Monday, September 2, 2013

Kisah Nabi Musa a.s. dengan Firaun

Kisah Nabi Musa dan perpindahan beramai-ramai kaum bani Israel kerana kekejaman Firaun ada wujudnya persamaan di antara catatan Bible dengan Al-Quran. Kedua-dua kitab ini menyebut bahawa Raja Firaun mati lemas ketika mengejar Nabi Musa dan kaum Bani Israel dalam laut. Bagaimanapun Al-Quran menyebut kisah ini dengan tepat sekali sebagai satu tanda keajaiban Al-Quran: Surah Yunus, 10: 92, menyebut yang bermaksud; "Maka pada hari ini, kami biarkan engkau (Wahai Firaun) terlepas dengan badan mu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan oleh laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakang mu (supaya mereka mengambil iktibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan kami!"

Dr. Maurice Bucaile telah mengkaji dan membuktikan bahawa Raja Ramese II yang dianggap zalim bagi kaum Bani Israel (mengikut Bible) adalah tidak benar, kerana katanya Raja tersebut mati semasa Nabi Musa berlindung di negeri Madyan. Raja Firaun yang mati ketika mengejar Nabi Musa a.s. itu ialah yang bernama Mineptah, iaitu anak Raja Rames II.  Pada tahun 1898 mayat Raja Mineptah telah dijumpai dalam keadaan mumia di lembah raja-raja Mesir. Pada tahun 1975, Dr. Maurice bersama dengan para pakar doktor lain memeriksa mayat Mumia Mineptah dan telah mengesahkan bahawa raja Mineptah itu memang mati lemas.

Dengan penemuan ini, telah membuktikan bahawa keajaiban Al-Quran (surah Yunus, 10:92) itu. Mayat (Mumia) raja Mineptah itu sekarang di simpan dibilik mumia Diraja di Muzium di Kaherah, Mesir. Dr. Maurice Bucaille yang beragama Kristian itu mengkaji Al-Quran, kemudiannya menulis buku yang bertajuk, "The Bible, The Quran and Science" telah mengaku dengan sesungguhnya bahawa Al-Quran ini datangnya dari Allah sendiri. Beliau kemudiannya memeluk Islam (1975) dan mengakui akan kehebatan Al-Quran ini.

Apakah dengan bukti sebegini Al-Quran masih dikatakan meniru Bible? Kesimpulannya: Al-Quran ialah kitab daripada Allah.

Dengan bukti-bukti di atas, ia menunjukkan bahawa Al-Quran ini adalah benar-benar kitab daripada Allah. Ianya adalah kata-kata Allah yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW. Al-Quran ini tidaklah ditiru daripada Bible. Ianya melengkapkan dan membetulkan lagi segala ajaran yang telah disampaikan oleh para rasul yang terdahulu yang telah diselewengkan oleh mereka yang mengingkari perintah Allah.

Al-Quran adalah sebagai Al-Furqan atau batu ujian atau kriteria yang menapis yang bertentangan dengan perintah Allah yang sebenarnya dan mana yang patut diikuti.

Untuk lebih memahami topik ini, sila rujuk halaman 173-174 dalam buku Islam, Pelbagai Agama dan Kepercayaan.

Thursday, August 29, 2013

Wujudnya beberapa persamaan antara Bible dengan Al-Quran, bukanlah bermakna Quran meniru Bible

Didapati dalam Bible ada wujudnya beberapa persamaan dengan apa yang tercatat dalam Al-Quran. Ini bukanlah bermakna yang fakta dalam Al-Quran itu meniru daripada Bible seperti mana yang pernah dikatakan oleh sarjana Kristian. Sebenarnya wujudnya beberapa persamaan itu adalah disebabkan oleh Al-Quran dan Bible ini mempunyai sumber yang sama asalnya iaitu kata-kata Tuhan yang diperturunkan melalui para nabi-Nya semenjak dari Nabi Adam a.s. lagi sehinggalah kepada Nabi Muhammad SAW.

Bagaimanapun, Al-Quran dengan Bible ini hanya sedikit sahaja persamaannya. Ini kerana Bible telah banyak dan mungkin juga banyak yang di kurang dan ditambah daripadanya. Umpamanya perubahan yang dibuat oleh Paul sendiri. Begitulah juga adanya persamaan sedikit sebanyak di antara Perjanjian Lama (Old Testament) atau Taurat yang dibawa oleh Nabi Musa dengan Perjanjian Baru (New Testament) yang didakwa oleh penganut Kristian, dibawa oleh Jesus itu. Sesungguhnya wujudnya beberapa persamaan itu menunjukkan kitab-kitab  ini sebenarnya dari sumber yang Satu, iaitu kata-kata Allah. Al-Quran membenarkan ini sebagaimana dinyatakan dalam surah 89:17-19 yang bermaksud;

"Pada hal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal (17). Sesungguhnya (keterangan-keterangan yang dinyatakan (ini) ada (disebutkan) di dalam kitab-kitab terdahulu (18) kitab-kitab Nabi Ibrahim dan Nabi Musa " (19).

