Thursday, November 28, 2013

Tiada Paksaan Dalam Islam

Dakwah perlu menekankan perkara yang paling pokok dalam Islam iaitu tiada paksaan dalam beragama (Al-Quran, al-Baqarah, 2: 256).

"Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat; kerana itu barangsiapa yang ingkar kepada Thaghut) dan beriman kepada Allah SWT, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah SWT Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."

Allah SWT sendiri menegaskan dengan jelasnya dalam Al-Quran. Ia mempunyai implikasinya secara tersendiri. Ini kerana ia melibatkan aspek hati dan perasaan yang boleh menebalkan keyakinan seseorang. Sesungguhnya tarikan secara psikologi perlu diwujudkannya mengikut strategi secara tertentu, berbincanglah secara lembut tetapi mempunyai fakta yang konkrit tegasnya berhimah (Al-Nahl, 16: 125).

"Serulah (manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah) dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk."

Sekira-Nya tidak ada lagi berupaya untuk mereka diyakinkan, biarkanlah, mereka akan ketinggalan (QS, Al-'Imraan,3:176).

"Janganlah kamu disedihkan oleh orang-orang yang segera menjadi kafir, sesungguh-Nya mereka tidak sekali-kali dapat memberi mudharat kepada Allah SWT sedikitpun. Allah SWT berkehendak tidak akan memberi sesuatu bahagian (dari pahala) kepada mereka di hari akhirat, dan bagi mereka azab yang besar."

Kemudian pastikan diri kita sebagai pendakwah, mencuba dan terus mencuba jangan berputus asa, Tuhan akan memberikan hikmah (QS Al-Insyirah, 94:5-6).

"Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan." (5)
"Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan." (6)

Dua kali Allah SWT mengulangi semoga kita tidak berputus asa. Ini menunjukkan perkara ini amatlah penting. Bagaimana pun sekiranya orang bukan Muslim ini masih juga tidak dapat diyakinkan berdoa sahajalah kepada Tuhan mudah-mudahan akan tertariklah kepada Islam. Nabi Muhammad SAW sendiri pun ada golongan Kristian yang tidak dapat diyakininya untuk memeluk Islam, tidak diapa-apakannya, dibebaskan mengikut agama asalnya dan hidup dalam Negara Islam dengan aman.

Dalam konteks ini Islam sebenarnya menggalakkan manusia bebas mengeluarkan pendapat, berbincang mengenai agama masing-masing dalam mencari kebaikan bersama. Adalah baik sekali kiranya diadakan seminar akademik bagi mereka yang pakar dalam agama, masing-masing bertukar-tukar bebas berhujjah dan mempengaruhi secara fakta di antara agama di mana mereka yang berminat secara akademik berhak untuk mendengar atau mempengaruhi atau pun dipengaruhi. Biarpun begitu, perancangan untuk ini perlulah secara rapi supaya tidak menimbulkan sebarang salah faham. Untuk itu, sila rujuk cadangan dialog antara agama pada Islam perlu dibuktikan secara meyakinkan dengan fakta-fakta yang kukuh dalam membuktikan kebenaran.

Rujuk halaman 38-39 dalam buku Mengapa Kami Memeluk Islam untuk lebih lanjut mengenai topik ini.

Wednesday, November 27, 2013

Islam Mengarahkan Pemeluknya Hidup Secara Bermatlamat

"Dan (ingatlah) Aku tidak jadikan jin dan manusia, melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepadaKu."
(QS Adz-Dzaariyaat, 51:56)

Amat jelas sekali bahawa ayat Al-Quran di atas, Allah SWT telah menjelaskan bahawa tujuan Allah SWT menjadikan jin dan manusia ini ialah untuk menyembah dan beribadat kepada-Nya. Ini adalah paling penting bagi setiap Muslim. Ia merupakan garis atau tali yang perlu dipegangi oleh umat Islam. Perlu ditekankan di sini kita berbicara hanya dalam konteks manusia sahaja, bukan dalam konteks jin dan manusia, kerana diskusi penemuan ini adalah hasil penyelidikan di kalangan para 'saudara baru'.

