Thursday, February 27, 2014

Jesus tidak boleh mengerjakan sesuatu dengan dirinya sendiri

John 5:9 bermaksud:
"Maka Jesus menjawab mereka, kata-Nya: "Aku berkata kepadamu, sesungguhnya Anak tidak dapat mengerjakan sesuatu dari diri-Nya sendiri, jikalau tidak melihat Bapa mengerjakannya; sebab apa yang dikerjakan Bapa, itu juga yang dikerjakan Anak."

Jesus mengaku dengan jujur bahawa dia tidak dapat mengerjakan sesuatu dari dirinya sendiri, kalau tidak dilihat dari apa yang dikerjakan oleh Bapanya (Tuhan).

Jesus tidak boleh menurut kehendaknya kerana dia hanyalah seorang utusan


John 5:30 bermaksud:

"Aku tidak dapat berbuat apa-apa dari diriku sendiri. Aku menghakimi sesuai dengan apa yang aku dengar, dan penghakiman ku adil, sebab aku tidak menuruti kehendakku sendiri, melainkan kehendak Dia yang mengutus aku."


Ayat ini adalah pengakuan daripada Jesus bahawa dia benar-benar tidak boleh melakukan apa-apa ke atas dirinya sendiri. Dia tidak boleh menuruti kehendaknya sendiri, sebaliknya dia hendaklah menurut kehendak Tuhan yang telah mengutusnya. Rasional selanjutnya:

1. Sesiapa yang tidak berupaya membuat pertimbangan (menghakimi) sesuatu mengikut kehendaknya sendiri, pasti ianya bukan Tuhan. Dalam petikan ayat di atas membuktikan Jesus tidak boleh menghakimi sesuatu mengikut kehendaknya. Ini membuktikan Jesus itu bukan Tuhan.

2. Sesiapa yang mengaku dirinya sebagai utusan, sudah pasti ianya bukan Tuhan. Di sini,  Jesus telah mengakui dirinya sebagai utusan. Oleh itu, pasti sekali Jesus itu bukan Tuhan.

Tuhan bersaksi tentang Jesus


John 5:37 bermaksud:

"Bapa yang mengutus Aku, Dialah yang bersaksi tentang Aku. Kamu tidak pernah mendengar suara-Nya, rupaNya pun tidak pernah kamu lihat".


Jika Jesus bersaksi bahawa dia tidak pernah melihat rupa Allah, mengapa rupa Jesus dijadikan sebagai pengganti rupa Allah? Oleh itu Jesus bukan Tuhan. Tuhan tidak menggantikan rupaNya dengan rupa Jesus!


Rujuk halaman 60-61 dalam buku Islam - Kristian : Satu Perhitungan untuk lebih lanjut.



Wednesday, February 26, 2014

KENYATAAN DARIPADA JOHN

Firman Allah itu Jesus? Jesus itu Firman Allah?

John 1:1 bermaksud:
"Pada mulanya adalah Firman; Firman itu bersama-sama dengan Allah dan Firman itu adalah Allah".

Ayat tersebut bukan ucapan Jesus, tetapi hanyalah ucapan John sendiri. Jika Firman itu bersama-sama dengan Allah, bererti Firman itu bukan Allah. Ayat di atas bukanlah ucapan Jesus atau wahyu dari Allah kepada Jesus. Sebab kalaulah Wahyu Allah atau ucapan Jesus, sudah tentu ada tanda pengikat kata. Ayat ini tidak ada tanda pengikat kata ("....."). Dalam ayat di atas dicatatkan "Firman itu bersama-sama dengan Allah. Dan Firman itu adalah Allah". Rasionalnya penolakan adalah sepertimana berikut:

1. Sesuatu yang bersama-sama dengan Allah, sudah pasti bukan Allah. Kalaulah "Firman" itu dimaksudkan dengan Jesus, apakah ini bermaksud Jesus bersama-sama dengan Allah? Kalaulah Jesus yang dimaksudkan itu bersama-sama dengan Allah, ini bermaknalah Jesus itu bukan Allah.

