Tuesday, December 31, 2013

Islam Di China Beberapa Abad Dahulu Terus Berkembang Sehingga Kini

Dalam sejarah China, sebenarnya Islam telah lama wujud. Mengikut Dr.Cesar Adib Majul dalam ucapannya di University of Philippines, 3 Feb. 1999 seperti yang tercatat dalam journal Al-Nahdah Vol. 18 no. 3, terbitan Regional Islamic Da'wah Council of Southeast Asia and the Pacific, mencatatkan juga usaha penyelidikan seorang sarjana Pakistan, Prof. Dr. Sayyid Qudratullah Fatimi tentang sepuluh orang sahabat Rasulullah dari kalangan Muhajirin telah pergi ke Habsyah tetapi tidak pulang ke Madinah sebaliknya empat orang daripada mereka yang diketuai oleh Su-ha-pai Sai Kan-kon-syih (Sa'ad bin Qais) telah sampai ke China semasa pemerintahan Wu-T (618-626) era Dinasti Tang. Dalam menyempurnakan dakwah ini, beliau meninggal dunia dan dikebumikan di Canton. Tiga sahabatnya lagi iaitu Kai-Su (Qais bin Hushafah), Wu-Ai-Su (Urwah bin Abi Uththan) dan Wan-Ko-Ssu (Abu Qais bin al-Harith), (Hj. Mohd, Rashad, Hal. 39)

Pada tahun 726 Masihi, Hisyam bin Abdul Malik (khalifah daripada Bani Umaiyyah) telah menghantar duta dari Arab, Sulaiman ke China menghadap Maharaja Tang Xuan Zong (Dinasti Tang). Ia dilayan dengan baik. Semasa Pemberontakan An Syi berlaku, Maharaja itu mengundurkan diri dan anaknya Tang Su-zong naik takhta. Maharaja Su-Zong minta bantuan dari kerajaan slam yang ketika itu Khalifah Abu Jaafar Al-Mansur (Bani Abbasiah) mengirim pasukan  tentera berkuda dan berjaya menawan semula Bandar Sing-Nan-Fu dan Ho-Nan-Fi. Maharaja Su-Zong amat menghargai pertolongan itu dan membenarkan tentera Islam berkahwin dengan wanita-wanita tempatan.

Pada era abad ke-13, Genghis Khan (Mongol) meluaskan kuasa takluknya di bahagian benua Asia iaitu barat, timur dan tengah. Dengan ini, ramai juga masyarakat Islam dari Turki, Parsi, Arab dan lain-lain berhijrah melindungi diri di China. Di samping itu, komuniti Islam  yang di sebelah utara dan barat laut Asia itu yang terdiri daripada orang-orang Uyghur, Baon, Tartar, Tajik, Kazak, Dongxiang, Kyrzik dan Salar selain daripada sebilangan kecil penduduk Islam yang berasal dari keturunan China tempatan seperti etnik Hui, penduduk Gangsu, Xin Jiang, Sichuan, Yunan, Kuangchou (Canton), Hainan dan sebagainya telah terbentuk secara evolusi dalam membina negara China yang besar. Masyarakat Islam di China yang dikenali sebagai Hui Hui, Hui Tzu, Hui Chiao, ringkasnya Hui, adalah masyarakat Islam rakyat jati China tempatan. Mereka ini setaraf dengan kira-kira 56 kumpulan etnik China lainnya di Negara China.

Rujuk halaman 150-151 dalam buku Mengapa Kembali Memeluk Islam untuk lebih lanjut.

Monday, December 30, 2013

Mengapa Poligami Dibenarkan Dalam Islam

Definisi poligami di sini ialah lelaki berkahwin lebih daripada seorang. Dalam Islam sebenarnya membolehkan seseorang lelaki itu beristeri tidak melebihi daripada empat orang. Dalam konteks ini, sebenarnya hanya Al-Qur'an sahaja satu-satunya kitab suci agama di dunia ini yang menyebut bahawa kahwinlah seorang sahaja. Tidak ada sebarang agama di dunia ini yang menyuruh lelaki kahwin seorang sahaja. Kitab-kitab agama lain dalam dunia ini sejak dahulu lagi (melainkan yang telah diubah kemudiannya) semuanya tidak menghadkan seberapa ramai seseorang lelaki itu boleh berkahwin. Ini termasuklah kitab Vedas, Ramayana, Mahabharata, Geetha, Talmud dan Bible. Hanya kemudian sahaja pendita Hindu dan gereja Kristian menghadkan suami hanya dibenarkan mempunyai satu isteri.

