Thursday, December 19, 2013

Paderi Sendiri Pun Ada Yang Memeluk Islam

Satu perkara yang perlu dipergiatkan penonjolan di sini ialah mereka yang masuk Islam ini adalah secara sukarela. Paling suci adalah dengan keikhlasan hatinya sendiri lantaran keinsafannya tanpa unsur paksaan dan tanpa dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran yang berunsur kebendaan. Ramai juga cerdik pandai daripada agama lain, dianutilah Islam. Ini berlaku di kalangan cerdik pandai agama itu sendiri terutama sekali di kalangan paderi atau Bishop Kristian. Di samping itu kita tidak pernah dengar bahawa ada di antara sarjana Islam yang masuk agama lain.

Di antara yang paling penting ialah Prof. 'Adul'I-Ahad Dawud. Beliau telah mengkaji dengan sedalam-dalamnya mengenai Bible dan Al-Qur'an. Ditelitinya bahawa dalam Bible sendiri ada menjelaskan akan lahirnya nabi terakhir iaitu Muhammad. Ditelitinya ciri-ciri yang disebut dalam Bible itu ada pada Nabi Muhammad SAW. Akhir sekali beliau telah memeluk Islam.

Hasil temubual dengan Lim Jo Soon (Melaka), beliau mengatakan bahawa sebelum memeluk Islam beliau sudah menjadi mubaligh Kristian selama 13 tahun. Setelah menonton CD perdebatan di antara Ahmad Deedat dengan beberapa paderi Kristian, beliau tidak dapat tidur semalaman. Beliau mula mempelajari agama Islam dan akhirnya memeluk Islam. Kini beliau merupakan seorang pendakwah Islam yang gigih.

Tidak kurang pentingnya ialah sdr. Hj. Ayub Abd. Rahman bin Abdullah, Ex Monk, Order of St. Augustine, Casa Domitilla, Via delle sette Chiese, Rome Italy. Beliau seorang rakyat Malaysia, telah dilatih oleh pihak gereja Catholic sehingga akhirnya memegang jawatan yang bertaraf Monk di Rome di Italy. Beliau juga telah ditauliahkan oleh Pope di Italy untuk menghapuskan dosa bagi pemeluk Kristian. Akhirnya, sekarang (2006, penulis menghubunginya) katanya beliau telah memeluk Islam sejak beberapa tahun yang lepas lagi. Sekarang beliau giat berdakwah Islamiah, semoga orang memeluk Islam terutamanya dari golongan Kristian.

Akhbar Al Riyad melaporkan bahawa seorang paderi di Itali telah memeluk Islam kerana tertarik dengan kesederhanaan Islam itu sendiri. Beliau katanya melihat melalui televisyen pada awal Ogos, 2005; upacara pengkebumian jenazah Pemerintahan 'Arab Saudi, Raja Fahd di tanah Perkuburan Al-Qud amatlah sederhana sekali. Malah jenazah Raja Fahd juga disembahyangkan bersama (satu sembahyang) dengan jenazah seorang lagi yang meninggal dunia pada waktu itu dan dikuburkan di tempat yang serupa. "...kesederhanaan pengebumian diraja mengejutkan saya dan mengubah fikiran saya" kata paderi itu. Pengarah Yayasan Pendidikan Islam di Jeddah, Bdr Al-Olyayan berkata penghijrahan paderi berkenaan Islam ialah "berita amat baik"
(BH, 22 Ogos 2006, hal. 17)

Rujuk halaman 83-84 dalam buku Mengapa Kami Kembali ke Islam


Wednesday, December 18, 2013

Keraguan Tentang Apakah Nabi Isa Yang Disalibkan

Apabila mengikuti beberapa kitab suci Kristian adalah ragu sekali sama ada yang disalib itu Nabi Isa atau pengkhianat kepada Nabi Isa iaitu Judas Iskariot. Pada malam sebelum terjadinya Pensaliban itu Luke, Mark dan Matthew meriwayatkan Nabi Isa beberapa baris doa Nabi Isa, manakala John pula menyatakan khutbah Isa sebanyak 6 halaman (John: 14-17). Soalnya di sini perbezaan doa yang sedikit dan khutbah yang panjang. Bagaimanapun, konsepnya bolehlah diterima bahawa Nabi Isa memohon pertolongan daripada Tuhan untuk menyelamatkan diri pada keesokannya. 

