Monday, December 9, 2013

Kegelapan Wujud Di Laut Dalam

Pakar dalam hal laut, Prof. Durga Rao dari King Abdul Aziz dari Universiti di Jeddah telah diminta komen ayat mengenai kegelapan di lautan dalam, iaitu Al-Qur'an Surah An-Nuur, 24:40 yang bermaksud seperti berikut:
"Atau (orang-orang kafir itu keadaannya) adalah umpama keadaan (orang yang di dalam) gelap-gelap di lautan yang dalam yang diliputi oleh ombak yang bertindik ombak, di sebelah atasnya pula awam tebal (demikianlah keadaannya) gelap gelita yang berlapis-lapis, apabila orang itu mengeluarkan tangannya, ia tidak dapat melihatnya sama sekali. Dan (ingatlah) sesiapa yang tidak dijadikan Allah SWT menurut undang-undang-Nya mendapat cahaya (hidayah petunjuk) maka ia tidak akan beroleh sebarang cahaya (yang akan memandunya ke jalan yang benar)."

Prof. Rao menjelaskan bahawa hanya dengan menggunakan peralatan yang moden sahaja manusia dapat tahu bahawa di dalam lautan yang dalam itu gelap. Manusia katanya tanpa menggunakan peralatan moden hanya dapat menyelam sedalam 20-30 meter sahaja dan tidak akan dapat hidup di bawah daripada 200 meter bagi lautan yang dalam. Kegelapan ini adalah kerana sinaran cahaya yang mempunyai tujuh warna iaitu ungu, biru, hijau, kuning, oren, biru nila dan merah berbeza penyerapannya. Cahaya itu tidak akan menembusi air yang dalam. Cuma di peringkat atas sahaja di antara 10-15 meter boleh menyerapi ke dalam air.

Oleh itu, sekiranya seseorang penyelam berada melebihi 25 meter di dalam air, kiranya ia luka terkena batu atau seumpamanya ia tidak akan dapat melihat warna darahnya, kerana sinaran warna merah tidak dapat menembusi air sedalam itu. Begitulah juga pada cahaya oren pada kadar melebihi 30-50 meter, kuning di antara 50-100 meter, hijau di antara 100-200 meter, biru melebihi 200 meter dan seterusnya ungu dan biru nila tidak melebihi 300 meter. Begitulah seterusnya makin dalam makin gelap dan bilamana dalamnya melebihi 1000 meter kawasan itu amatlah gelap sekali ( Ocean, Elder and Pernetta, p.27). Prof. Durga membuat kesimpulan tidak mungkin manusia biasa dapat menghuraikan fenomena sebegitu baik. Ini bermakna ia datang daripada kuasa yang luar biasa.

Rujuk halaman 59 dalam buku Mengapa Kami Memeluk Islam untuk lebih lanjut.

Sunday, December 8, 2013

Kekuatan Besi

Al-Qur'an telah menjelaskan aspek ini lebih daripada 1400 tahun dahulu lagi. Malah dalam Al-Qur'an, surah ke 57 yang diturunkan di Madinah ada mengandungi 29 ayat yang mana surah ini dikenali Allah SWT menciptakan besi dengan keadaannya yang mengandungi kekuatannya secara tersendiri dan ia memberikan pelbagai faedah kepada manusia semoga dapat dipergunakannya untuk menegakkan agama Allah SWT serta menolong para rasulnya dan supaya lebih mengenali tentang kekuasaan Allah SWT. Perhatikan sahaja pada QS, Al-Hadid, 57: 25 yang bermaksud,

"...Dan Kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai-bagai faedah lagi bagi manusia (dijadikan besi dengan keadaan yang demikian, supaya manusia mempergunakan faedah-faedah itu dalam kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah SWT tentang orang yang (mempergunakan kekuatan handalnya) dalam menegak dan mempertahankan agama Allah SWT serta menolong rasul-rasul-Nya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya) sesungguhnya Allah SWT Maha Kuat lagi Maha Kuasa."