Maksud menyembah di sini bukanlah menyembah seperti menyembah patung buatan manusia atau pada apa-apa benda seumpamanya yang dijadikan Allah SWT di dunia ini seperti matahari, pokok dan batu tetapi melakukan solat mengikut apa yang disyariatkan kepada umat Islam dengan mengikut masa dan caranya tertentu, mengarahkan kepada Kaabah di Makkah di mana Kaabah itu adalah tempat menentu arah perpaduan umat Islam seluruh dunia ini dalam mengingati Allah SWT dan bersyukur kepada nikmat Allah SWT yang dijadikan untuk kita semua sebagai penghuni dunia ini.

Sebagai seorang pemeluk Islam yang telah mengucap dua kalimah Syahadah: mengaku keEsaan Tuhan dan Nabi Muhammad SAW itu rasul-Nya, kita melakukan amalan yang disyariatkan kepada kita secara tulus ikhlas. Kita bekerja secara tulus ikhlas kerana Allah SWT, kita bertingkah laku dan bergaul mesra dengan manusia kerana Allah SWT. Malah, apa-apa yang kita lakukan di dunia ini setiap hari adalah baik sekali ditanamkan dalam jiwa kita kesemuanya kerana Allah SWT. Kiranya ini dapat dilakukan Insya Allah kita akan menjadi seorang yang berjaya dalam hidup. Maksudnya di sini matlamat kita adalah membuat sesuatu kerana Allah SWT.

Allah SWT juga menjadikan manusia ini sebagai khalifahnya di bumi ini di mana diamanahkan untuk mengurus dan menjaga alam ini dengan sebaik-biknya. Menjaga masa dengan sebaik-baiknya, Al-QUran, surah Al-'Asr.

Dengan ini kita sebagai umat Islam janganlah melakukan perkara-perkara yang memusnahkan alam. Bagaimanapun, kiranya terpaksa dilakukan kerana kebaikan seperti menebang pokok, membelah bukit bakau untuk kemajuan, bermatlamat baik kerana Allah SWT, ia adalah kebajikan yang digalakkan Islam.

Tegasnya, apa sahaja yang kita lakukan dengan niat yang baik kerana Allah SWT, ia adalah amalan yang soleh, mendapat pahala dan diredhai Allah SWT. Ini bukan sahaja mendapat kenikmatan di dunia malah yang akhirnya ialah di akhirat. Matlamat umat Islam yang paling penting ialah di akhirat dengan tidak mengabaikan dunia secara baik yang diredhai Allah SWT. Menjaga anakisteri, memberi rezeki yang halal, memberi pelajaran, bersahabat baik sesama manusia, dibuat kerana Allah SWT adalah jalan yang lurus menuju ke akhirat untuk kesenangan yang berkekalan. Nikmat yang Tuhan berikan di dunia ini amat banyak sekali, cuma kita tidak begitu menyedari dan kurang bersyukur kepada Allah SWT. Itulah sebabnya dalam Al-Quran, surah Ar Rahman, 55:1-78, didapati berjumlah 31 ayat yang mengulangi kepada manusia:

"Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?"

Rujuk halaman 38-39 dalam buku Mengapa Kami Memeluk Islam?

Tuesday, November 26, 2013

Islam Untuk Seluruh Umat Manusia

Agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW bukanlah untuk satu bangsa atau sesuatu kaum sahaja, tetapi untuk seluruh manusia di dunia ini yang mahu menerimanya tanpa paksaan.

Islam tidak membezakan warna kulit sebaliknya semua bersaudara.