Bagi agama Hindu, ramai juga tokoh-tokoh pentingnya mempunyai ramai isteri. Ramai Dashrat, bapa Rama mempunyai lebih daripada seorang isteri. Krishna juga mempunyai lebih daripada seorang isteri. Agama Kristian juga dahulunya dibenarkan beristeri seramai mana yang mereka ingini. Ini kerana dalam Bible sebenarnya tidak menghadkan bilangan isteri bagi seseorang lelaki. Hanya beberapa abad lalu, pihak gereja menghadkan lelaki Kristian beristeri hanya seorang sahaja. Bagi agama Yahudi pula, menurut undang-undang Talmut, Nabi Ibrahim sendiri mempunyai tiga orang isteri manakala Nabi Sulaiman pula mempunyai ratusan isteri.

Amalan ramai isteri ini berterusan sehinggalah pada tahun 1950, satu akta dikeluarkan oleh Mahkamah Ketua Rabai Israel mengharamkan penganutnya beristeri lebih daripada satu. Di India sebenarnya lebih ramai penganut agama Hindu yang mengamalkan poligami berbanding dengan penganut Islam. Satu laporan Jawatankuasa Status Wanita dalam Islam diterbitkan pada 1975, hal. 66 dan 67 mengenai poligami di antara tahun 1951-1961 adalah 5.06% di kalangan penganut Hindu, manakala di kalangan penganut Islam cuma 4.31%. Biarpun menurut perundangan India, hanya lelaki Islam dibenarkan berkahwin lebih daripada satu. Ini bermakna pengharaman itu tidak begitu berkesan. Mungkin ini kerana hanya pada tahun 1954 Akta Perkahwinan Hindu diluluskan di mana penganut Hindu tidak dibenarkan berkahwin lebih daripada seorang. Ini bermakna bukan agama Hindu yang melarang penganutnya beristeri lebih daripada satu tetapi undang-undang India yang menegahnya.

Soalnya, yang perlu ditimbulkan di sini ialah di samping Islam menyuruh lelaki Islam berkahwin hanya satu isteri sahaja tetapi mengapa pula Islam membenarkan poligami atau kahwin lebih daripada satu? Dalam konteks ini, Al-Qur'an Surah An-Nisa' 4:3, dengan jelas menyebut:

"Maka kahwinlah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi: dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu tidak dapat berlaku adil, maka kahwinlah seorang sahaja."

Rujuk halaman 138 dalam buku Mengapa Kami Memeluk Islam.

Sunday, December 29, 2013

Para Sarjana Islam Tidak Pernah Memeluk Terhadap Islam

Dalam sejarah tamadun Islam sebenarnya tidak pernah ada sarjana Islam setakat ini yang memeluk agama lain. Begitu juga para mubaligh Islam, tidak ada yang melarikan diri daripada agama Islam. Dalam kajian ini juga tiada bukti yang menunjukkan sarjana (pakar) Islam atau mubaligh Islam yang bertakwakan Allah "memilih agama lain". Biarpun ada di antara para cerdik pandai Islam) memang ahli dalam Islam) ditekan, diseksa dengan pelbagai cara supaya menukar agama, terutamanya di negara Barat tetapi setakat ini, belum ada bukti yang mereka meninggalkan Islam dan memilih agama lain. Malah ada di antaranya yang dibunuh tetapi para pengikutnya (penganut Islam) tetap dengan pendirian memilih Islam (pandangan sebahagian daripada sampel kajian ini).

Para sarjana Kristian ada yang memeluk Islam, di antaranya ialah Prof. 'Abdull-Ahad Dawud. Beliau sebenarnya seorang Bishop (orang alim dalam agama Kristian). Beliau mengkaji tentang Islam, khasnya Al-Qur'an dengan hasrat untuk mengkristiankan orang Islam tetapi sebaliknya beliau sendiri masuk Islam. Begitu juga apa yang terjadi kepada saudara Lim. Beliau telah 13 tahun menjadi mubaligh Kristian di Malaysia ini. Pada suatu hari beliau telah menonton cakera padat Ahmad Deedat mengenai Islam. Alangkah terperanjatnya beliau apabila Ahmad Deedat telah mendedahkan apa yang dianuti oleh para penganut Kristian hari ini sebenarnya bukan Kristian yang asli tetapi adalah Kristian ciptaan Paul. 

