Monday, April 28, 2014

Aspek kesahihan (Validity)

Bible

Ini dapat di teliti pada Bab 2 tentang Kristian mengatakan Jesus itu Tuhan, Jesus Anak Tuhan dan Jesus itu Roh Kudus. Ini dibahas oleh penulis dengan bukti-bukti yang dipetik berasaskan Bible sendiri dan juga Al-Quran. Di samping itu aspek-aspek penyelewengan lain yang dikatakan diseleweng oleh St.Paul dan juga aspek-aspek penyelewengan selanjutnya (halaman 107). Ini pada pandangan penulis kesasihan bagi fakta-fakta yang berselisihan terutamanya yang asas itu membuktikan ada di antaranya yang salah. Oleh itu kesasihannya adalah diragui. Mana satu yang betul? Para pembaca sendiri boleh membuat penilaian kiranya sesuatu kitab suci itu bercanggah fakta, ini bermakna berkemungkinanlah ianya tidak sesuci sebagaimana yang sepatutnya.

Al-Qur'an

Dalam konteks Al-Qur'an setakat ini tidak dapat dibuktikan secara ilmiah di mana terdapatnya percanggahan fakta itu. "Bagaimana pun sekiranya para pembaca dapat mengesani percanggahan pada sebarang fakta di antara ayat-ayat Al-Qur'an, dan setelah menelitinya secara akademik, masih juga terbukti wujudnya percanggahan itu, silalah hubungi penulis secepat mungkin. Penulis amat berminat untuk berbincang selanjutnya"....Penulis ..(13.01.2007)

Berdasarkan kurangnya realibility itu, kita tidak hairanlah ianya berjangkit kepada kurangnya validity di dalam kitab suci Bible. Dengan ini kita tidak hairanlah juga seperti apa yang dicatatkan dalam buku Ahmad Deedat, melaporkan bahawa majalah 'AWAKE' Volume XXXVIII, Brooklyn N.Y., Sept. 8,1957 Number 17,mencatatkan kemungkinan wujudnya sehingga "50,000 Errors in the Bible?

Rujuk halaman 135 dalam buku Satu Perhitungan : Islam-Kristian untuk lebih lanjut.

Saturday, April 26, 2014

Pengumpulan fakta dan sumber rujukan Al-Qur'an

Dalam konteks Al-Qur'an, kebolehpercayaannya (Reliability) dalam aspek pengumpulan fakta dan sumber rujukan adalah tinggi sekali. Ianya wahyu yang diterima terus oleh nabi Muhammad SAW melalui Jibril, dari semasa ke semasa. 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah. Sebaik sahaja di terima wahyu itu dari Jibril, Baginda Rasulullah yang tidak pandai membaca dan menulis itu, terus menyuruh pengikutnya menulis dan setengahnya menghafal. Dengan ini seluruh kandungan Al-Qur'an itu ada  ditulis para penulis dan pengikut Baginda dan dihafal beratus-ratus oleh mereka yang soleh.

Selepas kemangkatan Nabi Muhammad SAW, Abu Bakar yang menjadi khalifah yang pertama, mempertanggungjawabkan kepada Zaid ibn Thabit untuk mengumpulkan semuanya. Ini kerana sesetengah sahabat baginda ada mencatatkan ayat-ayat Al-Qur'an ini ada yang di atas cebisan-cebisan kulit binatang atau seumpamanya. Zaid mengumpulkan semuanya ini dan selepas membandingkan dengan apa yang dihafal oleh para pengikut Baginda secara fasih, dikumpulkan yang dipanggil Mus'haf di mana ianya diyakini 100% betul.

Semasa pemerintahan Othman, khalifah yang ketiga, tujuh naskhah daripada Mu'haf Al-Qur'an itu disahkan lagi oleh golongan para hafiz (penghafal Al-Qur'an) dan menghantarkannya ke beberapa pusat empayar Islam. Salah satu daripadanya dihantar ke Tashkent. Semasa kerajaan Czar di Russia, naskhah ini dicetak secara banyak; Dan didapati naskhah Al-Qur'an ini tidak ada sebarang perbezaan dengan naskhah lain yang digunakan di seluruh dunia hari ini, sama juga dengan naskhah asal yang enam naskhah asal pada KM 1 Hijrah dahulu.