Apa yang didapati pada peringkat awalnya, persepsi para 'saudara baru' ini sebelum ia memeluk Islam katanya bilamana seseorang itu berhasrat untuk memeluk Islam, tergambarlah dalam fikirannya 'masuk Melayu'. Ini adalah satu gambaran yang perlu dibaiki segera. Mereka mempersoalkan apakah penting menukar nama asalnya kepada nama baru. Ramai di kalangan mereka selepas menjadi 'saudara baru', ramai juga beranggapan ada baiknya tidak menukarkan nama asalnya. Contohnya nama asalnya Chan Ah Chai. biarlah kekalkan nama asalnya Chan Ah Chai. Maksudnya tidak perlulah ditukarkan kepada Muhammad Chan bin Abdullah, tetapi agamanya secara rasmi perlu ditukar kepada agama Islam. Mereka beranggapan bahawa dengan ini anggapan 'masuk Melayu' itu boleh dikikiskan dan lebih sesuai katanya sebagai agama untuk semua bangsa sebagaimana inti sebenarnya agama Islam dalam konteks universal. Bagaimana pun ini biar terserahlah kepada individu berkenaan untuk membuat keputusan atas pertukaran nama itu.

Kebanyakan penganut baru ini terutamanya daripada bangsa India, mereka cukup ghairah dengan ajaran Islam yang menghapuskan kasta. Dengan kemasukan Islam ini dengan tersendirinya mereka boleh mengelakkan diri daripada kasta yang rendah kepada taraf yang sama rata dari segi Islam. Mereka amat tertarik dengan petikan al-Quran, surah (Al-Hujurat, 49:13)

Maksudnya: "Manusia yang paling baik disisi Allah SWT ialah mereka yang bertaqwa".

Dalam konteks ibadat sembahyang setiap kali selepas sahaja niat solat dan bertakbir di rakaat pertama itu, kita perlu membaca doa iftitah yang berbunyi maksudnya:

"Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidup matiku adalah untuk Tuhan yang memelihara dan sekalian alam."
(QS Al-An'am, 6:162)

Ini penting dihayati bagi membuktikan ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Dengan ini ia lebih mendekati diri kita dengan Allah SWT. Di samping itu, sejarah sahabat nabi yang di antaranya dijamin syurga iaitu Bilal, asalnya seorang hamba. Ini perlu ditekankan secara positif terutamanya di kalangan orang India dari kasta yang rendah. Begitu juga sejarah penghijrahan Nabi Muhammad SAW ke Madinah dari Makkah di mana golongan Ansar yang merupakan penduduk asal Madinah menyambut baik golongan Muhajirin iaitu yang berhijrah bersama Nabi Muhammad SAW ke Madinah (622M). 

Rujuk halaman 34-35 dalam buku Mengapa Kami Memeluk Islam untuk lebih lanjut mengenai topik ini.

Monday, November 25, 2013

Kristian : Khabar Gembira Tentang Nabi Muhammad SAW Dalam Kitab Bible

Bagi Kristian, didapati banyak bukti yang mengatakan Nabi Muhammad akan lahir sebagai nabi yang terakhir melengkapkan ajaran daripada para nabi sebelumnya. Bukti-bukti ini dapat dikumpulkan sepertimana berikut:

Perkhabaran penting firman Tuhan

Di dalam kitab Taurat, Allah SWT telah berfirman kepada Nabi Musa:

"Seorang nabi akan Ku bangkitkan untuk mereka di kalangan saudara mereka, seperti engkau ini; Aku akan firmanKu dalam mulutnya, dan dia akan mengatakan kepada mereka segala yang Kuperintahkan kepadanya. Orang yang tidak mendengar segala firmanKu yang akan diucapkan oleh nabi itu demi namaKu, daripadanya akan Kutuntut pertanggungjawaban." (Deuteronomy 18: 18-19)

Dalam konteks akan dibangkitkan nabi oleh Allah SWT "...di kalangan saudara mereka, seperti engkau ini: " adalah jelas dimaksudkan dengan Nabi Muhammad SAW, sebab Nabi Muhammad SAW adalah saudara kepada Bani Israel kerana saudara Bani Israel ialah Bani Ismail sebab Ismal adalah saudara Nabi Ishak iaitu ayah Israel (Nabi Ya'kub). Kedua-duanya (Nabi Ishak dan Nabi Ismail) adalah daripada ayah yang sama: Nabi Ibrahim. Cuma emak mereka berlainan iaitu emak Nabi Ismail ialah Siti Hajar, manakala emak Nabi Ya'akub (Israel) ialah Siti Sarah. Kedua-dua Nabi ini dilahirkan di Palestin.