Pertanyaan Nabi Isa kepada Judas: "Untuk itukah engkau datang?" (Matthew: 26:50). Ini tidak disebut oleh Injil-Injil lain. Celaan Nabi Isa kepada Judas pula hanya disebut dalam Luke (Luke, 22:48), tiada dalam Injil-Injil lain. Di samping itu, tentang pengikut-pengikut Nabi  Isa meminta izin daripada Nabi Isa untuk menyerang hanya dalam Injil Luke sahaja yang menyebutnya (Luke, 22:49). Begitu juga tentang perajurit: "Para perajurit datang mencari Jesus lengkap dengan tentera, suluh dan senjata." (John: 28). Hanya John sahaja yang menyebutnya. Perajurit bertanya tentang Nabi Isa. Nabi Isa menjawab, "Akulah Dia." (John, 18:5). Kenyataan, "Kemudian para perajurit mundur dan jatuh ke tanah." (John, 18:6). Ini hanya John sahaja yang menyebutnya.

Ketika para tentera menangkap Nabi Isa, "Matthew meriwayatkan bahawa semua murid (Isa) melarikan diri (Matthew 26:56). Jadi tiada siapa di antara para muridnya itu menyaksikan apakah benar Nabi Isa atau Judas yang hampir menyamai Nabi Isa dan yang mengkhianati Nabi Isa itu disalibkan? Lagi pula, "Penyaliban dilangsungkan pada jam tiga." (Mark, 15:25). Di saat penyalibannya, kegelapan meliputi daerah itu sejak jam enam hingga jam sembilan." (Matthew,27:45), (Mark. 15:33), (Luke, 23:44). Apakah masa itu telah ada perakam waktu iaitu jam? Mungkin dapat diragui penyelidik). "Setelah kematian orang yang disalib, terjadi gempa bumi." (Matthew, 27:51). Hanya Matthew sahaja yang menyebutnya, Injil lain tidak menyebutnya. "Setelah kematian orang di salib, kubur-kubur terbuka dan ramai orang kudus yang telah meninggal bangkit." (Matthew, 27:52). Hanya Matthew sahaja yang menyebut, Injil lain tidak menyebutnya.

Persoalan yang ditimbulkan di sini ialah yang menimbulkan keraguan dalam aspek penyaliban ini, di antaranya yang penting ialah sejauh manakah kesasihannya Nabi Isa ini disalibkan? Apakah mungkin peristiwa-peristiwa yang begitu pentung seperti peristiwa:

a. Perajurit jatuh ke tanah, John sahaja menyebutnya.
b. Gempa bumi hanya Matthew sahaja yang menyebutnya.
c. Kubur terbuka dan orang-orang kudus bangkit hanya Matthew sahaja menyebutnya.

Para penulis kitab Injil dalam aspek ini pun bukanlah menyaksikannya sendiri. Hanya mendengar cerita sahaja, itu pun berpuluh-puluh tahun kemudian baru dicatatkan di samping yang terdapat pada hari ini adalah yang terjemahan sebab yang asalnya telah hilang sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini. Dalam Islam ada mengesahkan bahawa sesungguhnya kekeliruan yang dihadapi oleh kaum Kristian tentang penyaliban ini bahawa Nabi Isa sebenarnya tidak mati di tiang salib. Orang yang mati itu ialah orang yang menyerupai Nabi Isa.

Rujuk halaman 78-79 dalam buku Mengapa Kami Kembali ke Islam.

Tuesday, December 17, 2013

Kristian Asalnya Hanya Untuk Bani Israel Sahaja

Agama Kristian ini pada mulanya hanya untuk kaum Israel sahaja. Nabi Isa diutuskan hanya untuk kaum Israel dan tidak untuk segala bangsa seperti mana yang wujud pada hari ini. Alasan ini adalah berdasarkan kitab suci Kristian sendiri sepertimana berikut:

a. Herodes, raja Rome masa itu rasa terkejut dengan kelahiran Isa (Matthew, 2:3). Beliau bertanya mengenai tempat kelahiran Isa itu dan diberikanlah penjelasan oleh para imam dan ahli Taurat Yahudi bahawa ia dilahirkan di Betlehem sepertimana dikhabarkan dalam Taurat yang akan bangkitnya seorang pemimpin dari (memimpin) kaum Israel sendiri (Matthew,2:6)

b. Semasa Nabi Isa mengutuskan 12 pengikutnya, baginda berpesan, "Janganlah kamu menyimpang ke jalan bangsa lain atau masuk ke dalam kota orang Samaria melainkan pergilah kepada kambing-kambing yang hilang dari umat Israel." (Matthew, 10:5-6).