Daripada zaman nabi sehinggalah hari ini didapati beratus-ratus ribu hafiz di serata dunia. Kesan daripada ini sebarang usaha penyelewengannya tetap gagal. Sehingga hari ini tiada pakar akademik sama ada Islam mahu pun bukan Islam yang boleh mencabarnya (al-Qur'an) secara bukti yang kukuh dari segi kebolehpercayaannya (Reliability). Malah pengkritik yang terkenal Sir William Muir menulis tentang Al-Qur'an yang bermaksud katanya tiada sebarang buku di dunia hari ini yang kekal keasliannya sehingga ke 12 abad, kecualilah Al-Qur'an. Ini tepat sekali dengan firman Allah dalam QS, Al-Hijr 15:9 yang bermaksud:

"Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur'an, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya."

Rujuk halaman 133-134 dalam buku Satu Perhitungan: Islam-Kristian untuk lebih lanjut.

Tuesday, April 22, 2014

Pengumpulan fakta dan sumber rujukan Bible (Gospels)

Ada empat Gospel penting yang terkandung dalam Bible iaitu Matthew, Mark, Luke dan John. Para penganut Islam juga cukup berminat bilamana dalam Gospels ini ada menyebut tentang Jesus (Isa a.s.). Biarpun begitu bila diteliti, Gospels ini banyak keraguannya. Fakta pentingnya ialah Gospels ini ditulis empat puluh ke lapan puluh tahun selepas berlakunya peristiwa penyaliban Jesus berasaskan kepada dokumen asal yang sekarang ini sudah tiada lagi. Para sarjana Bible mengenal pasti setengah daripada dokumen asal ini adalah sepertimana berikut:

1) "Q" (German, Quelle = "Sumber"), satu dokumen dalam bahasa "Aramaic" yang telah hilang telah sampai ke para penulis Gospels yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Greek.
2) 'Urmarcus' = Primative Mark, draf Gospel Mark yang ditulis berasaskan perbincangan Peter tentang Jesus; dan
3) "L", satu perhimpunan laporan mengenai Jesus yang digunakan hanya oleh Luke.

Satu perbandingan tentang Gospels, akan membuktikan bahawa para penulisnya tidak akan teragak-agak menggunakan dokumen yang telah hilang itu, mengubah mengikut penyesuaian keadaan dan mungkin bagi kepentingan masing-masing. Untuk ini, buktinya boleh diteliti sepertimana berikut:

1. Gospel yang pertama, ditulis ialah Gospel Mark. Ianya ditulis di Rome paling kurang 40 tahun selepas apa yang dikatakan peristiwa Penyaliban Jesus. Gospel yang kita dapati sekarang ini ialah dikatakan telah dikembangkan dari versi ' Urmarcus' sebagaimana Papias, penulis awal Kristian telah mencatatkan yang bermaksud, bahawa John pernah berkata, bahawa Mark yang menjadi jurubahasa Peter telah mencatatkan secara tepat apa yang ia dapat ingat. Bagaimana pun ianya tidaklah mengikut secara tepat yang dapat dikaitkan dengan ucapan atau ajaran Jesus. Ia tidaklah mendengar sendiri dari Jesus dan juga tidaklah bersama dengan Jesus; tetapi sebagaimana yang dijelaskan ianya bertugas dengan Peter yang telah menyesuaikan ajarannya dengan apa kemahuan para pendengarnya, dan tidaklah sepertimana catatan secara terus daripada ajaran Jesus.

Adalah tidak mungkin kalau dikatakan Urmarcus dikembangkan dan disemak oleh Mark sendiri bagi melengkapkan Gospel of Mark seperti yang ada sekarang atau oleh orang lain. Berkaitan dengan ini komen daripada Dr. C.J. Cadoux, Prof. dalam sejarah gereja di Oxford mengenai cara dan pengumpulan Gospel ini adalah agak menarik iaitu sepertimana maksudnya berikut:

"Ia ditulis selepas kesyahidan Peter (65 M), dan masa itu Mark sebenarnya bukan murid Jesus dan jelas sekali tidak ada langsung hubungan dengan murid Jesus yang berpengetahuan yang boleh disemak naratifnya. Keadaan ini menjadikan sepanjang sisi karangan itu hidup dengan pelbagai tanda ketepatan di samping dengan bilangan tanda-tanda kejahilan dan ketidaktepatan".

2. Gospel keduanya, Gospel of Matthew ditulis dalam bahasa Greek di Antioch kira-kira 90 M. Penulisnya paling kurang menggunakan dua dokumen yang telah hilang, iaitu "Q" dan 'Urmarcus'. Sebenarnya tidak ada pakar kajian dalam aspek ini, yang bebas dan bersetuju untuk mengakui Gospel ini adalah hasil daripada Matthew murid Jesus.