Selain itu tidak ada lagi nabi diutuskan Allah SWT selepas nabi Musa di kalangan saudara Bani Israel yang ciri-cirinya seperti Nabi Musa, selain daripada Nabi Muhammad SAW. Ada pendapat mengatakan bahawa nabi yang akan diutuskan oleh Allah SWT itu ialah Nabi Isa, bukannya Nabi Muhammad SAW. Pandangan ini salah kerana ia tidak memenuhi ciri-ciri seperti Nabi Musa. Ini boleh diperhatikan dengan ciri-ciri berikut:

1. Nabi Isa dilahirkan dengan kuasa Allah SWT tanpa ayah, tidak seperti Nabi Musa dan Nabi Muhammad SAW yang melalui proses ayah dan emak secara lazim.
2. Nabi Musa dan Nabi Muhammad SAW wafat seperti biasa dan tidak sepertimana Nabi Isa.
3. Nabi Musa dan Nabi Muhammad SAW  hidup dengan umur yang agak panjang, berbeza dengan Nabi Isa di mana umurnya ketika berlaku penyaliban itu cuma 34 tahun. 
4. Nabi Musa dan Nabi Muhammad SAW sama-sama berkahwin dan masing-masing mempunyai zuriat keturunan (lelaki dan perempuan), dan ini berbeza dengan Nabi Isa kerana tidak berkahwin dan ia cuma datang untuk mengakui syariat Nabi Musa tanpa membawa syariat baru.
5. Nabi Musa dan Nabi Muhammad SAW bukan sahaja sebagai rasul tetapi juga sebagai pemimpin secara berkerajaan di zamannya, manakala Nabi Isa hanya sebagai rasul sahaja iaitu bagi mengakui syariat Nabi  Musa sahaja.
6. Dalam konteks ayat "Aku akan menaruh firmanKu dalam mulutnya, dan ia akan mengatakan kepada mereka segala yang Kuperintahkan kepadanya" di atas kebenarannya terserlah dalam ayat yang pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW yang berbunyi:

"Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan."
                                                                                                                                 (QS Al-'Alaq:1)

Rujuk halaman 30-32 dalam buku Mengapa Kami Memeluk Islam untuk lebih lanjut.

Sunday, November 24, 2013

Nabi Muhammad SAW dalam kitab Buddha

Bagaimana pun ajaran Buddha ini kemudiannya bercampur aduk dengan agama Hindu yag begitu lama bertapak di India. Hindu percayakan banyak tuhan: dewa-dewa itu Tuhan, pokok, malah ular pun jelmaan Tuhan (tetapi kepercayaan Hindu sebenarnya mengakui ada satu Tuhan agung). Kini ada pengikut Buddha ini membina patung Buddha dan ada pula yang menganggapnya sebagai Tuhan (Prof. Dr.Ahmad Shalaby:135). Lantas dengan ini pengikut ajaran Buddha kemudiannya menganggap penyembahan itu sebagai peraturan biasa sebagai satu agama. Perbezaan ketaranya dengan agama Hindu ialah ajaran Buddha tidak wujud kasta, tetapi agama Hindu tetap wujud kasta. Ajaran Buddha ini kian pupus di India, tetapi terus berkembang di luar India, khususnya di negara Thailand, Laos, China dan Jepun.

