, siapakah sebenarnya PENGGANAS dalam konteks globalisasi hari ini? Siapakah pembunuh nombor satu Dunia? Mungkin anda tahu jawapannya apabila meneliti bukti-bukti sahih berdasarkan Tiga Tragedi Penting Dunia di abad ini iaitu pengeboman bangunan World Trade Center (WTC) di Amerika Syarikat, penaklukan Afganistan dan penaklukan Iraq.

Rujuk halaman 168-169 dalam buku Mengapa Kembali Memeluk Islam.

Sunday, January 5, 2014

Hijab Untuk Wanita

Persoalan yang lazim ditimbulkan ialah mengapa Islam merendahkan wanita dengan menyembunyikan mereka di sebalik tudung? Sebelum kita menjawab soalan ini, cuba kita tinjau dulu kedudukan wanita sebelum Islam iaitu sepertimana berikut:

Tamadun Babylon
- Hak keadilan bagi wanita dinafikan. Contohnya jika seseorang lelaki membunuh seorang lelaki atau wanita, yang dihukum mati ialah isteri pembunuh itu.

Tamadun Yunani
- Meletakkan taraf wanita seperti binatang. Pelacuran adalah menjadi perkara biasa dalam tamadun Yunani.

Tamadun Rome
- Seorang lelaki berhak membunuh isteri. Pelacuran juga menjadi perkara biasa dalam masyarakat Rome.

Tamadun Mesir
- Masyarakat Mesir masa dahulu menganggap perempuan ini sebagai jahat dan petanda syaitan.

Arab Sebelum Kedatangan Islam
- Arab sebelum Islam juga merendahkan taraf wanita. Seringkali juga terjadi bila anak perempuan itu dilahirkan, ia akan ditanam hidup-hidup.

Apabila Islam lahir, Islam telah mengangkat martabat wanita. Hijab ini sebenarnya ialah mengikut Al-Qur'an dan Sunnah, pada dasarnya apabila disebut hijab. Ia terdapat dalam enam siri seperti mana berikut:

1. Had aurat - Had yang wajib bagi lekai sekurang-kurangnya menutup tubuhnya daripada pusat ke lutut, manakala perempuan pula adalah keseluruhan tubuh kecuali muka dan kedua tapak tangan hingga ke pergelangan tangannya. Sesetengah ulama menegaskan bahawa Islam mewajibkan juga muka dan tapak tangan termasuk dalam pematuhan hijab. Di samping itu, lima ciri berikut pula adalah merangkumi kaum lelaki dan wanita.
2. Pakaian yang longgar dan ia tidak mendedahkan tubuh.
3. Pakaian yang tidak jarang sehingga nampak kulit di sebalik pakaiannya.
4. Pakaian yang tidak terlalu 'glamour' yang boleh menarik jantina bukan sejenisnya.
5. Pakaian tidak boleh menyerupai jantina yang bukan sejenisnya.
6. Pakaian yang mempunyai simbol bukan Islam seperti salib dan sebagainya.

Rujuk halaman 165-166 dalam buku Mengapa Kembali Memeluk Islam untuk lebih lanjut.

Thursday, January 2, 2014

Menonjolkan Cabaran Al-Qur'an

Al-Qur'an adalah apa yang diwahyukan oleh Allah kepada Raja Muhammad SAW melalui malaikat Jibrail. Ia mengandungi 6666 ayat dan 2/3 daripadanya mengenai kehidupan dunia manakala 1/3 daripadanya adalah mengenai akhirat. Bagaimanapun kedua-dua aspek ini adalah berkait rapat. Tanpa salah satu daripadanya akan menjadi pincang. Daripada kedua-dua aspek ini, lebih daripada 1000 ayat adalah mengenai sains. Apa yang diterangkan dalam Al-Qur'an adalah dalam bahasa Arab. Bagaimanapun, bahasa Arab dalam Al-Qur'an ini adalah jauh lebih baik dan susunannya adalah lebih kemas dan lebih indah daripada bahasa Arab yang ditulis atau digunakan oleh bangsa Arab masa itu. Seorang daripada penyair yang terkenal di Makkah masa itu (Nabi Muhammad SAW di Makkah), Al-Mugharah mengakui sendiri bahawasanya bahasa Arab dalam Al-Qur'an ini adalah cukup indah. Bukan karangan manusia biasa katanya. Dalam konteks ini, Al-Qur'an sendiri juga telah mencabar yang maksudnya:

"Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Qur'an) kepada hamba Kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Qur'an itu, dan panggillah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu dan selain dari Allah, jika betul kamu orang yang benar."
                                                                                                                           (Surah Al-Baqarah, 2:23)

"Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak akan dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan bakarnya: manusia dan batu-batu (berhala), (neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir.
                                                                                                                           (Surah Al-Baqarah, 2:24)