2. Ayat di atas menyebut pada mulanya adalah Firman". Kalaulah yang dimaksudkan Firman itu Jesus, ianya munasabah sebab Jesus ada waktu permulaannya. Mulanya ia dilahirkan. Setiap yang diketahui permulaanya, sudah pasti ia bukanlah Tuhan (Allah).

Oleh itu, kalaulah dimaksudkan Firman itu Jesus sudah tentu Jesus bukan Tuhan (Allah) sebab Jesus diketahui bila ianya bermula. 

Perkataan "Firman" itu penulis yakin ianya yang dimaksudkan oleh John adalah Jesus sebab ayat berikutnya menyebut yang bermaksud Ia pada mulanya bersama-sama dengan Allah. (John 1:2). Dengan ini pasti sekali Jesus bukan Allah.

Tuhan telah jadi manusia Jesus


John 1:14 bermaksud:
"Firman itu telah menjadi manusia, dan diam di antara kita, dan kita telah melihat kemuliaannya, iaitu kemuliaan yang diberikan kepadanya sebagai Anak Tunggal Bapa, penuh kasih dan kebenaran."


Jika Tuhan menjelma menjadi Jesus, adakah terdapat Tuhan lain. Namun, pada pandangan Kristian terdapat tiga elemen dalam satu Tuhan, Bapa, anak dan Roh Kudus. Inilah fahaman Triniti.

Terdapat banyak ayat Al-Quran yang menyangkal fahaman ini. Antaranya dalam Surah 4:171,6:101, 10:68,19:35, 19:88-92, 21:26, 23:91, 25:2, 43:81.

Dalam surah Al-An'aam ayat 101, Allah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut. Allah berfirman dengan maksud:

"Dia pencipta langit dan bumi, bagaimana Dia mempunyai anak padahal Dia tidak mempunyai isteri. Dia menciptakan segala, dan Dia mengetahi segala sesuatu."

Allah mengurniakan Anaknya yang tunggal iaitu Jesus


John 3:16 bermaksud:
"Kerana begitu besar kasih Allah kepada dunia ini, sehingga dia telah mengurniakan Anaknya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada nya akan selamat dan hidup kekal".


Ayat ini dianggap sangat penting dalam agama Kristian. Namun begitu, ayat ini hanya terdapat dalam Injil John dan tidak terdapat dalam Injil-injil yang lain seperti Matthew, Mark dan Luke.  Dari segi logik, ayat ini mesti terdapat dalam Injil-injil yang ditulis terlebih awal (Matthew, Mark dan Luke).

Penegasan Jesus sebagai Anak Tuhan (Allah).

John, 4:44 Jesus menjelaskan bahawa dia sebagai nabi bermaksud, "Tiada nabi yang dihormati di negerinya sendiri."

Selain daripada Jesus menegaskan ianya sebagai nabi. Ia tidak Tuhan. Nabi mempunyai  tempatnya sendiri dan berhubung dengan masyarakat di tempatnya sendiri. Tuhan tidak ada negeri; tetapi mencipta alam ini semuanya dan tidak perlu berhubung dengan masyarakat sekelilingnya. Oleh itu Jesus bukanlah Tuhan. Apa yang perlu ditegaskan disini lagi ialah maksud Anak itu telah disalah tafsirkan oleh ramai penganut Kristian.

Untuk ini sila rujuk Luke 3:23-38, Genesis 6:2 & 4. Exodus 4:22, Jeremiah 31:9, Psalms 2:7, 1 Chronicles 22:10 dan Romans 8:14, di mana semuanya membawa maksud bahawa Anak Tuhan itu sebenarnya ialah orang yang disayangi/terdekat. Jadi Jesus bukanlah Tuhan dan bukan juga Anak Tuhan, tetapi Jesus adalah seorang nabi, utusan Allah. Ini juga tercatat dalam Al-Qur'an yang Jesus (Nabi Isa) itu seorang nabi, anak kepada Maryam. (QS, Maryam 19:1-98).