c. Sewaktu seorang perempuan Kan'an memohon Nabi Isa mengubati penyakit anak perempuannya, Nabi Isa menolak walaupun ini diminta muridnya sendiri. Nabi Isa menolak dengan alasan, "Aku diutuskan hanya kepada kambing-kambing yang hilang dari umat Israel." (Matthew, 15:23-24). "Kambing yang hilang" itu dalam konteks ini ialah orang-orang Israel yang mengingkari ketuhanan Allah SWT yang Esa.

d. Murid-murid Nabi Isa mengakui, "Memberitakan Injil ini kepada orang Yahudi sahaja." (Kisah Para Rasul 11:19).

Apa yang diperkatakan di atas jelas membuktikan bahawa Nabi Isa diutuskan Allah SWT adalah untuk menyambung apa yang didakwahkan oleh Nabi Musa dengan kitab Taurat, bertuhankan Allah SWT dan hanya untuk kaum Israel sahaja. Bagaimanapun, persoalan yang timbul di sini ialah mengapa ia diburu oleh orang Israel sendiri? Ini perlu dirujuk keadaan sejarah kaum Israel masa itu. Di kala itu kerajaan yang menguasainya ialah kerajaan Rome. Kaum Israel tertindas di bawah kekuasaan raja Rome ini. Adalah menjadi hasrat penting bagi kaum Israel kehadiran Isa ini dapat memimpin kaumnya mengatasi masalah yang mereka hadapi pada masa itu, sebagaimana yang dikhabarkan dalam kitab Taurat mereka bahawa akan lahirlah seorang pemimpin dari kalangan mereka untuk memimpin kaumnya iaitu Israel.

Benar sekali apa yang dikhabarkan oleh kitab Taurat itu, Isa dilahirkan tetapi misi Nabi Isa bukanlah untuk menggulingkan kerajaan Rome, cuma mendakwahkan agama Allah SWT supaya semua kaumnya tidak menyeleweng daripada agama asalnya sepertimana yang didakwahkan oleh nabi sebelumnya iaitu Nabi Musa.

Apabila kaum Israel ini mendapati Isa ini betul-betul handal dengan mukjizatnya, tidak pula mahu memimpin kaumnya dari aspek selain daripada ke jalan mengesakan Allah SWT, di sini timbullah beberapa fitnah yang menjahanamkan Nabi Isa. Murid-murid Nabi Isa yang ada mengikutinya seramai 12 orang mewakili 12 suku Israel pada masa itu. Dengan fitnah yang tajam iaitu ia boleh menggugatkan kerajaan Rome, sudah tentu kerajaan Rome amat marah sekali. Kerajaan Rome dengan menggunakan orang Israel sendiri memburu Nabi Isa dengan cukup hebat hingga terjadilah peristiwa "penyaliban" itu.

Selepas ketiadaan Nabi Isa ini nampaknya dua perkara yang amat menonjol di hebohkan iaitu Triniti dan penyebaran Kristian (Triniti) ini kepada bukan orang Israel tetapi ke seluruh bangsa di dunia hari ini. Di antara panglima ulungnya ialah Paul dan kumpulannya.

Rujuk halaman 80-81 dalam buku Mengapa Kami Memeluk Islam? 

Monday, December 16, 2013

Keraguan Tentang Konsep Triniti

Maksud Triniti ini ialah Tuhan itu wujud dalam Kesatuan iaitu Tuhan Anak, Tuhan Ayah dan Roh Suci (Jibrail). Triniti  ini timbul sesudah Nabi Isa tiada. Sebelum Nabi Isa, ajaran para nabi lain daripada Nabi Adam, Idris, Nuh, Ibrahim, Daud dan seterusnya Nabi Isa semuanya agama Tauhid yang mengakui keEsaan Allah SWT. Tidak timbul langsung konsep Triniti ini masa itu tetapi ia muncul selepas Nabi Isa terutamanya ditonjolkan oleh para pengikut St. Paul.