Sesungguhnya sehingga setakat ini tiada orang yang boleh membuat sesuatu surah pun yang keindahan dari segi bahasa dan kepadatan dari segi isi dan sebagainya sepertimana yang wujud dalam Al-Qur'an ini. Sehubungan dengan ini, para pendakwah muda haruslah mahir tentang penemuan-penemuan baru dalam kajian sains di mana kesemuanya ini telah disebut dalam Al-Qur'an sejak lebih daripada 14000 tahun dahulu. Untuk ini, sila rujuk bab 1 di bawah tajuk Diskusi Tentang Kepentingan F2:Mukjizat Al-Quran iaitu yang mendedahkan tentang beberapa aspek iaitu seperti Astronomi, Geologi, Fizik, Geografi, Oceanologi, Berpasangan dan Zoologi.

Rujuk halaman 163-164 dalam buku Mengapa Kembali Memeluk Islam.

Wednesday, January 1, 2014

Agama Islam-Kristian

Islam dengan Kristian ini seperti dimaklumkan pada asalnya banyak persamaan. Apa yang difokuskan oleh mubaligh Kristian sekarang ialah pemahaman barat tentang Jesus (Nabi Isa), bukan sebenarnya apa yang disampaikan oleh Nabi Isa. Bagi Islam, apa yang pentingnya ialah intipati yang disampaikan oleh Nabi Isa iaitu percayakan Tuhan yang Satu. Mubaligh Kristian sebenarnya mengelak daripada memberitahu kepada pengikut-pengikutnya yang Islam mengiktirafkan Nabi Isa. Jauh sekali untuk menyebut yang di dalam Al-Quran telah berkali-kali menceritakan tentang Nabi Isa iaitu anak Maryam dan merupakan utusan Allah yang mana umat Islam wajib mempercayai dan menghormatinya.

Kedua-dua agama ini masing-masing mengakui kebenarannya. Untuk mencari kebenaran secara mutlak adalah mustahil dapat dipersetujui kecuali dengan adanya  Diskusi Agama secara 'kawan' di antara dua agama terbesar di dunia hari ini. Dengan adanya diskusi ini, ia dapat saling memahami secara fakta di antara satu sama lain. Dengan ini, perasaan hormat-menghormati akan terus terjalin walaupun orang Islam tidak dapat mempengaruhi mereka untuk memeluk Islam. Bagaimanapun, Islam tetap dapat mempengaruhi Kristian dalam aspek kebenaran ini. Dalam usaha diskusi ini, beberapa pra-syarat perlu dipatuhi. Di antaranya ialah:

1. Kedua-dua agama ini biarlah sama-sama boleh menerima kritikan atau pandangan secara terbuka biarpun tidak dipersetujui.
2. Saling menghormati sepanjang diskusi.
3. Perspektif sejarah perlu dijadikan asas.
4. Kedua-dua perlu akur kepada faktor yang sebenar.
5. Tidak mengikat diri dengan sebarang tokok tambah ajaran asal.
6. Diskusi ini memfokuskan kepada bidang yang difikirkan berpotensi kepada kejayaan, contohnya dalam bidang pembentukan akhlak yang baik.

Dalam konteks ini, ada tiga aspek  yang boleh menjalankan diskusi ini:
a. Islam dan Kristian mengakui manusia dicipta oleh Tuhan dan mempunyai tugas memakmurkan dunia ini. Manusia juga diberikan fikiran, tenaga dan jasad bersesuaian dalam menghadapi gelombang hidup di dunia ini di mana manusia perlulah belajar dan berusaha berasaskan pemberian Tuhan terhadaop dirinya dan persekitarannya.

b. Kesedaran diri tentang kewujudan Tuhan. Pengakuan ini perlulah diselaraskan dengan amalan harian. Akhlak yang baik dan sebarang tindakan yang baik itu perlulah dikaitkan dengan Tuhan yang menjadikan manusia. Buruk dan baiknya tingkahlaku manusia ini adalah tanggungjawabnya sendiri dan akan menerima pembalasannya sama ada syurga atau neraka di akhirat.

c. Setiap manusia mempunyai peluang yang sama dalam mengabdikan dirinya kepada Tuhan. Orang yang paling dikasihi Tuhan ialah mereka yang memenuhi kedua-dua syarat di atas iaitu bertaqwa kepada Allah. Taqwa di sini bukan sahaja mengakui kewujudan-Nya, tetapi juga membuat amalan yang baik kerana kebaikan di dunia juga memberi saham di akhirat nanti. Di samping itu tidak melakukan perkara yang ditegah-Nya. 

Rujuk halaman 158-159 dalam buku Mengapa Kembali Memeluk Islam.