Rujud halam 165-166 dalam buku Islam, Pelbagai Agama dan Kepercayaan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai topik  ini.

Wednesday, August 28, 2013

Nabi Muhammad SAW seorang yang buta huruf

Persoalan penting yang perlu ditonjolkan lagi ialah Nabi Muhammad SAW seorang yang buta huruf. Jadi, bagaimana boleh Baginda menulis, mengarang atau meniru daripada kitab Bible atau kitab yang terdahulu daripadanya? Ini juga ditegaskan dalam Al-Quran surah Al-Ankabut, 29: 48 yang bermaksud,"Dan engkau (wahai Muhammad) tidak pernah tahu membaca sesebuah kitab pun sebelum turunnya Al-Quran ini, dan tidak pula tahu menulisnya dengan tangan kanan kamu; (kalaulah engkau dahulu pandai membaca dan menulis) tentulah ada alasan bagi orang-orang kafir yang menentang akan merasa ragu-ragu (tentang kebenarannya)".

Allah SWT memilih nabi seorang yang 'ummi' yang terkenal di kalangan orang Arab di Mekah masa itu, Baginda tidak pandai membaca dan menulis. Dengan ini tidak ada alasan bagi orang yang berfikir untuk mengatakan Nabi Muhammad SAW itu mengarang/menulis Al-Quran.

Berita tentang akan wujudnya Nabi Muhammad ini sebagai Rasulullah yang tidak pandai membaca dan menulis sebenarnya telah dikhabarkan oleh Allah dalam kitab Bible yang terdahulu. Ini ditegaskan dalam Al-Quran, 7:157 yang bermaksud, "(Iaitu) orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad SAW), Nabi yang ummi, yang mereka dapati tertulis, (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil ada di sisi mereka".

Ramalan tentang akan datangnya Nabi Muhammad SAW yang ummi ini, sebenarnya telah tertulis dalam kitab Bible Yesaya 29:12 yang bermaksud,"Jika kamu membawa naskhah gulungan itu kepada orang yang tidak tahu membaca dan menyuruh dia membacanya, dia akan berkata bahawa dia tidak tahu membaca".

Dalam Al-Quran, sekurang-kurangnya terdapat lebih daripada empat ayat yang berlainan yang menyebut tentang Nabi Muhammad ini sebagai ummi (tidak pandai membaca dan menulis). Di antaranya, surah Al-A'raf, 7:158 dan surah Al-Jumu'ah, 62:2.

Rujuk halaman 164-165 untuk lebih penjelasan mengenai buku Islam, Pelbagai Agama dan Kepercayaan.

Tuesday, August 27, 2013

Al-Qur'an adalah ditiru daripada Bible (Kristian) dan kitab Yahudi

Ada sesetengah pengikut Kristian mengatakan Nabi Muhammad mempelajari Al-Quran daripada seorang tukang besi yang beragaama Kristian dan berbangsa Rom, yang pada masa itu tinggal di luar kota Mekah. Nabi Muhammad pernah berjumpa dengan lelaki tukang besi itu tetapi ini adalah urusan untuk melihat pekerjaannya.

Tuduhan ini sebenarnya telah berlaku selepas Nabi berjumpa dengan lelaki itu. Sehubungan dengan ini, turunlah ayat Al-Quran, surah An-Nahl, 16:103 yang bermaksud; "Dan sesungguhnya Kami (Allah) mengetahui bahawa mereka berkata, "Sesungguhnya Al-Quran itu diajar oleh seorang manusia kepadanya (Muhammad SAW)" padahal bahawa orang yang mereka tuduhkan bahawa Muhammad SAW belajar kepadanya ialah bahawa Ajam (bukan Arab) sedang Al-Quran itu adalah bahasa Arab yang terang".

Alasan mereka yang menuduh itu tidak sekali-kali munasabah kerana adalah mustahil bahasa Arab dalam Al-Quran yang begitu indah dan tinggi nilainya itu diajar oleh orang yang bukan bangsa Arab dan tahu hanya sedikit sahaja bahasa Arab. Alasan ini samalah dengan orang Jepun yang hanya tahu sedikit sahaja bahasa Inggeris (English) mengajar Pujangga (sasterawan) Inggeris William Shakespeare yang amat terkenal.