Apa yang dijelaskan di sini besi ialah keras dan kuat. Sekarang terbukti bahawa besi sebenarnya bukanlah asalnya dari planet bumi tetapi dari planet lain. Ini kerana kepanasan cahaya matahari tidak boleh menghasilkan besi. Cahaya matahari pada kadar 6, 000 darjah Celcius, manakala kepanasan tertingginya (tengah) sehingga 20 juta Celcius. Apabila kepanasan terlampau ia meletup dan percikan letupan itu bertaburan memasuki ruang angkasa langit yang mempunyai gravitinya tersendiri dari langit. Kini kajian sains, terbukti besi bukanlah berasal dari bumi tetapi dari luar daripada ruang luaran.

Geografi

Perkadaran Hujan

"Dan yang menurunkan air dari langit menurut kadar (yang diperlukan) lalu Kami hidupkan dengan air itu negeri yang mati, seperti itulah kamu akan dikeluarkan (dari dalam kubur)."
                                                                                                                       (Surah Az-Zukhruf, 43:11)

Kajian sains mencatatkan bahawa kira-kira 16 juta tan air menjadi wap daripada bumi dalam satu saat. Angka ini menjadikan jumlah trillion tan air dalam satu tahun. Angka ini bersamaan dengan sukatan hujan ke buni setahun. Ini bermakna adanya perimbangan wap yang naik dengan hujan turun ke bumi.

Rujuk halaman 57-58 dalam buku Mengapa Kami Memeluk Islam untuk lebih lanjut.

Thursday, December 5, 2013

Bumi dan Gunung-ganang

Dr. Zaglool Al-Najjar, pemegang ijazah Ph.D dalam geologi dari Wales University menjelaskan bahawa Al-Qur'an ada menyebut 49 versi yang berbeza tentang gunung. Dalam satu daripada versi ini Al-Qur'an menyebut gunung sebagai pasak. Surah An-Naba' 78: 6-7 bermaksud:

"Mengapa kamu ragu-ragukan kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang telah mati? Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan? Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya?"

Para ahli sains kini mengakui bahawa gunung mempunyai pasaknya secara tersendiri. Apa yang kita lihat atas permukaan ini ketinggiannya itu hanya sedikit sahaja jika dibandingkan yang tertanam dalam bumi. Contohnya kemuncak Gunung Everest (gunung yang paling tinggi di dunia), ketinggian puncak yang terpacak di bumi ini cuma sembilan km tetapi yang bahagian dalam bumi batu gunung ini jauh terpancak ke dalam sehingga 125 km.

Sepertimana tiang khemah yang terpacak ke dalam bumi bagi menegakkan khemah daripada diterbangkan oleh tiupan angin, begitulah juga fungsinya gunung ini terpacak teguh sebagai paksi ke dalam bumi bagi menahan sebarang pergerakan tanah, air dan juga plat yang menyaluti paksi atau pasak (teras) pada gunung berkenaan. Dengan ini, kehidupan seperti tumbuhan, binatang dan manusia boleh berterusan sepertimana hari ini. Di sinilah bila diteliti, ia menggambarkan kebesaran Allah SWT. Firman-Nya dalam Al-Qur'an Surah Al-Hijr 15:6 bermaksud:

"Dan Dia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya ia tidak menghayun-hayunkan kamu dan Dia mengadakan sungai-sungai serta jalan-jalan lalu lalang supaya kamu dapat sampai ke matlamat yang kamu tuju."