Rujuk halaman 58-60 dalam buku Islam-Kristian:Satu Perhitungan untuk lebih lanjut.



Tuesday, February 25, 2014

Jesus ketakutan apabila melihat malaikat dan semakin bersungguh-sungguh berdoa kepada Tuhan. 

Luke 22:43-44 bermaksud:
"Maka seorang malaikat dari langit menampakkan diri kepadanya untuk memberi kekuatan kepadanya. Dia sangat takut dan semakin bersungguh-sungguh berdoa. Peluhnya menjadi seperti titik-titik darah yang mengalir ke tanah."

Adalah mustahil Jesus ketakutan apabila dia melihat malaikat jika dia Tuhan. Rasionalnya:

1. Malaikat adalah ciptaan Tuhan. Oleh itu sesiapa yang takut kepada malaikat sudah tentu ianya bukan Tuhan. Dalam konteks ini Jesus takut kepada malaikat. Oleh itu pasti Jesus ini bukan Tuhan.

2. Sesuatu yang diberikan kekuatan oleh malaikat sudah tentu ianya bukan Tuhan, sebab malaikat adalah ciptaan Tuhan. Di sini Jesus didatangi malaikat untuk diberikan kekuatan kepadanya. Oleh itu Jesus pasti bukan Tuhan sebab kalau Ianya Tuhan, sudah pasti Tuhan memang kuat, dapat mengatasi segala-galanya.

Jesus menyerahkan nyawanya

Luke 23-46 bermaksud:
"Lalu Jesus berseru dengan suara yang nyaring: "Ya Bapa, ke dalam tangan Mu ku serahkan nyawaku". Dan sesudah berkata demikian dia menyerahkan nyawanya".

Jika Jesus Tuhan,  Tuhan mana lagi yang dia seru. Oleh itu Jesus bukanlah Tuhan. Rasionalnya.

1. Setiap yang menyeru kepada Tuhan, pasti ianya bukan Tuhan. Jesus menyeru kepada Tuhan. Oleh itu Jesus tetap bukan Tuhan.

2. Setiap yang menyerahkan nyawanya kepada Tuhan, pasti ianya bukan Tuhan. Jesus menyerahkan nyawanya kepada Tuhan. Oleh itu Jesus bukanlah Tuhan.

Ucapan Jesus tidak dapat dibuktikan

Luke 24: 44-46 bermaksud:
"Dia berkata kepada mereka: "Inilah perkataanku, yang telah Kukatakan kepadamu ketika Aku masih bersama-sama dengan kami, yakni bahawa harus digenapi semua yang ada tertulis tentang Aku dalam Kitab Taurat Musa dan kitab nabi-nabi dan kitab Mazmur." Lalu Dia membuka fikiran mereka, sehingga mereka mengerti Kitab Suci. KataNya kepada mereka: "Ada tertulis demikian: Messias harus menderita dan bangkit dari antara orang mati pada hari yang ketiga...."

Ucapan Jesus itu tidak dapat dibuktikan kesahihannya. Sehingga sekarang tidak ada seorang pendita atau Paul sendiri yang boleh memberi dalil bahawa kata-kata Jesus tersebut adalah benar.

Rujuk halaman 56-57 dalam buku Islam-Kristian:Satu Perhitungan untuk lebih lanjut.


Monday, February 24, 2014

Roh Tuhan ada pada Jesus yang mengakui sebagai Utusan Tuhan

Luke 4:18 bermaksud:
"Roh Tuhan ada padaku, oleh sebab itu dia telah menyerupai aku, untuk menyampaikan khabar baik kepada orang-orang miskin, dan dia telah mengutus aku".