3. Gospel ketiga, Gospel of Luke, dipercayai ditulis kira-kira 80 M , untuk "The most excellent" Theophilus, yang berkemungkinan seorang pegawai tinggi dalam kerajaan Rome. Penulis ini dikatakan agak mesra dengan golongan bukan Yahudi. Ianya juga adalah rakan sepengembaraan dengan St. Paul, menggunakan sekurang-kurangnya tiga dokumen yang telah hilang itu. Dua daripadanya ialah sama dengan yang digunakan oleh penulis Gospel Matthew; dan satu lagi itu ialah daripada dirinya sendiri. Luke dalam menyamakan larasnya dengan Paul dalam Gospel ini telah pergi lebih jauh dengan kebebasannya mengatasi penulis Gospel Matthew.

4. Gospel Mark, Matthew dan Luke dikenali juga sebagai "The Synoptic Gospels", kerana ketiga-tiga Gospel ini merujuk kepada dokumen yang telah hilang dimana wujudnya persamaan di antara ketiga-tiga Gospel ini; Tetapi Gospel John, adalah berlainan sekali. Penulis Gospel ini lambang ketuhanan, perkataan atau pun sebab daripada Tuhan yang mencipta alam dikatakannya telah menjelma dalam diri Jesus. Gospel ini ditulis di Ephesus atau berhampirannya dan dijangkakan ditulis pada tahun 110-115 M. Penulisnya, tidak diketahui; tetapi penulisan ini adalah condong sebagai wakil golongan Yahudi yang menentang Jesus. Sebenarnya tiada pakar bebas dalam hal ini mengiktiraf yang Gospel ini sebagai hasil usaha John (anak kepada Zebedee) yang menjadi murid Jesus. Cendikiawan Bible zaman moden ini juga meragui tentang ketulenan Gospel ini bukan sahaja kerana pandangan penulis yang diluahkan dalam Gospel ini, tetapi juga tentang perkataan-perkataan Jesus yang dipetiknya. C.J.Cadoux menjelaskan bahawa ucapan-ucapan dalam Gospel ini sangat berbeza dengan Gospel Synoptics (Mark, Matthew dan Luke).

Rujuk halaman 128-131 dalam buku Satu Perhitungan : Islam-Kristian untuk lebih lanjut.

Monday, April 21, 2014

Sumbernya sama ; Tetapi Mengapa Bible dan Al-Qur'an "Asasnya" berbeza

Sesungguhnya perbezaan asas ialah "Triniti" akidah kini telah berbeza, pada hal asalnya yang dibawa oleh Jesus tidak berbeza. Jesus mengakui Tuhan (Allah) hanya Satu; tetapi Kristian ini kepercayaannya pula wujud konsep Triniti. Sebenarnya bila diteliti dalam Al-Qur'an sendiri telah memberi sebab-sebabnya sepertimana berikut:

1. Sebab penting yang berlakunya perbezaan di antara Kristian dan Islam ini ialah sebagaimana yang tercatat dalam Al-Qur'an, surah Al-Hajj, 22:8 yang bermaksud, "Dan di antara manusia yang membantah dalam perkara-perkara yang berhubung dengan Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan dan tidak berdasarkan sebarang keterangan, dan tidak juga berdasarkan mana-mana kitab Allah yang menerangi kebenaran".

2. Wujudnya perbezaan ini juga disebut dalam Al-Qur'an surah Al-Baqarah, 2:79 yang bermaksud, "maka kecelakaan yang besarlah bagi orang-orang yang menulis kitab (Taurat) dengan tangan mereka (lalu mengubah qalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka) kemudian mereka berkata : "Ini ialah dari sisi Allah, supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu".

3. QS, Al-Imran, 3:78 yang bermaksud, "Dan sesungguhnya, di antara mereka (Ahli Kitab itu) ada (ketua-ketua ugamanya) yang memutar-mutar lidahnya semasa membaca Kitab Taurat (dengan mengubah ma'nanya), supaya kamu menyangkanya sebahagian dari kitab Taurat padahal ia bukanlah dari Kitab itu. Dan mereka pula berkata : "(bahawa) ia adalah (datangnya) dari sisi Allah", padahal ia bukanlah dari sisi Allah ; dan mereka pula tergamak berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa) mereka adalah berdusta)".

Apa yang dapat disimpulkan daripada 3 kenyataan Al-Qur'an itu ialah dalam konteks pertamanya kerana kurang pengetahuan, keduanya mengubah semasa penulisan dan ketiganya "memutarkan lidahnya: daripada berkata yang benar.