Firman Allah SWT lagi:

"Dia menciptakan langit tanpa tiang yang kamu melihatnya dan Dia meletakkan gunung-ganang (di permukaan) bumi supaya bumi itu tidak menggoyangkan kamu..."
                                                                                                                                       (Luqman 31: 10)

Bumi, laut dan api

Penemuan terkini di kalangan para ahli sains membuktikan bahawa hampir 70% daripada gunung berapi wujud di dasar laut. Kawasan-kawasan utamanya bagi gunung berapi yang dibawah lautan merangkumi satu jarak yang jauh iaitu kira-kira 70,000 km terbentuk menerusi dua kaedah kewujudannya iaitu:

i. Plat bumi terpisah melalui perolakan dan larva gunung berapi bawah memenuhi rekahan itu; atau
ii. Lava dari bawah tanah menolak ke atas dan memisahkan plat bumi.

Lava yang dihasilkan itu berbentuk basalt atau dalam bahasa saintifiknya dikenali dengan nama MORB (Mid Oceans Ridge Basalt). MORB ini sebenarnya meliputi seluruh dasar lautan dan juga merupakan jenis batu yang lazim dijumpai di atas muka bumi ini. MORB ini juga adalah menjadi tempat yang banyak berlaku gempa bumi, tetapi ianya pada skala yang rendah. Para saintis setakat ini (2006) tidak pernah merekodkan sebarang letusan gunung berapi di sini, biar pun keladak-keladak gempa bumi ini seperti ini pernah dikesan.

Para saintis telah melakukan kajian dan mendapati bahawa selepas kejadian tersebut, muncullah sejenis batu basalt yang baru dan air laut pula mengandungi bahan-bahan kimia yang panas dan organisme laut menjadi mati.

Letusan gunung berapi di dasar laut sebenarnya telah pun disebut dalam Al-Qur'an sejak 1400 tahun dahulu lagi, di mana Allah telah berfirman QS, Ath-Thuur, 52:6 yang bermaksud, "Dan laut yang di dalam tanahnya ada api".

Untuk membuat kajian seterusnya dalam aspek ini, para saintis sebenarnya terpaksa melalui dua halangan yang besar iaitu menyelami ke dasar lautan dan masuk ke dalam bahagian tanah yang di bawah lautan berkenaan. Oleh itu aneh sekali bagaimana Al-Qur'an telah menyebut hal ini dengan kesimpulan yang ringkas tetapi padat. Inilah yang membuktikan Allah yang Maha Besar dan Maha Mengetahui. Al-Qur'an bukanlah karangan Nabi Muhammad SAW sebagaimana yang didakwa oleh ornag-orang bukan Islam hari ini.

Rujuk halaman 55-56 dalam buku Mengapa Kami Memeluk Islam untuk lebih lanjut.

Wednesday, December 4, 2013

Penciptaan Bumi

Dikatakan bumi ini dicipta oleh Allah SWT dalam enam masa iaitu dalam Al-Quran, 32:4 yang bermaksud,

"Allah SWT yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa."

Mengikut Prof. Dr. Najjar, enam masa ini bukanlah mengikut masa yang kita fahami tetapi adalah membawa maksud enam peringkat iaitu:
1. Peringkat langit dan bumi ini pada satu jisim dan satu entiti.
2. Peringkat berlakunya Letupan Besar (Big Bang).
3. Peringkat langit dipenuhi asap (selepas berlakunya letupan itu).
4. Peringkat Allah SWT memerintahkan bumi supaya terbentuk dan alam sejagat juga terwujud.
5. Peringkat terbentuknya atmosphera dan hidrosfera
6. Peringkat ciptaan gunung-ganang.

Ahli sains moden satu demi satu mencipta teori dan membuktikan bahawa apa yang disebut dalam Al-Quran itu benar, paling kurang sekarang telah terbukti diakui oleh para ahli sains barat daripada peringkat 1, 2 dan 3. Al-Qur'an menjelaskan peringkat asalnya berupa asal dalam QS Fussilat 41:11 yang bermaksud,

"Kemudian Ia menujukan kehendak-Nya ke arah (bahan-bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap..."