Kristian sebenarnya mengiktiraf Tuhan Yang Satu sepertimana yang diperlengkapkan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai nabi atau rasul yang terakhir. Beliau juga telah meneliti Islam dan akhirnya memeluk Islam. Sekarang beliau bergiat pula sebagai pendakwah Islam yang baik di Malaysia. Di samping itu juga seorang Bishop, saudara Ayob yang telah dianugerahkan oleh Pope Kristian sebagai orang yang boleh mengampun dosa bagi orang Kristian tetapi akhirnya beliau meninggalkan Kristian dan masuk Islam.

Para mubaligh Islam yang dibunuh pula ramai, di antaranya ialah Prof. Ismail Raji al-Faruqi dan isterinya. Di samping itu, seorang lagi mubaligh Islam yang tidak kurang hebatnya ialah Malcolm X, pejuang Islam kulit hitam di Amerika. Beliau mati dibunuh ketika beliau mulai berucap.

Yvonne Ridley, (bekas penolong pengarang Daily Mirror, London) menjelaskan pengalamannya ketika ditahan Taliban selama 10 hari pada 28 September 2001, di Kabul (Afganistan) mendapati apa yang digembar-gemburkan oleh wartawan Barat ternyata lari daripada realiti sebenar. Jelasnya lagi petugas media Barat dibayar AS50 (RM190) setiap orang untuk membuat penipuan (dakyah palsu). Menginsafi kepalsudan dakyah terhadap ini, akhirnya beliau telah memeluk Islam. Islam jelasnya agama yang sangat baik.

Berita-berita tentang dakyah yang orang Islam itu sebagai pengganas bukannya tepat dan betul apa yang diperhatikan mereka bukannya pengganas tetapi sebagai pejuang agama dan tanah air contohnya Palestin. Ini membawa implikasi secara tersendiri. Implikasi yang sebenar ialah Islam telah menjadi mangsa. Lebih-lebih lagi pembohongan kuasa besar Amerika dan England terhadap dakyah palsu untuk menyerang Iraq. Penyerangan ke atas Iraq dan juga terhadap Palestin di mana orang Islam berjuang bermati-matian telah menimbulkan rasa ingin tahu orang ramai tentang Islam. Dengan ini lantas mereka berusaha untuk maklumat yang sebenar mengenai Islam. Dalam mencari maklumat ini, akhirnya ada di antara mereka yang terpikat dengan ajaran Islam kerana baiknya ajaran ini, lantas berusaha untuk memeluk Islam.

Rujuk halaman 135-137 dalam Mengapa Kami Memeluk Islam untuk lebih lanjut.

Thursday, December 26, 2013

Apakah Rasionalnya Menyembah Patung Yang Dibuat Sendiri

Dalam agama Buddha, mereka melarikan diri daripada penderitaan tetapi apa yang ditimbulkan oleh mereka ialah setakat mana memohon daripada patung yang dibuat oleh manusia sendiri yang tidak mempunyai apa-apa kuasa itu boleh memberi pertolongan kepadanya. Di samping itu, mereka juga difahamkan Buddha tidak pernah menyuruh membuat patungnya untuk disembah tetapi sekarang penganut Buddha menyembah patung. Buddha tidak mempercayai Tuhan, apabila mati dikatakan bahawa wujud kelahiran semua mengikut tahap baik buruk seseorang itu di dalam kehidupannya.

Sekiranya baik, dia akan dilahirkan semula pada taraf yang baik. Begitulah pula sebaliknya. Dalam keadaan ini mereka akan keliru dengan agama Hindu. Agama Hindu juga bila mati rohnya akan menjelma semula dilahirkan dalam jasad orang lain mengikut tarafnya. Kiranya amalannya itu baik, mungkin ia akan dilahirkan dalam golongan Brahman. Kalau tidak baik, mungkin pada golongan Shudra (hamba). Dengan kekeliruan ini, pengikut agama Buddha perasaan kurang yakin itu bertambah memuncak bilamana mereka sering mendengar kemurniaan agama Islam di akhbar, tv dan radio, juga melalui kawan-kawan lantas keinginannya terpaut kepada agama Islam.