Apakah Tuhan menyerupai manusia? ayat ini amatlah diragui kerana semasa "peristiwa Jesus di salib" mengapa pula dengan suara nyaring menyebut: "Eloi, Eloi Lama Sabakthani?" Mark: 15:34-35 yang bermaksud: "Allahku, Allahku mengapa engkau meninggalkan aku? Mendengar itu beberapa orang yang berdiri disitu telah berkata: Lihat ia telah memanggil Elia." (Elia maksudnya Tuhan). Terdapat dua persoalan yang perlu ditimbulkan disini:

1) Sekiranya Tuhan menyerupai Jesus, mengapa pula Jesus menyeru dengan perktaan Eloi, Eloi Lama Sabakthani?" ini bermakna Tuhan tidak berada dalam diri Jesus.

2) Apa yang ditekankan di sini ialah "dia telah mengutus aku". Di sini Jesus telah mengakui bahawa dia telah diutuskan oleh Tuhan. Oleh itu Jesus bukanlah Tuhan.

Luke 4:24 , Jesus menjelaskan yang bermaksud:
"Hanya ditempatnya sendiri, di kalangan kaum keluarganya dan di rumahnya beliau sebagai nabi, tidak dihormati."

Pengakuan Jesus ini dengan sendirinya ia mengaku bahawa ia sebagai nabi dan ianya tidak dihormati di kalangan keluarganya dan di rumahnya sendiri. Ini sudah tentu Jesus bukan Tuhan. Jesus ternyata di sini selain daripada penegasannya sebagai nabi dia juga mengakui ada keluarga. Tuhan tidak ada keluarga. Oleh itu Jesus bukanlah Tuhan.

Jesus dari Nazaret yang suci dari Allah

Luke 4:33-34 bermaksud:
"Di dalam rumah ibadat itu ada orang yang dirasuk syaitan dan dia meraung dengan suara yang keras: "Hai engkau, Jesus orang Nazaret, apa urusan mu dengan kami? Engkau datang hendak membinasakan kami? Aku tahu siapa engkau: Yang Kudus dari Allah".

Manusia zaman dahulu yang hidup sezaman dengan Jesus, mengetahui bahawa Jesus bukan Tuhan. Orang yang dirasuk syaitan pun tahu bahawa Jesus bukan Tuhan malah disini Jesus diakui oleh Syaitan yang menyatakan Jesus (yang kudus) dari Allah. Ini bermakna Jesus bukan Tuhan.

Jesus bersama ibu dan saudara kandungnya

Luke 8:19-21 bermaksud:
"Ibu dan saudara-saudara Jesus datang kepadanya, tetapi mereka tidak dapat mendekatinya kerana ramai orang. Orang memberitahu kepadanya: :Ibumu dan saudara-saudaramu ada di luar dan ingin bertemu dengan Engkau." Tetapi dia menjawab: "Ibuku dan saudara-saudaraku ialah mereka, yang mendengarkan firman Allah dan melakukannya."

Ayat tersebut menggambarkan seolah-olah Jesus (Nabi Isa) adalah seorang yang tidak berakhlak dan bersikap kurang sopan terhadap orang tuanya.

Sedangkan dalam al-Qur'an Allah SWT menegaskan bahawa Nabi Isa adalah seorang yang berbudi pekerti mulia terhadap orang tuanya. Allah berfirman dalam Surah Maryam yang bermaksud:

"Dan Dia menjadikan aku seorang yang diberkati dimana saja aku berada.  Dan Dia memerintahkan aku bersolah dan mengeluarkan zakat selama aku hidup, dan berbuat baik kepada ibuku dan Dia tidak menjadikan aku seorang yang sombong lagi celaka." (QS: Maryam : 31)

Bagaimanapun, apa yang jelas daripada petikan di atas ialah Jesus ini bukan Tuhan. Ianya mempunyai ibu dan saudara maranya yang hendak berjumpa dengannya. Kalau Jesus Tuhan, orang ramai tidak boleh berjumpa dengannya dengan cara sebegitu rupa. Oleh itu Jesus bukanlah Tuhan.