Bentuk Bumi

Sejak zaman silam manusia percaya bahawa bumi ini rata terbentang luas. Dengan ini mereka juga takut untuk mengembara jauh sebab nanti akan sampai ke penghujung dunia, mereka akan jatuh entah ke mana tidak berpijak lagi. Bagaimanapun, pada tahun 1597 Sir Francis Drake, seorang pelayar Inggeris telah mengelilingi dunia. Ini membuktikan dunia ini bulat. Sila teliti ayat dalam Al-Qur'an ini yang bermaksud:

"Tidakkah kamu memerhatikan bahawa sesungguhnya Allah SWT memasukkan malam pada siang dan memasukkan siang pada malam(silih berganti) dan Dia tundukkan matahari dan bulan masing-masing berjalan sampai kepada waktu yang ditentukan, dan sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."
                                                                                                                             (Surah Luqman, 31:29)

Apa yang perlu ditekankan di sini ialah kejadian ini hanya boleh berlaku secara perlahan kerana bumi ini bulat (sfera) berpusing dan beredar (bergerak). Kiranya bumi ini rata sudah tentu pergantian malam ke siang dan siang ke malam itu secara tepat.

Peratusan Bumi (Tanah) Dan Laut

Kadar laut (air) dan tanah (daratan) mengikut kajian Commander Naval Meteography Command 1020 Balch Blvd, Stennis Space Center, Mississipsi 39529 - 500, ialah sebanyak 71% (air) dan 29% daratan. Mengikut kajian sains seterusnya telah membuktikan bahawa kadar peratus air meliputi dunia ini ialah sebanyak 71.111% manakala daratan pula ialah sebanyak 28.889%. Bagaimanakah ini dapat dikaitkan dengan Al-Qur'an?

Untuk ini, dijawab oleh satu penemuan kajian oleh Dr. Tariq AlSuwaida (2002) bahawa sebenarnya Al-Qur'an telah memberi jawapan secara penelitian bagi mereka yang cuba menelitinya. Mengikut Dr. Tariq bahawa dalam Al-Qur'an telah menyebut laut  mengira secara matematik mudah iaitu sepertimana berikut:

Laut + Tanah = 32 + 13 = 45
Oleh sebab itu kadar peratusnya:
Laut = 32/45  x 100 = 71.111%
Tanah = 13/45  x 100 = 28.889 %

Secara kasarnya ialah laut sebanyak 71% dan tanah 29%. Ini sangatlah menakjubkan kerana ia membuktikan kebesaran Allah SWT yang mewahyukan Al-Qur'an kepada Nabi Muhammad (SAW) yang tidak pandai membaca dan menulis kira-kira 1400 tahun dahulu wujud perkara yang 'ajaib sebegini.

Rujuk halaman 53-54 dalam buku Mengapa Kami Memeluk Islam untuk lebih lanjut.

Tuesday, December 3, 2013

Matahari Beredar

Kepercayaan kumpulan ahli falsafah dan ahli sains pada zaman dahulu sejak daripada zaman Greek dan Rome lagi bahawa bumi ini tidak bergerak atau statik di tengah alam maya ini dan cakerawala lainnya termasuklah matahari. Pada tahun 1512, Copernicus melahirkan teori bahawa matahari tidak bergerak dan berada di tengah manakala cakerawala lainnya yang bergerak. Pada tahun 1609, seorang ahli sains Jerman iaitu Keppler melahirkan teori bahawa semua planet bukan sahaja bergerak di orbit yang berbentuk elips mengelilingi matahari tetapi juga berpusing pada paksinya masing-masing pada kelajuannya tersendiri. Dengan pengetahuan ini membolehkan mereka lebih memahami terjadinya siang dan malam. Berkaitan dengan ini sila rujuk Al-Qur'an Surah Al-Anbiyaa, 21:33 yang bermaksud,

"Dan Dialah (Tuhan) yang telah menjadikan malam dan siang, serta matahari dan bulan, tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing (di angkasa lepas)."