Bagi yang beragama Hindu pula, pegangan kepada agama asal itu longgar kerana mereka sebenarnya dalam kekeliruan. Mereka mempunyai ketua tuhan, banyak tuhan, malah sehingga beratus-ratus ribu tuhan. Dalam banyak-banyak tuhan itu, dikatakan ada pula satu Tuhan yang paling tinggi iaitu Tuhan yang satu. Ini bermakna, ia sama dengan Islam yang sejak mula lagi menegaskan bahawa Tuhan itu satu, tidak diperanakkan dan tidak pula ia beranak. Tiada isteri sepertimana dalam tuhan-tuhan Hindu.

Kedua-dua agama ini menyembah patung. Bezanya dalam ajaran Buddha hanya menyembah satu patung iaitu patung Buddha, tetapi dalam agama Hindu menyembah banyak patung, mengikut keperluannya. Ramai di antara mereka apabila menggunakan logik, pegangan terhadap kedua-dua agama ini agak longgar. Apabila bersua dengan Kemurniaan Islam, keinginan itu terus memuncak untuk memeluk Islam. Bagi mereka yang terdiri daripada agama lain, faktor kelonggaran terhadap agama asal ini menunjukkan respon daripada sampel lelaki tidak ada, yang ada hanya daripada sampel perempuan. Ini terdiri daripada Bumiputera (orang asli, bumiputera Sabah dan Sarawak dan juga bangsa-bangsa lain yang juga ada dalam sampel ini).

Bagi mereka, kelonggaran ini adalah disebabkan oleh kerana menganut agama hanya secara tradisi, kebanyakannya tidak faham pun tentang agama mereka. Cuma agamanya itu ada pada nama sahaja. Bagi golongan perempuan, faktor kekeliruan ini amat penting sehingga mencapai pada tahap Cemerlang. Ini bermakna golongan wanita ini banyak ikut-ikutan sahaja dalam konteks kepercayaan terhadap agama asalnya berbanding dengan lelaki yang amnya lebih kuat pegangan terhadap agama asal mereka.

Bagi mereka yang tidak mempercayai agama pula, kebanyakannya cuma mengikut kepercayaan tradisi ibu bapa mereka. Ini banyak berlaku di kalangan kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak serta kaum Cina. Ada di antara mereka kuat berpegang kepada tradisi ini sehingga samapi ke tahap cemerlang tetapi bilangannya amatlah kecil. Bagaimanapun, apabila ia mengetahui tentang kemurniaan Islam, dengan persekitaran yang kondusif dan sebagainya faktor-faktor lain yang tersebut di atas, akhirnya mereka memeluk Islam.

Walau bagaimanapun, kekeliruan ini tidak begitu menonjol bagi kebanyakan sampel. Tidak seperti faktor lain, faktor ini juga signifikan. Walau pada tahap yang minima tetapi potensinya cukup besar untuk mempengaruhi mereka kepada Islam. Dengan ini, penyelidikan secara lebih khusus tentang perbandingan agama iaitu agama Kristian, Buddha, Hindu dan Islam perlu ditonjolkan. Dengan ini, pasti ia akan berpihak kepada Islam.

Rujuk halaman 118-119 dalam buku Mengapa Kami Memeluk Islam untuk lebih lanjut.

Tuesday, December 24, 2013

Taqwa kepada Allah SWT

Dalam konteks taqwa kepada Allah SWT ini, ada di antara mereka sering tertanya-tanya tentang bagaimana seseorang Islam boleh begitu patuh kepada ajaran agamanya terhadap Tuhan dalam menghadapi pelbagai tentangan dan kerenah daripada pihak-pihak kuasa besar dunia. Orang-orang Islam melawan pihak bukan Islam atas nama jihad yang orang-orang barat anggap sebagai pengganas. Mereka sesetengahnya tertanya-tanya bagaimana mereka sanggup hidup menderita kerana mempertahankan agama. Mereka tidak faham dengan konsep taqwa tetapi apa yang mereka faham seseorang Islam yang baik sanggup mempertahankan agama sehingga sanggup mati.