Buddha sebenarnya telah meramalkan bahawa akan datang wujudnya seorang 'Maitreya' (baik dan murah hati). Ramalan ini dapat diikuti sepertimana berikut:

1. Dari sefi nama 'Maitreya':

i. Dalam Chakkavantti Snhnad Suttanta D.111, 76, menyatakan yang bermaksud, "Akan lahir ke dunia ini seorang Buddha yang dikenali dengan nama 'Maitreya'. Maireya ini ialah seorang yang suci, seorang yang tertinggi dalam kuasa,yang dikurniakan kebijaksaan, yang bertuah dan yang mengenali alam ini dan apa yang Maitreya ini dapat daripada alam ghaib belaiu akan sebarkan risalah ini ke seluruh alam. Maitreya ini akan dakwahkan agama beliau yang agong ini daripada awal hingga ke akhir. Buddha berkata bahawa Maitreya ini akan memperkenalkan satu cara hidup yang sempurna dan suci sebagaimana aku (Buddha) memperkenalkan agama aku. Pengikut Maitreya ini lebih ramai daripada pengikut aku (Buddha).

ii. Dalam buku 'Secred Books of the East, Jilid 35, halaman 225 ada menyebut yang bermaksud, "Aku bukanlah satu-satunya  Buddha sahaja. Selepas aku akan lahir seorang Buddha lagi yang dikenali dengan nama Maitreya. Dia akan memiliki banyak sifat-sifat yang mulia dan utama. Kalau anak murid aku beratus-ratus anak murid Maitreya tersebut beribu-ribu."

iii. Ramalan selanjutnya ialah tentang Maitreya dalam kitab Agama Buddha oleh Carus, halaman 217 dan 218 negara Ceylon (Sri Lanka) yang maksudnya, "Ananda (Anak murid Buddha) bertanya kepada Buddha, "Siapakah akan mengajar kita semua selepas kamu meninggal dunia?"

Ini dijawab oleh Gautama Buddha yang bermaksud, "Saya bukanlah Buddha yang pertama atau yang akhir yang didatangkan ke dunia ini. Selepas aku seorang Buddha lagi akan dihantar ke dunia ini. Dialah seorang yang kudus atau suci, yang mempunyai kesedaran yang tinggi, yang dikurniakan dengan kebijaksanaan, mempunyai akhlak yang baik, yang mengenali alam ini, pemimpin manusia yang bijaksana, yang dikasihi oleh malaikat dan malaikat lain. Dia akan mengajar kepada kamu semua satu agama atau kebenaran yang kekal abadi serta terpuji.  Agama yang diajar oleh Buddha ini akan menjadi satu cara hidup yang sempurna dan suci. Kalau anak murid aku beratus-ratus tetapi anak murid Buddha ini ialah beribu-ribu".

Ananda terus bertanya lagi dengan soalan yang bermaksud, "Bagaimana kami hendak mengenali Buddha ini?" Jawab Buddha, "Dia akan dikenali dengan gelaran Maitreya".

Persoalan yang perlu ditimbulkan disini apakah sebenarnya Maitreya itu? Untuk ini keterangan selanjutnya adalah berikut: 

* Perkataan 'Maitreya' dalam bahasa Sanskrit atau "Metteyya" dalam bahasa Pali, bererti yang memiliki sifat kasih sayang, belas kasihan, atau pun murah hati. Ianya juga membawa makna seseorang yang pemurah dan mesra. Perkataan 'Arab yang membawa makna yang sama ialah 'Rahmat'. Al-Quran, surah Al-Anbiya, 21:107 bermaksud, "Dan tiadalah kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi sekalian 'alam".

Rujuk halaman 25-27 dalam buku Mengapa Kami Memeluk Islam untuk lebih lanjut.