Begitulah juga kita dapati dalam Al-Qur'an surah Yaasin,36: 40, yang bermaksud,

"(Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah mengejar bulan, dan malam tidak dapat mendahului siang, kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing."

Daripada penemuan para ahli sains sekarang telah membuktikan bahawa ia telah pun dinyatakan dalam Al-Qur'an sejak daripada 1400 tahun dahulu lagi. Apakah kita tidak berfikir lagi kebenaran kitab Al-Qur'an?

Matahari Juga Akan Berakhir Pada Suatu Masa Nanti

Sesungguhnya Tuhan telah menjadikan apa sahaja di dunia termasuklah apa yang wujud di angkasaraya ini pada hakikatnya tidaklah kekal. Begitulah juga matahati khasnya yang telah memancarkan cahaya yang begitu hebat sejak lebih daripada lima bilion tahun dahulu. Ini sebenarnya sudah ditakdirkan oleh Allah SWT Yang Maha Esa. Al-Qur'an Surah Yaasin, 36:38 yang bermaksud,

"Dan matahari berjalan di tempat peredaran yang ditetapkan baginya, itu adalah takdir Tuhan Yang Maha Kuasa lagi Amat Mengetahui."

Dalam konteks Bahasa Arab, penggunaan mustaqarr bermakna suatu tempat atau masa yang telah ditentukan. Ini bermakna Al-Qur'an telah menentukan tempat dan masanya yang tertentu bagi matahari bersinar ini. Implikasinya di sini iai akan juga berakhir. Sesuailah dengan hukum alam bahawa sesuatu yang ditakdirkan bermula oleh Allah SWT itu akan sampai masanya juga akan berakhir. Al-Qur'an telah menjelaskan ini sejak 1400 tahun dahulu lagi melalui nabi Muhammad (SAW) yang tidak pandai menulis dan membaca.

Bulan

Sejak dahulu kala manusia percaya bahawa bulan memancarkan cahayanya secara tersendiri ke bumi ini. Hal ini disangkal oleh penemuan para ahli sains yang menemui bahawa cahaya bulan sebenarnya adalah cahaya yang terpantul daripada cahaya matahari menyinari bumi. Bagaimana pun penemuan baru ini sebenarnya Al-Qur'an telah nyatakan sejak 1400 tahun dahulu lagi sepertimana dalam QS Al-Furqan 25:61 yang bermaksud,

"Maha Berkat Tuhan yang telah menjadikan di langit, tempat-tempat peredaran bintang dan menjadikan padaya siraaj (lampu @matahari) serta bulan yang menerangi."

Dalam bahasa Arab matahari di sebut Sham dan bulan Qamar. Di sini tepat sekali bahawa apa yang diperkatakan dalam Al-Qur'an 1400 tahun dahulu iaitu, siraaj (lampu @matahari) itu sama seperti penemuan para ahli sains moden iaitu bulan sendiri tidak mengeluarkan cahaya secara tersendiri tetapi adalah pantulan cahaya dari matahari. Inilah yang dilihat bulan itu bercahaya. Ini juga bermakna bahawa Al-Qur'an telah membezakan keaslian cahaya daripada matahari dengan cahaya yang terpancar pada bulan di waktu malam. Untuk penjelasan lagi tentang ini sila rujuk ayat-ayat Al-Qur'an ini yang bermaksud,

"Dialah yang menjadikan matahari bersinar dan bulan cahaya dan ditetapkan-Nya manzilah-manzilah (tempat-tempat) bagi perjalanan bulan itu supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan (waktu). Allah SWT tidak menciptakan yang demikian itu melainkan dengan hak. Dia menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya) kepada orang-orang yang mengetahui."
                                                                                                                                    (Surah Yunus, 10:5)

Sila perhatikan juga ayat Al-Qur'an ini yang bermaksud,

"Dan Allah SWT menciptakan padanya bulan sebagai cahaya dan menjadikan matahari sebagai pelita?"
                                                                                                                                   (Surah Nuhm 71: 16)

Rujuk halaman 49-51 dalam buku Mengapa Kami Memeluk Islam.