Huraian selanjutnya tentang sebab berlakunya perbezaan ini dapat ditinjau apabila kita meneliti Kebolehpercayaan (Reliability) dan Kesasihan (Validity) kedua-dua kitab suci ini : Bible dan Al-Qur'an ini.

Kristian (asal : Injil-ajaran Jesus) dan Islam, kedua-duanya adalah agama yang mengesakan Tuhan (Allah). Jesus menegaskan apa yang disebarkannya bukan darinya sendiri; tetapi sebenarnya adalah dari Allah. John, 12:49 bermaksud, "Sebab Aku berkata-kata bukan dari diri-Ku, tetapi Bapam yang mengutus Aku, Dialah yang memerintahkan Aku untuk mengatakan apa yang harus Aku katakan dan Aku sampaikan"....Nabi Muhammad SAW juga menegaskan aspek yang sama. QS, 26, Asy-Syu'araa' :192-194 bermaksud , "Dan sesungguhnya Al-Qur'an (yang di antara isinya kisah-kisah yang tersebut) adalah diturunkan oleh Allah Tuhan sekelian alam" (192). Ia dibawa turun oleh malaikat Jibril yang amanah (193), ke dalam hatimu, supaya engkau (wahai Muhammad) menjadi seorang dari pemberi-pemberi ajaran dan amaran (kepada umat manusia)" (194).

Kebenaran sesuatu agama itu khasnya Islam dan Kristian itu adalah bergantung kepada ketepatan fakta daripada pengasasnya (rasul berkenaan) direkodkan secara sahih dalam bahasa yang disampaikannya itu. Kiranya mesej ajaran yang diberikan oleh Allah  kepada nabi itu tidak sampai kepada penganutnya sebagaimana yang disampaikan kepada nabi itu, tetapi disampaikan dengan bentuk perubahan atau tersilap catatan oleh orang yang terkemudian daripadanya, ini bermakna agama atau ajaran itu telah menyeleweng daripada yang asal. Dalam konteks ini kita akan meneliti sejauh manakah kitab agama yang diturunkan dari langit itu iaitu Gospels dan Al-Qur'an, menepati catatan yang sahih dan bebas daripada sebarang perubahan.

Apa yang diperkatakan ini dari segi Kebolehpercayaan (Reliability) kitab Bible ini ialah mengenai aspek luarannya (cara pengumpulan / penulisannya) manakala Kesasihannya (validity) pula adalah dari segi dalaman (Kandungannya).

Rujuk halaman 126-128 dalam buku Satu Perhitungan :Islam-Kristian untuk lebih lanjut.

Saturday, April 19, 2014

Satu Pertalian

Satu pertalian yang cukup istimewa mengukuhkan ikatan di antara Tiga kitab suci ini iaitu Taurat-Bible (Injil)-Al-Qur'an yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW dalam menjelaskan kebenaran Allah. Ini dapat diteliti pada QS Al-Maidah, 5:68 yang bermaksud, "Katakanlah: "Wahai Ahli Kitab ! Kamu tidak dikira mempunyai sesuatu agama sehingga kamu tegakkan ajaran Kitab-kitab Taurat dan Injil (yang membawa kamu percaya kepada Nabi Muhammad) dan apa yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu (iaitu Al-Qur'an)......".

Merenunglah kita sejenak. Mengapakah Allah menegaskan betapa pentingnya menegakkan ketiga-tiga kitab suci ini: Taurat, Injil dan Al-Qur'an barulah Allah pandang sebagai satu agama. Persoalan perlu ditimbulkan di sini ialah mengapa Allah tidak mengatakan Taurat sahaja atau Injil sahaja atau pun Al-Qur'an sahaja? Apakah Taurat sahaja belum cukup atau Injil sahaja belum cukup atau pun Al-Qur'an sahaja belum cukup bagi umat manusia yang penuh dengan pelbagai angkara ini?

Umat Kristian dan Islam sendiri belum pernah mendengar nama Allah yang diperkenalkan sendiri oleh Allah kepada Nabi Musa, kiranya umat Kristian dan Islam tidak meneliti juga kitab Taurat atau penulisan-penulisan mengenai Taurat. Sebenarnya nama Allah yang disebut dalam Taurat ialah Yahweh. Dalam kitab Tauratlah ribuan kali disebut oleh Nabi Musa. Dalam Al-Qur'an di sebut dengan begitu baiknya kisah-kisah mengenai Nabi Musa, menghormati Nabi Musa; tetapi tidak disebut tentang Yahweh. Mungkinkah ini satu rahsia Allah yang mempunyai hikmatnya secara tersendiri. Untuk ini sama-samalah kita berfikir! Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui.