Rujuk halaman 54-56 dalam buku Islam-Kristian: Satu Perhitungan untuk lebih lanjut.


Sunday, February 23, 2014

Jesus dipanggil "Anak" oleh ibunya

Luke 2:48 bermaksud:
"Dan ketika orang tuanya melihat dia, terkejut mereka dan seraya berkata: Nak, mengapa kamu berbuat demikian terhadap kami? Bapamu dan aku cemas mencari engkau."

Ibunya memanggil "anak" dan bukan Tuhan. Oleh itu Jesus bukan Tuhan. Rasionalnya: 
1. Setiap yang mempunyai ibu bapa, pasti ia bukan Tuhan. Jesus mempunyai orang tuanya. Oleh itu Jesus bukan Tuhan. 
2. Setiap yang dipanggil anak, ianya bukan Tuhan. Jesus dipanggil anak oleh ibunya. Oleh itu Jesus bukan Tuhan.

Jesus diasuh oleh ibunya dan dikasihi Allah

Luke 2: 51-52 bermaksud:
"Lalu dia pulang bersama-sama mereka ke Nazaret; dan dia tetap hidup dalam asuhan mereka. Dan ibunya menyimpan semua perkara itu di dalam hatinya. Dan Jesus makin bertambah besar dan makin dikasihi oleh Allah dan manusia."

Jika Jesus Tuhan, bagaimana Tuhan sejak lahir sampai dewasa di asuh oleh manusia selama puluhan tahun. Dan jikalau Jesus Tuhan juga, mesti ibunya yang mengandung dan melahirkannya mengetahui bahawa dia adalah Tuhan.

Jesus memulakan pekerjaannya pada usia 30 tahun

Luke 3:23 bermaksud:
"Ketika Jesus memulakan pekerjaannya, dia berumur kira-kira tiga puluh tahun dan menurut anggapan orang, dia adalah anak Yusuf, anak Eli".

Jika Jesus Tuhan, bagaimana mungkin Tuhan mula bekerja ketika berumur kira-kira tiga puluh tahun. Oleh itu Jesus bukan Tuhan. Rasionalnya:
1. Sesiapa yang bekerja seperti manusia biasa mengikut peringkat umurnya seperti dalam konteks Jesus ini dikatakan sewaktu berumur 30 tahun baru mula bekerja, ia pastilah bukan Tuhan. Jesus bekerja seperti manusia biasa. Oleh itu Jesus bukanlah Tuhan.

2. Setiap madah yang tidak pasti seperti menurut anggapan orang, sudah pasti ianya bukan firman Tuhan. Ayat ini wujud menurut anggapan orang. Oleh sebab itu Jesus bukanlah Tuhan.

Jesus dibawa Roh Kudus ke padang gurun untuk diuji Iblis

Luke 4:1-3 bermaksud:
"Jesus, yang penuh dengan Roh Kudus, kembali dari sungai Jordan, lalu dibawa oleh Roh Kudus ke padang gurun.  Di situ Ia tinggal empat puluh hari lamanya dan dicobai Iblis. Selama di situ Ia tidak makan apa-apa dan sesudah waktu itu Ia lapar".