Monday, December 2, 2013

Bermulanya Kewujudan Alam Semesta

Para pengkaji astronomi dan astrofizik telah mengkaji beberapa lama mengenai kejadian alam semesta ini. Satu teori yang dikemukakan, The Big Bang Theory yang merumuskan bahawa satu letupan besar telah berlaku pada beberapa juta tahun dahulu. Letupan itu telah menghamburkan sisa-sisa benda besar yang meletup itu bertaburan di langit luas yang tidak bertepi. Ini telah mewujudkan sistem solar dan galaksi di mana bintang-bintang dan planet-planet berterusan meluncur laju pada orbitnya. Mengenai sebab terjadi letupan itu tidak diketahui. Bagaimanapun, Teori Letupan Besar ini mendapat pula pengesahannya daripada NASA (1989) berdasarkan wujudnya bukti-bukti peninggalan radiasi di angkasa luas. Kalau ditinjau dalam konteks Islam, ini adalah tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah SWT yang menjadikan alam ini. Dalam Al-Quran menjelaskan yang bermaksud sepertimana tercatat berikutnya:

"Dialah Pencipta langit dan bumi, bagaimana Dia mempunyai anak padahal Dia tidak mempunyai isteri. Dia menciptakan segala sesuatu dan Dia mengetahui segala sesuatu."
                                                                                                                           (Surah Al-An'am, 6:101)

"Dan apakah orang-orang kafir tidak mengetahui bahawasanya langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah satu yang padu, kemudian kami pisahkan antara keduanya. Dan daripada air Kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka, mengapakah mereka tidak juga beriman?"
                                                                                                                        (Surah Al Anbiyaa, 21: 30)

Di samping itu sebelum letupan itu para ahli sains berpendapat bahawa di angkasa raya waktu itu kewujudan kumpulan besar awan atau gas. Aspek ini ada persamaan dengan apa yang disebut dalam Al-Quran sebagai asap yang bermaksud,

"Kemudian Dia menuju kepada penciptaan langit dan langit itu masih merupakan asap, lalu Dia berkata kepadanya dan kepada bumi, "Datanglah kamu keduanya menurut perintahKu dengan suka hati atau terpaksa." Keduanya menjawab, "Kami datang dengan suka hati."
                                                                                                                         (Surah Fush Shilat, 41: 11)

Apa yang perlu ditekankan di sini ialah Al-Quran telah mendedahkan perkara ini seperti mana dalam ayat-ayat pada surah di atas sejak daripada 1400 tahun dahulu lagi kepada nabi Muhammad (SAW) yang tidak pandai menulis dan membaca. Ini adalah menunjukkan bukti benarnya Al-Quran, kitab suci bagi orang Islam.

Rujuk halaman 48-49 dalam buku Mengapa Kami Memeluk Islam.

Sunday, December 1, 2013

Mukjizat Al-Quran

Di luar negara: Di antara yang terlibat ialah Christopher (USA), Dr. Abu Ameena Bilal Phillips (USA) Yahiye Adam Gadahn, Los Angeles (USA), Anna Linda (Iceland) dan Jack Ellis.

Christopher (USA) pula telah mula diperkenalkan oleh rakan sekelasnya dengan Islam. Bila berkawan dengan beberapa pelajar Islam, beliau kian tertarik dengan keindahan Islam. Beliau mula membeli Al-Quran terjemahan dan membacanya, tetapi baginya masih kurang jelas. Beliau meneruskan dengan membaca lagi beberapa buku mengenai Islam dan yang membuatkan beliau terpikat tentang Islam bila mana beliau membaca Al-Quran terjemahan melalui pembacaan Abdullah Yusuf Ali. Akhirnya pada 2 Julai, 1995 beliau terus memeluk Islam.