Sejak berabad-abad lamanya umat Kristian 'disembunyikan' kepada pemeluk awam Kristian bahawa Islam amat menghormati Jesus (Nabi Isa) , sehinggakan adanya satu surah khas mengenai ibu Jesus (Nabi Isa a.s.) iaitu QS, surah Maryam, 19:1-98 yang ada 98 ayat semuanya, diturunkan semasa Nabi Muhammad SAW masih berada di Makkah. Malah ada pula yang memutarbelitkan tentang kepercayaan Islam. Islam mempercayai Allah yang Esa (QS, Al-Ikhlas, 112:1-4), tetapi ada golongan paderi Kristian mengatakan sebaliknya.

Graff du Castrie, seorang Orientalis mengakui hasil daripada penyelidikannya terbukti bahawa propaganda untuk menimbulkan kebencian kepada orang Islam dan Nabinya. Sebelum umat-umat Eropah dikerahkan untuk peperangan salib, disiarkan berita-berita bohong, dikatakan orang-orang Islam itu penyembah berhala dan nama berhala itu ialah Tarfagant, terletak dalam Kaabah. Nama Nabi Muhammad pula dikatakan berasal daripada nama anjing iaitu Mahound, dan pelbagai lagi tuduhan fitnah disebarkan. Malah setelah hampir 1000 tahun berlalunya Peperangan Salib itu, kesannya masih lagi terasa di kalangan masyarakat awam di Barat. Mussolini mengerahkan pemuda Fasscist Italy menghancurkan Tripoli di mana dalam nyanyian-nyanyian perang mereka juga disebut bahawa mereka pergi berperang itu adalah bagi menyahut seruan suci iaitu bagi menghancurkan orang Islam penyembah berhala. Pada hal 'Akidah Islam amatlah bertentangan sekali dengan menyembah berhala.

Rujuk halaman 120-121 dalam buku Satu Perhitungan :Islam-Kristian untuk lebih lanjut.

Thursday, April 17, 2014

Berlawanan

Dalam konteks berlawanan ini perlu ditinjau secara positif dan lebih berhati-hati. Maksudnya jangan mudah dibuat kesimpulan tanpa bukti kukuh. Contohnya tentang kematian Judas (seorang murid Nabi Isa). Ada dua versi. Versi pertama ialah Acts 1:18 di mana Petrus mengatakan bahawa Judas mati dalam keadaan jatuh tertiarap dan perutnya pecah. Tetapi dalam Matthew 27:5 pula mencatatkan Judas mati gantung diri. Mana satu yang betul? Sebenarnya kedua-duanya betul. Ini kerana bila diteliti iaitu Judas mati dengan menggantungkan dirinya, kemudian jenazahnya jatuh dan perutnya pecah.

Dalam Al-Qur'an juga bila dibaca dengan sekali imbas akan wujudnya pertentangan. Lebih-lebih lagi oleh mereka yang mencari-cari kelemahan dalam Al-Qur'an. Contohnya boleh diteliti pada dua ayat dalam Al-Qur'an pada surah Al-Maidah sepertimana berikut:

QS Al-Maidah,5:51 yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim".

Manakala di surah yang sama QS Al-Maidah 5:69 pula Allah berfirman bermaksud, "Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi, dan orang-orang Saabi'in, dan orang-orang Nasrani - sesiapa sahaja di antara mereka yang beriman kepada Allah (dan segala rasulNya meliputi Nabi Muhammad s.a.w.), dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal salih, maka tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berduka cita".

Pertentangan ini pernah dipersoalkan oleh para cendikiawan Kristian, kata mereka manakah satu yang benar di antara dua ayat ini? Jawapannya ialah kedua-duanya benar! Dalam begitu ramai orang Yahudi dan begitu ramai juga orang Nasrani, ada yang beriman dan ada yang tidak beriman sepertimana yang dimaksudkan pada ayat di atas. Yang dimaksudnya pada ayat 51 itu ialah terhadap orang Yahudi dan Nasrani yang tidak beriman; manakala yang dimaksudkan oleh ayat ke 69 itu ialah terhadap orang-orang Yahudi dan Nasrani yang beriman kepada Allah sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat 69 itu. Itulah sebabnya yang dikatakan kedua-duanya betul.