Ketaatan orang Islam juga sehingga sanggup berpuasa sampai sebulan lamanya. Apakah rahsia di sebalik itu? Faktor kesihatan mereka boleh faham tetapi ketaatan kepada Allah SWT dengan menahan diri tidak makan seharian membuatkan mereka sering mencari jawapan. Apabila berjumpa sesama Islam, mereka sering terdengar 'Assalamualaikum' dan dijawab oleh orang Islam yang lain ' Wa'alaikum mussalam'. Ada di antara mereka sering tertanya-tanya apakah rahsia di sebaliknya. Bagi orang Cina, apabila berjumpa sesama mereka, perkara yang pertama diucapkan ialah pertanyaan, "Sudah makan?" tetapi orang Islam memberi salam apabila berjumpa.

Mereka juga ingin tahu apa kaitan kepatuhan (ketaqwaan) kepada Tuhan itu dengan suara azan terutama di waktu subuh. Bagi mereka waktu ini adalah waktu orang masih tidur tetapi orang Islam telah dikejutkan dengan suara azan.Selepas itu, ramai orang Islam pergi ke surau atau pun masjid. Mereka ini hairan. Bukan sahaja pada waktu subuh tetapi juga pada waktu tengah hari kira-kira jam satu (Zuhur), kira-kira jam 4.30 petang (Asar), jam 7.00 petang (Maghrib) dan kira-kira jam 8.30 malam (Isyak). Selepas azan, ramai orang Islam menuju ke tempat suara azan itu. Di samping itu, ada juga di antara mereka yang sering tertanya-tanya kepatuhan orang-orang Islam pergi menunaikan ibadat haji di Mekkah. Ramai orang tua yang masih sanggup ke Mekkah dalam suasana menghadapi cuaca panas yang terik. 

Perkara-perkara ini sebenarnya ada di antara mereka yang amat tersentuh hati kecil untuk mengetahui rahsia kepatuhan kepada ajaran Islam ini. Maksudnya, dengan konsep taqwa ini, rasa ingin tahu mendesak mereka untuk tahu tentang Islam. Ketika mencari-cari, ada yang tertarik hati dengan Islam, dan akhirnya memeluk Islam.

Rujuk halaman 96 dalam buku Mengapa Kami Memeluk Islam.

Monday, December 23, 2013

Unsur Perpaduan Antara Islam dan Kristian Sebenarnya telah Wujud

Sebenarnya Islam dan Kristian (asal-ajaran nabi Isa as) adalah agama Samawi yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW dan Nabi Isa. Oleh itu, tidak mustahil jika ada persamaan antara keduanya. Penganut agama Kristian dan Yahudi sebenarnya tidak mengiktiraf Al-Qur'an sebagai kitab yang diwahyukan. Walaupun begitu, orang Islam wajib mempercayai kitab-kitab sawami yang selain Al-Qur'an telah diturunkan secara langsung atau tidak langsung oleh Allah SWT. 

Akhir-akhir ini telah berlaku perubahan di mana Konsili Vatican II (1963-1965), Sekretariat Vatican untuk urusan dengan umat bukan Kristen, menyiarkan satu dokumen Orientasi Untuk Dialog Antara Umat Kristian Dan Umat Islam. Dokumen ini menyatakan tentang ketidakadilan yang telah dilakukan oleh pendidikan Kristian tentang apa yang berlaku antara Vatican dan Islam. Maka masyarakat Kristian kurang mengetahui tentang ini. Paus Paulus VI telah mengutuskan pesan kepada al-Marhum Raja Faisal pada 1974 dengan menyatakan keyakinannya yang mendalam tentang kesatuan dunia Islam dan dunia Kristian yang kedua-duanya menyembah Tuhan yang Satu. Sifat keterbukaan Paus Paulus terhadap Islam mewujudkan lembaran persepsi baru hubungan antara kedua agama. Di samping itu, ulama Arab juga berkunjung ke majlis Ekumeni Gereja di Geneva dan mereka diminta untuk menunaikan solat zuhur di Kathedral.

Al-Qur'an telah diwahyukan kepada Nabi Muhammad dengan perantaraan Jibril. Jadi ia mempunyai kandungan yang tetap daripada dahulu hingga sekarang. Manakala Bible adalah wahyu melalui penyaksian manusia dan yang menulis Bible itu tidak seorang pun yang hidup pada zaman Nabi Isa itu. Dari segi sains moden, penyelidikan perlu dibuat untuk mengetahui sejauh mana kitab-kitab suci (Bible) yang dimiliki itu bersifat benar dan autentik.