Dr. Abu Ameena Bilal Phillips, (di lahirkan di Jamaica), telah belajar di Kanada dan mempunyai ijazah dalam Biochemistri. Salah satu bahan bacaannya, Islam: The Misunderstood Religion, oleh Muhammad Qutb. Apa yang amat menarik baginya dalam buku ini secara intelektual ialah Islam itu amat melengkapi. Manakala pada Toward Understanding Islam oleh Maulana Abul Ala Maudoodi pula huraiannya tentang Islam secara komprehensif. Inilah yang menyebabkan beliau memeluk Islam pada tahun 1972. Beliau kemudiannya belajar di Universiti Madinah dan mendapat ijazah dalam usuluddin, 1979, M.A di Universiti Riyadh, 1985 seterusnya  Ph.D pada 1994. Guru di sekolah swasta di Riyadh, di Universiti Cotabo, Philippines dan juga di American Universitym UAE. Beliau telah mengislamkan kira-kira 3000 orang tentera Amerika masa perang Teluk 1991 di Arab Saudi.

Yahiye Adam Gadahn, Los Angeles pula mula tertarik dan timbul keyakinan dengan Islam setelah beliau melayari internet tentang diskusi mengenai Islam. Ini diperkuatkan lagi keyakinannya tentang Al-Quran yang mengandungi 114 surah. Beliau yakin Al-Quran ini adalah benar-benar 'perkataan' Allah SWT. Akhirnya beliau memeluk Islam pada tahun 1995.

Anna Linda dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga beragama Kristian (Catholic). Setelah tamat universiti, beliau bekerja di beberapa tempat di dunia (kedutaan) tetapi akhirnya beliau berpusat di Denmark sejak tahun 1990. Beliau belajar dan menguasai bahasa Arab. Sikapnya tidak melihat sebarang agama melalui penganutnya tetapi adalah berdasarkan ajarannya ynag sebenar dalam agama berkenaan.

Sebelum ini beliau agak prejudis terhadap Islam kerana digambarkan dengan begitu buruknya oleh masyarakat barat terhadap Islam. Semua media, termasuk filem-filem tidaklah terkecuali dalam propaganda ini tetapi setelah beliau meneliti sendiri Al-Quran bukan sahaja dalam bahasa Arab, bahkan yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris iaitu khususnya Al-Quran terjemahan oleh Abdullah Yusoff Ali ia amat terpegun. Dalam AL-Quran banyak disebut tentang ilmu sains, penerokaan angkasa, perkembangan embrio, sains samudera, sains genetik, evolusi, geologi, asal usul kehidupan akuatik dan sebagainya.

Sebelum ini ia pernah dikatakan Al-Quran adalah satu versi Bible yang telah diubah. Aneh sekali katanya dalam Bible, tidak ada disebut. Beliau juga meneliti pelbagai agama lagi selain daripada Kristian dan Islam, iaitu agama Hindu dan Judaisme. Akhirnya beliau memilih Islam secara rasmi pada 4 Jun 2003 dan berhasrat menunaikan haji di Makkah.

Jack Ellis pada 2006 telah memeluk Islam setelah beliau mengkaji Al-Quran. Sebelumnya beragama Kristian. Beliau adalah ketika itu sedang bertugas sebagai Datuk Bandar di Macon di USA. Ianya juga orang kulit hitam yang pertama di Amerika dapat memegang jawatan Datuk Bandar dalam sejarah 176 tahun bandar raya berkenaan.

Beliau mengakui bahawa sejarah datuk neneknya dahulu adalah orang kulit hitam, beragama Islam dari Afrika, dibawa ke Amerika menjadi hamba. Jadi, baginya memeluk Islam ini adalah "Saya kembali ke akar umbi" (Mingguan Wasilah, 11/2/2007, hal. 18)

Rujuk halaman 42-43 dalam buku Mengapa Kami Memeluk Islam untuk lebih lanjut.