Thursday, November 21, 2013

Agama Hindu Meriwayatkan Nabi Muhammad SAW Akan Lahir Sebagai Pemimpin

Dalam kitab tua Hindu ada disebut Narashangsa. Dr. Ved Prakash Upaddhay telah menghuraikannya bahawa Narashangsa itu ialah Nabi Muhammad SAW yang akan lahir di suatu hari nanti. Ini terbukti dalam Rig Veda 1:13:3, 1:18:9, 1: 106:4, 1:142:3, 2:3:2, 3:29:11, 5:5:2, 7:2:2, 10:64:3, 10: 182:2 dan 19:70:2. Alasan membuktikan Narashangsa yang akan lahir itu Nabi Muhammad mengikut Dr. Ved Prakash adalah seperti mana berikut:

a. Narashangsa = Yang Terpuji = Nabi Muhammad SAW

Di mana-mana tempat dalam kitab Vedas, disebut juga nama Eelit. Dalam nota kaki pada salah satu daripada kitab Rigveda yang diterbitkan, Eelit bermakna 'Yang Terpuji'. Muhammad adalah dalam bahasa Arab maknanya dalam bahasa Melayu ialah 'Yang Terpuji'. Maknanya Narashangsa dan Eelit adalah mempunyai erti yang sama, iaitu 'Yang Terpuji'.

b. Tempat yang Narashangsa akan lahir adalah di kawasan padang pasir

Ini sudah tentu, buktinya jelas sekali. Nabi Muhammad dilahirkan di Mekkah pada tahun 570. Ayahnya bernama Abdullah dan ibunya bernama Aminah.  Makkah cuacanya panas, terletak di tengah padang pasir di negara Arab.

c. Kualiti personaliti

Dalam Rig Veda, dijelaskan bahawa Narashangsa yang akan lahir itu mempunyai personaliti yang cukup hebat, Ia amat disayangi oleh ramai manusia. Stanley Lane Poole, menulis tentang  Speeches of Muhammad (MacMillan, 1982) menjelaskan bahawa siapa yang melihatnya akan menghormatinya. Siapa yang mendekatinya, akan menyayanginya. Mereka akan mengatakan ia tidak pernah melihat orang seperti ini sebelum dan sesudahnya.

d. Wahyu (Revelation)
Dijelaskan juga bahawa Narashangsa akan mendapat pengetahuan secara wahyu. Nabi Muhammad juga mendapat ajaran Islam secara wahyu. Malah sesuatu perkara yang belum terjadi pun kiranya diwahyukan baginda akan tahu. Contohnya semasa berlakunya peperangan di antara kerajaan Parsi dan kerajaan Rome di mana kerajaan Rome telah kalah. Apabila dapat perkhabaran ini kepada Nabi Muhammad, baginda telah dapat wahyu dan menjelaskan bahawa kerajaan Rome akan menang peperangan beberapa tahun lagi. Didapati betul iaitu pada tahun 627 dalam peperangan Nineveh kerajaan Rome telah menang. Ini boleh dirujuk kepada Al-Quran surah Ar-Ruum, 30: 2-4,

"Telah dikalahkan bangsa Rumawi. Di negeri yang terdekat dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang. Dalam beberapa tahun, bagi Allah SWT lah urusan sebelum dan sesudah mereka menang. Dan di hari itu (kemenangan bangsa Rumawi) itu bergembiralah orang-orang yang beriman."

e. Pengetahuan daripada Tuhan

Dalam Vedas pula Narashangsa dikenali sebagai Kavi. Makna Kavi ada dua: satu sebagai penyair dan satu lagi sebagai orang yang menerima pengetahuan dari Tuhan. Ini juga sebenarnya ada pada Nabi Muhammad SAW. Al-Quran surah As  Shaffaat, 36-37 bermaksud:

Dan mereka berkata: "Apakah sesungguhnya kami harus meninggalkan sembahan-sembahan kami kerana seorang penyair gila. Sebenarnya dia (Muhammad) telah datang membawa kebenaran dan membenarkan rasul-rasul sebelumnya."

Rujuk halaman 19-20 dalam buku Mengapa Kami Memeluk Islam untuk lebih lanjut

Wednesday, November 20, 2013

Islam Selepas Kewafatan Nabi Muhammad SAW

Islam selepas Nabi Muhammad SAW ini asasnya adalah sama dengan Islam sebelum Nabi Muhammad dan semasa Nabi Muhammad khususnya tentang ajaran Tauhid yang Tuhan itu Satu dan kita wajib mempercayai-Nya sebagaimana yang dijelaskan oleh para nabi dan rasul yang disebutkan dalam al-Quran yang antaranya Adam, Nuh, Idris, Musa, Ibrahim, Ismail, Isa dan Muhammad.