Timbulnya Triniti ini adalah berdasarkan pungutan suara dalam tempat-tempat perkumpulan. Pungutan suara itu pula berasaskan ancaman untuk mengambil jalan tengah. Maksudnya untuk menimbulkan keagungan, tidak menimbulkan kemarahan bagi mereka yang percayakan politheis (banyak tuhan) dan bukan pula tuhan berbilang banyaknya untuk tidak menimbulkan kemarahan bagi masyarakat yang percayakan monotheis (satu tuhan). Dengan ini ditimbulkan konsep Tiga dalam Satu atau Satu dalam Tiga.

Selanjutnya, kemunculan konsep Triniti dalam ajaran agama Kristian ini telah bermula selepas hampir 300 tahun "kehilangan" Nabi Isa ataupun apa yang dikatakan Peristiwa Salib oleh orang Kristian dan bukannya semasa zaman Nabi Isa.  Kontroversi yang berlaku pada masa itu antara Arius yang mengutarakan doktrin bahawa Nabi Isa adalah manusia dan bukan Tuhan sementara Athanasius mengetengahkan doktrin yang Nabi Isa adalah anak Tuhan. Ini telah memaksa Maharaja Rom, Constantine, mengadakan satu perhimpunan iaitu Council of Nicea yang juga dihadiri oleh tokoh-tokoh Kristian pada tahun 325 Masihi. Pada perhimpunan itu, dia (Constantine) telah memutuskan bahawa Nabi Isa adalah anak Tuhan.

Pada tahun 451 Masihi, di Council of Chalcedon dengan persetujuan Pope, konsep Triniti diterima sebagai pegangan rasmi gereja dan sebarang penolakan dianggap sesat. Edward Gibbon dalam prakata buku History of Cristianity berkata: "Jika agama Kristian dilihat telah berjaya mengalahkan ajaran sesat, ajaran Kristian juga berjaya dipengaruhi oleh ajaran itu". Konsep ketuhanan yang suci yang dipegang oleh golongan Kristian yang awal telah diubah oleh Gereja Rom menjadi Dogma Tritunggal yang tidak masuk akal. Banyak falsafah sesat ciptaan orang-orang Mesir kuno yang dipuja oleh Plato diterima menjadi kepercayaan agama Kristian.

Seorang tokoh Kristian, Reverend William B.Chalfant berkata: "Kajian kami menunjukkan konsep Tritunggal berasal daripada falsafah sesat yang kemudiannya dimasukkan ke dalam ajaran Kristian". Dalam konsep Triniti (Tritunggal) ini juga para penganut Kristian ramai yang tidak puas hati, mereka agak celaru. Ideologi Triniti ini sebenarnya adalah usaha Paul yang telah mengeksploitasikan nama dan kedudukan Jesus itu sendiri secara menyamakan Jesus dengan Tuhan iaitu dikatakan Jesus itu Tuhan Anak, Tuhan dan juga Roh Suci.

Rujuk halaman 76-77 dalam buku Mengapa Kami Memeluk Islam.


Thursday, December 12, 2013

Keraguan Terhadap Kesahihan Sumber Asal Kristian

Penyelidik meninjau tentang ketidakpuasan hati ini di antara yang menariknya lagi ialah tentang kesahihan agama Kristian itu sendiri. Ini disebabkan oleh banyak sangat percanggahan maklumat dalam kitab-kitab suci mereka. Percanggahan ini sebenarnya memang wujud secara logiknya kerana faktor masa.

Penulis-penulis kitab Injil ini sebenarnya tidak semuanya hidup sezaman dengan Nabi Isa dan di antaranya tidak pula pernah menyaksikan peristiwa itu. Matthew misalnya, dikatakan ia pengikut Nabi Isa tetapi dia menulis selepas 30 tahun peristiwa ini berlaku. Sedangkan yang dipegang oleh orang-orang agama Kristian hari ini adalah terjemahan daripada penulis asal yang hilang itu. Mark pula tidak kenal pun Nabi Isa walaupun ia murid kepada Petrus dan Petrus itu adalah murid Nabi Isa. 