Mustahil Tuhan diuji oleh Iblis dan juga terasa lapar. Oleh itu Jesus bukan Tuhan. Dalam cerita di atas, Jesus dibawa oleh Roh Kudus (Jibril) ke padang gurun. Di sini Jesus diuji (digoda) oleh Iblis. Persoalannya Roh Kudus ini pada kepercayaan penganut Kristian ialah Tuhan? Lagi pula apakah logik Tuhan di uji atau digoda oleh Iblis? Di samping itu apakah logik bahawa Tuhan itu merasa lapar? Rasionalnya adalah sepertimana berikut:

1. Sesiapa yang dibawa oleh Roh Kudus ianya bukan Tuhan. Jesus dibawa oleh Roh Kudus. Oleh itu Jesus bukanlah Tuhan.

2. Sesiapa yang diuji oleh iblis, pasti ianya bukan Tuhan. Jesus diuji oleh iblis. Oleh itu Jesus bukanlah Tuhan.

3. Sesiapa yang terasa dirinya lapar, pasti ianya bukan Tuhan. Dalam konteks ini Jesus telah merasakan dirinya lapar. Oleh itu Jesus pasti bukan Tuhan.

Rujuk halaman  52-54 dalam Islam-Kristian Satu perhitungan untuk lebih lanjut.

Tuesday, February 18, 2014

Maria mengandung dan melahirkan Jesus

Luke 1:31 bermaksud:
"Sesungguhnya engkau akan mengandung dan akan melahirkan seorang anak laki-laki dan hendaklah engkau menamakan dia Jesus".

Injil Luke juga menyebut bahawa Jesus akan dilahirkan oleh wanita yang bernama Maria. Al-Quran pula telah menyebutkan bahawa penciptaan Nabi Isa (Jesus) sama seperti penciptaan Nabi Adam dalam Surah Imran ayat 59:

"Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Isa di sisi Allah adalah seperti (kejadian), Allah menciptakan Adam dari tanah, kemudian Allah berfirman kepadanya "Jadilah maka jadilah dia".

Keselarasan ini membuktikan Jesus dijadikan oleh Tuhan. Oleh itu, Jesus bukanlah Tuhan.

Jesus lahir di kota nabi Daud

Luke 2:11 bermaksud:
"Hari ini telah lahir bagimu penyelamat, iaitu Christ (messiah) Tuhan di kota Daud."

Ayat di atas ialah perkataan malaikat di padang ternakan, ditujukan kepada para pengembala kambing mengkhabarkan yang lahirnya seorang penyelamat (utusan) Tuhan bagi manusia di kota Nabi Daud.

Di sini ditegaskan Jesus bukan Tuhan. Alasannya: 
Sesiapa yang dilahirkan di sesuatu tempat seperti di kota nabi Daud itu pasti manusia bukannya Tuhan. Jesus dilahirkan di kota nabi Daud. Oleh itu Jesus bukanlah Tuhan.

QS Maryam, 19:21 menjelaskan keadaan ini yang bermaksud, "Ia menjawab: Demikianlah keadaannya-tak usahlah dihairankan; Tuhanmu berfirman: Hal itu mudah bagiKu; dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia, dan sebagai satu rahmat dari Kami; dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya".

Maryam membaringkan Isa di dalam bakul

Luke, 2:7 bermaksud:
"Maryam membaringkan anaknya, Isa di dalam bakul".

Adakah logik bahawa Tuhan dibaringkan oleh ibunya di dalam bakul? Tuhan tidak ada ibu dan ayah. Kalau ada ibu dan ayah, ianya bukan Tuhan. Lebih-lebih lagi ianya dibaringkan di dalam bakul oleh emaknya.

Rasionalnya:
1. Sesiapa yang dibaringkan di dalam bakul oleh emaknya, sudah tentu bukan Tuhan. Jesus dibaringkan oleh emaknya (Maryam) di dalam bakul. Oleh itu Jesus bukanlah Tuhan.

2. Sesiapa yang ada emak, ianya pasti bukan Tuhan. Jesus ada emak. Oleh itu Jesus bukanlah Tuhan.

Jesus diserahkan kepada Tuhan

Luke 2:22-23 bermaksud:
"Dan ketika genap waktu penyucian, mengikut hukum Taurat Musa, mereka membawa dia ke Jerusalem untuk menyerahkannya kepada Tuhan, seperti yang tertulis dalam hukum Tuhan: "Semua anak laki-laki sulung harus dikorbankan bagi Allah."