Bagaimanapun, selepas beberapa abad ada cabang-cabang tertentu yang dibawa dalam Islam yang telah ditafsirkan mengikut fahaman yang dibawa dalam Islam yang telah ditafsirkan mengikut fahaman para ulama yang masing-masing ahli dalam bidangnya. Umpamanya, wujud mazhab-mazhab dalam Islam seperti Hanafi, Hanbali, Maliki dan Shafie. Bagaimanapun, asas penting dalam Islam iaitu Rukun Iman dan Rukun Islam adalah sama. Namun wujud juga mazhab Syiah yang agak jauh sedikit bezanya dengan mazhab-mazhab tadi. Dalam konteks ini, HAMKA menjelaskan bahawa empat imam bergilir setiap waktu bersembahyang jemaah kerana masing-masing pengikutnya tidak mahu berimamkan imam daripada mazhab lain, biarpun sesama Islam.

Pada tahun 1925, setelah negeri Makkah dikuasai oleh Ibnu Sa'ud, sembahyang berjemaah di Masjidil Haram itu dijadikan hanya satu kali di setiap waktu. Kata HAMKA, "Syukurlah Raja Abdul Aziz Ibn Sa'ud bertindak menyuruh satukan sembahyang kembali. Sekian lama Parsi (Iran) dengan Arab bermusuhan kerana berlainan mazhab, tetapi pada tahun 1931 ketika terjadi kongres Islam di Palestin, ulama-ulama Ahli Sunnah telah mempersilakan Mujahid Mazhab Syiah yang terkenal dari Najaf (Iraq) menjadi imam sembahyang berjemaah, iaitu Maulana Al-Kasyif Al-Ghitha. Adakah ini satu masalah darurat?

Pengajaran daripada ini, Islam boleh bersatu dan bekerjasama rapat di antara mazhab Sunnah dan Syiah. Dengan ini, semoga akan terlepaslah kongkongan jerat kaum orientalis untuk memecah-belahkan umat Islam seluruhnya. Malah Nabi Muhammad pernah bersabda bahawa umatnya akan berpecah kepada 73 pecahan dan daripada itu hanya satu pecahan sahaja yang akan masuk syurga iaitu pecahan yang mengikuti kepada pegangan baginda (Nabi Muhammad SAW) dan sahabatnya. 

Dalam konteks Islam sekarang berbanding dengan agama-agama lain selain daripada yang dinyatakan di atas ada juga wujudnya persamaan dengan kepercayaan lain seperti Buddha, ajaran Konfucianisme dan Hindu. Mungkinkah Sidharta Gautama Buddha dan juga pengasas agama Hindu itu adalah salah seorang daripada rasul yang dikatakan 313 orang itu? Satu penyelidikan khusus tentang perbandingan agama mungkin boleh menjawabnya secara lebih baik.

Soalan ini masih tidak dapat dijawab sehingga sekarang. Bagaimanapun, ada pendapat yang mengatakan perkataan Brahma di dalam kitab Veda (Hindu) itu mungkin berasas daripada perkataan Abraham (Nabi Ibrahim). Huruf A di depan itu terhilang, tinggal B dan A pula diletakkan di belakang manakala A di tengah (ham) itu terhilang, jadilah ia perkataan Brahma. Manakala Dewi Saraswati dalam kitab Veda itu mungkin Sarah (isteri pertama Ibrahim). Manakala Manu atau Manuh dalam kitab Veda itu juga adalah Nabi (Nabi Nuh). Apa yang menarik lagi di sini ialah undang-undang Manu mungkin tidaklah jauh bezanya dengan ajaran Islam, Kristian dan Yahudi. 

Rujuk halaman 17-18 dalam buku Islam, Pelbagai Agama dan Kepercayaan untuk lebih lanjut.