Adapun setelah lamanya Bible itu hanya dibaca oleh orang Kristian tanpa sebarang kajian kerana kritikan terhadap kitab suci adalah satu dosa dan penganut Kristian terus-terusan disajikan dengan Kitab Bible yang telah diedit dan dipotong ayat-ayat yang amat penting. Selepas manusia mula berfikir berlandaskan logik sains, pada mulanya ia nampak seperti mempunyai keserasian dengan Bible tetapi selepas perkembangan sains yang cepat wujudlah pertentangan dan perbezaan antara Bible dan Sains. Berbeza dengan teks Al-Qur'an yang tetap, ia menceritakan tentang pelbagai proses sains hinggalah setiap penyelidikan setakat ini, menemui keserasian dengan kandungan Al-Qur'an.

Apa yang diperkatakan tentang perkara-perkara yang mereka tidak puas hati tentang apa yang terkandung dalam Bible di atas itu hanyalah sedikit sahaja. Bagaimanapun, perpaduan di antara Islam-Kristian boleh dibentuk melalui persefahaman keTuhanan yang satu. Perpecahan Islam-Kristian ini adalah masalah yang berlaku berpunca daripada pelobi Yahudi di AS. Ini adalah satu masalah politik yang dicetuskan oleh AS kesn daripada pengaruh undi dan wang daripada pelobi Yahudi dalam pemelihan Presiden AS.

Merujuk kepada Presiden AS sekarang (Bush), Setiausaha Agung Holy Synod di Mesir, Metropolitan Bishoy berkata, ".....Sekiranya dia (Bush) membaca kitab Injil dengan betul, dia akan nampak bahawa orang Yahudi adalah musuh Tuhan."


Rujuk halaman 85-86 dalam buku Mengapa Kami Memeluk Islam.

Sunday, December 22, 2013

Allah SWT Adalah Tuhan Yang Sama Yang Disembah Oleh Nabi Adam, Ibrahim, Musa dan Isa

Sebenarnya dalam konteks Islam tidak ada sebarang percanggahan pun mengenai apa yang dipercayai oleh Kristian (asal: Injil-ajaran nabi Isa a.s.) seperti dalam Bible yang mengesakan Tuhan. Islam teguh dengan pegangan bahawa kepercayaan kepada para nabi dan rasul adalah menjadi salah satu daripada Rukun Iman di mana kalau tidak mempercayainya akan terkeluarlah daripada menjadi seorang Islam.

Dalam Islam dipercayai bahawa nabi dan rasul adalah seramai 124,000 orang tetapi yang menjadi rasul-Nya cuma 313 orang. Bagaimanapun, yang tercatat nama dalam al-Qur'an cuma 25 orang. Adam, Ibrahim, Musa dan Isa adalah jenis tercatat dalam Al-Qur'an, sebagai Rasul. Ini wajib dipercayai dan dihormati. Dalam Al-Qur'an juga disebut pada Surah Al-A'laa, 87:17-19,

"Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal." (17)
"Sesungguhnya ini benar-benar terdapat dalam kitab-kitab yang dahulu." (18)
"(Iaitu) kitab-kitab Ibrahim dan Musa." (19)

Bukan itu sahaja malah dalam solat lima kali bagi seluruh umat Islam bacaan pada tahiyyat akhir, disunatkan membaca selawat ke atas Nabi Ibrahim. Kalau tidak membacanya, solatnya sah, tetapi pahala yang besar (sunat ab'adh) untuk itu tidak dapat. Huraian di atas menunjukkan bahawa Isalam adalah asasnya sama dengan Kristian (asal: Injil-ajaran Nabi Isa a.s.) ini melainkan cara amalan 'ibadat (seperti solat) dan juga tidak mengiktiraf Triniti itu. Islam tetap dengan keEsaan Tuhan (Allah SWT). Al-Qur'an Surah Al-Ikhlas, 112:1-4,

Katakanlah: "Dialah Allah SWT, Yang Maha Esa." (1)
"Allah SWT adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu." (2)
"Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan." (3)
"Dan tiada ada seorang pun yang setara dengan Dia." (4)

Rujuk halaman 84-85 dalam buku Mengapa Kami Memeluk Islam untuk lebih lanjut.