Demikianlah halnya dengan perkataan Tuhan dan Anak Allah itu yang disebut dalam Bible. Dalam Bible mengatakan Jesus itu Tuhan dan Jesus juga Anak Tuhan; Sedangkan dalam Al-Qur'an mengatakan Tuhan (Allah) hanya Esa, tidak beranak dan tidak diperanakkan (QS Al-Ikhlas, 112:1-4). Apakah ini berlawanan dengan apa yang dijelaskan dalam Al-Qur'an. Bagi penulis, ianya tidak berlawanan. Hanya persepsi manusia sahajalah yang menyebabkan kenyataan itu mudah terseleweng! Ini telah diperjelaskan di dalam Bab 2 sebelum ini. Oleh itu perkataan "Tuhan" dan Anak Tuhan (Allah) dalam Bible itu tidaklah bertentangan dengan QS Al-Ikhlas, 112:1-4 itu.

Rujuk halaman 118-120 dalam buku Satu Perhitungan : Islam-Kristian untuk lebih lanjut.

Wednesday, April 16, 2014

Taurat-Bible (Injil)-Al-Qur'an Adalah Satu Sumber Dari Allah

Taurat: Taurat ialah kitab yang diturunkan Allah kepada Nabi Musa, sepanjang 40 hari baginda bermunajat di gunung Sinai. Allah telah mengurniakan kepadanya "The Ten commandments"- 10 Rukun (batu bersurat) yang tertulis di atasnya mengenai ajaran penting. Ianya dikenali dengan nama Taurat. Kitab Taurat memang disebut dalam Al-Qur'an, dan diiktiraf suci; tetapi apa yang dipertikaikan dan diragui oleh para sarjana Islam ialah mengenai ketulenan isi kandungannya dan ianya diamalkan oleh para ahli kitab sekarang ini. Dalam konteks Bible, (Penulisan terkemudian berasaskan kepada Taurat) ianya sekarang dikenali sebagai "Old Testament" (Perjanjian Lama). Maksudnya perjanjian mereka (Bani Israel-Nabi Musa) dengan Allah.Orang Yahudi juga mengiktiraf "Old Testament". Manakala "New Testament" (Perjanjian Baru) atau Injil hanya dikhusus kepada orang Kristian sahaja. Bible adalah mengandungi kedua-dua perjanjian iaitu "Old Testament" dan "New Testament".

Injil berasal daripada perkataan Yunani iaitu eauggelion yang bermaksud "khabar baik" atau "khabar gembira". Ianya disebut dalam al-Qur'an ajaran Nabi Isa a.s. yang sebenar (tidak diubah oleh manusia) ini terbukti dalam QS, Surah Al-Imran 3:3 yang bermaksud: "Ia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Qur'an) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya, dan ia juga yang menurunkan Kitab-kitab Taurat dan Injil.

Manakala Al-Qur'an pula adalah dalam bahasa 'Arab bermaksud "bacaan yang baik dan benar". QS, An-Nahl, 16:89 yang membawa maksud, ".....dan Kami turunkan kepadamu Al-Qur'an menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yan mengembirakan, bagi orang-orang Islam". QS, An-Nahl, 16:102 pula bermaksud: "Katakanlah (Wahai Muhammad): Al-Qur'an itu diturunkan oleh Ruhu'ul-Qudus (Jibril) dari Tuhanmu dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat, untuk meneguhkan iman orang-orang yang beriman, dan untuk menjadi hidayah petunjuk serta berita yang mengembirakan bagi orang-orang Islam".

Al-Qur'an, diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW bermula di gua Hira', pada tahun 610M, dalam bentuk wahyu. Turunnya wahyu ini berterusan dari semasa ke semasa selama 23 tahun : 13 tahun di Makkah dan 10 tahun semasa baginda di Madinah. Pembawa wahyu baginda ialah malaikat Jibril (Ruhu'ul-Qudus).

Apa yang perlu ditonjolkan disini lagi; pertamanya ialah Roh Kudus (Ruhu'ul-Qudus/Jibril) disebut dalam Al-Qur'an. Jibril adalah malaikat yang membawa wahyu kepada Nabi Muhammad SAW. Keduanya "berita yang mengembirakan bagi orang-orang Islam". Ini bermakna Al-Qur'an sama di antara fungsinya dengan Injil. Begitu juga tentang Roh Kudus itu yang membawa erti malaikat (Jibril).

Rujuk halaman 117-118 dalam buku Satu Perhitungan : Islam-Kristian untuk lebih lanjut.