Jika Jesus Tuhan, adakah perlu Tuhan disucikan seperti yang tercatat dalam Hukum Taurat Musa. Rasionalnya:
1. Setiap yang diserahkan kepada Tuhan untuk disucikan, ianya bukan Tuhan. Jesus diserahkan kepada Tuhan untuk disucikan. Oleh itu Jesus bukan Tuhan. 
2. Setiap yang dikuduskan oleh Tuhan bermakna ia bukan Tuhan. Jesus dikuduskan oleh Tuhan. Oleh itu Jesus bukan Tuhan.

Rujuk halaman 49-51 dalam buku Allah Islam Dan Allah Kristian (Asal) Adalah Sama untuk lebih lanjut.

Monday, February 17, 2014

Pengetahuan Jesus terhad

Mark, 13:32 yang bermaksud:
"Tidak seorang pun yang tahu tentang hari atau waktu itu, para malaikat dan Jesus (Anak) juga tidak tahu, hanya Ayah sahaja yang tahu."

Sekiranya Jesus itu Tuhan sudah tentu Ia tahu,sebab Tuhan adalah Maha Mengetahui. Maksudnya tahu tentang serba serbi  dengan keadaannya sekali. Rasionalnya:
Sesuatu yang pengetahuannya terhad (tidak mengetahui) mengenai hari mana atau bila Akhir Zaman (hari Kiamat) itu berlaku, ianya pasti bukan Tuhan. Jesus tidak tahu bila hari Akhir Zaman itu berlaku. Ini membuktikan Jesus itu bukan Tuhan.

Al-Qur'an ada menjelaskan hari Kiamat ini, iaitu pada QS, Sajadah 32:25 bermaksud, "(Pertentangan di antara satu golongan dengan yang lain itu) sesungguhnya Tuhanmu sahajalah yang akan memutuskan hukumNya di antara mereka pada hari kiamat mengenai apa yang mereka berselisihan padanya".

Malaikat berkata Jesus adalah orang Nazaret

Mark 16:5-6:
"Lalu mereka masuk ke dalam kubur dan mereka melihat seorang muda yang memakai jubah putih duduk di sebelah kanan. Mereka pun sangat terkejut, tetapi orang muda (Malaikat) itu berkata kepada mereka: "Jangan takut! Kamu mencari Jesus orang Nazaret, yang disalibkan itu. Ia tidak ada disini. Lihat! Inilah tempat mereka membaringkan dia".

Malaikat sahaja yang tahu bahawa Jesus bukan Tuhan, tetapi hanyalah manusia biasa yang berasal dari Nazaret. Ini bermakna Jesus itu bukan Tuhan.

Jesus duduk di sebelah kanan Allah

Mark 16:19 bermaksud:
"Sesudah Tuhan Jesus berbicara demikian kepada mereka, terangkatlah ke syurga, lalu duduk di sebelah kanan Allah".

Jesus dibawa ke syurga dan duduk di sebelah Allah s.w.t. adalah bukan dengan kekuatannya sendiri. Jadi Jesus bukan Tuhan sebab tiada kekuatan sendiri untuk "terangkatkan" dirinya secara sendiri ke syurga. Rasional:
1. Sesiapa yang terangkat ke syurga, pasti ada yang mengangkatnya, iaitu Tuhan. Jesus diangkat ke syurga oleh Tuhan. Ini bermakna Jesus bukan Tuhan.
2. Sesiapa yang duduk di kanan Tuhan sudah semestinya ia bukan Tuhan. Dalam ayat ini Jesus duduk di kanan Tuhan. Ini bermakna Jesus bukan Tuhan.

Rujuk halaman 48-49 dalam Allah Islam Dan Allah Kristian (Asal) Adalah Sama untuk lebih lanjut.