Luke pula bukanlah murid kepada murid-murid Nabi Isa tetapi murid kepada Paul yang menjadi musuh kepada Nabi Isa. John pula yang juga penulis Injil tetapi ia menulis setelah 70 tahun daripada bersembunyinya Nabi Isa. Itu pun semua tulisan asli kitab Injil ini telah hilang. Penterjemahnya juga tidak diketahui dan tidak dikenali. Pembukuan kitab-kitab ini pula selesai setelah sepuluh tahun daripada peristiwa-peristiwa itu. Hakikatnya maklumat ini dari segi kebolehpercayaan (reliability) dan kesasihannya (validity) adalah diragui sekali.

Jadi, kita tidak hairanlah mengapa percanggahan fakta ini berlaku dengan begitu banyak. Percanggahan ini memungkinkan persoalan apakah ia merupakan kitab suci atau kitab yang telah ternoda? Apakah Kristian hari ini merupakan Kristian asli yang dibawa oleh Nabi Isa atau ciptaan gereja selepas Nabi Isa. Persoalan yang timbul dalam pemikiran di antaranya ialah para nabi sebelum Nabi Isa mengatakan:

i. Tuhan itu Esa tetapi selepas kedatangan Nabi Isa, Kristian mendakwa Tuhan menjadi Tiga Dalam Satu.
ii. Allah SWT tidak mempunyai anak tetapi selepas kedatangan Nabi Isa, Kristian mengatakan Tuhan ada anak.
iii. Penebusan dosa adalah dengan cara mentaati Allah SWT tetapi selepas Nabi Isa datang adalah dengan penyaliban. Persoalan ini mungkin dapat dijawab bilamana meneliti perbincangan yang penyelidik cuba cungkil berasaskan penemuan penyelidikan ini.

Rujuk halaman 75-76 dalam buku Mengapa Kami Memeluk Islam untuk lebih lanjut.

Wednesday, December 11, 2013

Tidak Puas Hati Dengan Agama Asal

Di antara yang dapat diketengahkan dalam konteks ini ialah berasaskan dari luar negara. Di antara mereka yang terlibat ialah Nuh Ha Nim Keller, Rob Wicks, Kaci Starbuck, Mr. Antonius dan Prof. 'Abdul'I-Ahad Dawud. Setakat ini tidak kedapatan dalam penyelidikan yang dapat dirujuk dalam konteks Malaysia.

Nuh Ha Him Keller akhirnya menolak Kristian dan memeluk Islam pada 1997 setelah ditelitinya secara mendalam antara Kristian dan Islam. Pertama, Kristian katanya mempunyai fakta yang bagus untuk diyakini tetapi ia bercampur dengan pengeliruan di mana wujudnya perbezaan dan tiada peraturan yang standard. Keduanya, kesukaran doktrin atau konsep seperti Triniti: 'God the Father' yang memerintah dunia dari heaven, Jesus yang membela manusia di dunia dan Roh Al-Qudus (Holly Gost) digambarkan sebagai White Dove yang mempunyai fungsi agak kecil. Baginya, Godfather yang menguasai kedua-duanya itu.

Al-Qur'an katanya memberi gambaran yang tepat dan jelas. Al-Qur'an menjelaskan tujuan dijadikan manusia iaitu untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Bagaimanapun, ia menjelaskan sebagai satu cara hidup yang boleh diamalkan seharian.

Rob Wicks berasal daripada keluarga yang kuat Kristian (family of minister) di Mississippi, USA. Beliau berkawan dengan beberapa rakan Muslim terutamanya yang orthodox Muslim. Ini memberikannya perbezaan di antara Nation of Islam (NOI) dengan Islam yang sebenarnya. Berasaskan sifatnya memahami sesuatu perkara secara saintifik di mana bukti adalah menjadi asasnya, beliau melihat agama dalam konteks ini. Beliau meneliti aspek agama di internet khasnya mengenai Kristian. Didapati dalam bible banyak fakta yang tidak sama. Paling penting baginya ialah tentang Trinity. Jelasnya I John 5:7 salah satu yang palsu. 

Apabila beliau membaca Matthew 19:16-17, Jesus berkata: "Why callest thou me God?"  Itu membuktikannya bahawa Jesus bukan Tuhan. dan Tuhan tetap Satu tetapi kebanyakan orang Kristian memikirkan bahawa Jesus was being tongue-in-cheek at this point. Jelasnya lagi, kiranya beliau menerima ini, ia adalah tidak jujur kepada dirinya sendiri. Beliau menegaskan bahawa Jesus tidak mengatakan dirinya Tuhan tetapi mengajar mempercayai Tuhan yang Satu. Beliau akhirnya memeluk Islam. Beliau juga membuat kesimpulan bahawa sekiranya Muhammad tidak diterima sebagai nabi, maka tiadalah nabi lagi sebelum ini. Katanya, beliau juga tertarik dengan QS 21:30 tentang asal kejadian langit dan bumi yang pada mulanya bercantum. Islam katanya menyebabkan dia lagi berminat untuk mengkaji tentang astronomi.

Rujuk halaman 68-69 dalam buku Mengapa Kami Memeluk Islam.

Tuesday, December 10, 2013

Embriologi Dan Manusia

Dengan konteks ini ada beberapa aspek yang ditekankan iaitu bermula dengan peringkat pertama kejadian manusia iaitu dijadikan daripada segumpal darah (Alaq), jantina bayi, darah beku di Uterus dan tiga peringkat perkembangan janin dalam rahim serta aspek-aspek setelah dilahirkan dan menjadi manusia yang sempurna iaitu susu ibu, peredaran darah, jari manusia (urat jari) dan lapisan kulit (saraf penerima sakit).

Manusia Dijadikan Daripada Ketulan Darah (Alaq)

Beberapa tahun dahulu sekumpulan ilmuan Arab mengumpul maklumat mengenai kejadian manusia daripada Al-Qur'an. Ini sebagai memenuhi apa yang dituntut oleh Al-Qur'an surah An-Nahl (lebah, 16:43 yang berbunyi maksudnya,

"Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu kecuali orang-orang lelaki yang kami beri wahyu kepada mereka maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui."

Dalam Al-Qur'an Surah Al-Anbiyaa' (Nabi-nabi), 21:7 yang berbunyi maksudnya,

"Dan Kami tidak mengutus rasul-rasul sebelum mu (wahai Muhammad) melainkan orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka (bukan malaikat) maka bertanyalah kamu kepada orang yang berilmu jika kamu tiada mengetahui."

Kalau diperhatikan dua ayat ini daripada surah yang berbeza dan ayat yang berbeza tetapi makna dan susunan perkataannya pun adalah sama. Ini membuktikan bahawa pesanan ini amat  dititikberatkan. Diulanginya supaya manusia jangan lupa. Maksudnya jangan lupa bertanyakan kepada orang yang lebih tahu kiranya tidak tahu.

Kumpulan ilmuan Arab itu menjumpai Prof. Dr. Keith Moore iaitu pakar dalam bidang embriologi dan Pengerusi Jabatan Anatomi, University of Toronto, Kanada. Sehingga sekarang (2004) beliau adalah autoriti yang paling tinggi di dunia dalam bidang Embriologi, Prof. Keith Moore meneliti terjemahan Al-Qur'an mengenai embriologi yang disebut dalam Al-Qur'an itu adalah menepati dengan apa penemuan kajian terkini di badang ini. Bagaimanapun, jelasnya lagi bebarapa ayat lagi yang disebut dalam Al-Qur'an secara saintifiknya beliau tidak dapat komen lagi setakat ini kerana belum lagi membuat kajian dan belum lagi ditulis sebarang maklumat dalam kajian embriologi setakat ini. Dalam konteks kejadian manusia juga Al-Qur'an Surah Al-'Alaq, 96:1-2, bermaksud:

"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia daipada sebuku darah beku."

Perkataan Al-Alaq, di samping bermakna sebuku darah beku ia juga bermakna sesuatu yang melekat seperti lintah. Prof. Keith Moore tidak mempunyai pengetahuan sama ada embrio pada peringkat awal itu melekat seperti lintah. Beliau kemudiannya menggunakan mikroskop yang berkuasa tinggi meneliti di bilik kajiannya dan meneliti juga gambar rajah lintah yang melekat di suatu benda, akhirnya beliau agak hairan bahawa apa yang dinyatakan dalam Al-Qur'an itu adalah sama dengan apa yang dilihatnya. Prof. Keith Moore mengakui bahawa manusia tidak dapat melihat perkembangan bayi dalam rahim ini melainkan dengan mikroskop. Jelasnya lagi mikroskop hanya direka pada abad ke-17 dan tidak pernah digunakannya sehingga abad ke-18.

Rujuk halaman 60 dalam buku Mengapa Kami Memeluk Islam untuk lebih lanjut.