Di samping itu ada pula tuduhan yang mengatakan bahawa Nabi Muhammad SAW telah mempelajari Al-Quran daripada Waraqah ibn Naufal yang buta (sepupu Khatijah R.A. iaitu isteri pertama Nabi Muhammad SAW) yang mahir dalam kitab Kristian New Testament (Perjanjian Baru). Sebenarnya perhubungan Nabi Muhammad SAW dengan para pendeta Yahudi dan Kristian amatlah terhad di kota Mekah ini. Pertemuan Baginda (Nabi Muhammad SAW) buat pertama kalinya iaitu semasa Waraqah sedang beribadat di depan Kaabah. Peristiwa ini pula adalah sebelum Baginda menjad Rasulullah. Waraqah mencium dahi.

Pada masa itu, Baginda amatlah terkenal di kota Makkah sebagai seorang yang baik dan jujur (Al-Amin). Apabila Baginda  menerima wahyu yang pertama, Baginda sekali lagi berjumpa dengan Waraqah di mana Waraqah menenteramkan jiwa baginda dengan mengatakan bahawa roh yang datang berjumpa dengan Baginda itu mempunyai ciri-ciri malaikat Jibrail. Tiga tahun selepas itu, Waraqah meninggal dunia. Nabi terus menerima wahyu selama 13 tahun di Makkah dan sepuluh tahun di Madinah. Sedangkan perhubungan Waraqah dengan Nabi Muhammad cuma tiga tahun sahaja mana mungkin orang yang telah mati boleh mengajar Nabi Muhammad SAW berterusan di Makkah (sepuluh tahun lagi) dan di Madinah (juga sepuluh tahun)?

Untuk penjelasan lanjut, sila rujuk halaman 161-162 dalam buku Islam, Pelbagai Agama dan Kepercayaan mengenai topik ini.

Monday, August 26, 2013

Allah adalah Tuhan yang sama yang disembah oleh Nabi Adam, Ibrahim, Musa, Isa dan Nabi Muhammad SAW (Islam)

Sebenarnya dalam konteks Islam, tidak ada sebarang percanggahan pun mengenai apa yang dipercayai oleh Kristian (asal) seperti dalam Bible yang mengesakan Tuhan. Islam teguh dengan kepercayaan bahawa kepercayaan kepada para Nabi dan rasul adalah menjadi salah satu daripada rukun Iman di mana kalau tidak mempercayainya, akan terkeluarlah daripada menjadi seorang Islam. Islam tetap dengan kepercayaan Tuhan itu Satu.

Dalam Islam dipercayai bahawa Nabi dan rasul adalah seramai 124,000 orang; tetapi yang menjadi rasul-Nya cuma 313 orang. Bagaimanapun yang tercatat nama dalam Al-Quran cuma 25 orang. Adam, Ibrahim, Musa dan Isa adalah jelas tercatat dalam Al-Quran, sebagai Rasul. Ini wajib dipercayai dan dihormati.

Dalam Al-Quran juga menyebut pada surah Al-'Alaa, 87:17-19 yang bermaksud, 

"Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal" (17)
"Sesungguhnya ini benar-benar terdapat dalam kitab-kitab yang dahulu" (18)
"(iaitu) Kitab-kitab Ibrahim dan Musa" (19).

Bukan itu sahaja malah dalam solat lima waktu bagi seluruh umat Islam bacaan pada tahiyat akhir, disunatkan membaca selawat ke atas Nabi Ibrahim. Kalau tidak membacanya, solat itu sah, tetapi tidak dapat pahala yang besar.

Huraian di atas menunjukkan bahawa Islam adalah asasnya sama dengan Kristian ini, melainkan cara amalan ibadat (seperti solat itu) dan juga tidak mengiktiraf Triniti itu. Islam tetap dengan keesaan Tuhan (Allah). Al-Quran Surah Al-Ikhlas, 112:1-4 yang bermaksud;

Katakanlah: Dialah Allah, Yang Maha Esa" (1)
"Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu" (2)
"Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan" (3)
"Dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia" (4)

Sila rujuk halaman 159-160  dalam buku Islam, Pelbagai Agama dan Kepercayaan untuk lebih lanjut mengenai topik ini.

Sunday, August 25, 2013

Paderi sendiri pun ada yang masuk Islam

Satu perkara yang perlu dipergiatkan penonjolan di sini ialah mereka yang masuk Islam ini adalah secara sukarela. Paling suci adalah dengan keikhlasan hatinya sendiri lantaran keinsafannya tanpa unsur paksaan dan tanpa dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran yang berunsur kebendaan. Ramai juga cerdik pandai daripada agama lain, bila ditelitinya Islam, didapati Islam ini sebenarnya agama terbaik, lalu dianutilah Islam. Ini berlaku di kalangan cerdik pandai agama itu sendiri terutama sekali di kalangan paderi atau Bishop Kristian.

Di antara yang terpenting ialah Prof. Adul'l-Ahad Dawud. Beliau telah mengkaji dengan sedalam-dalamnya mengenai Bible dan Al-Quran. Ditelitinya bahawa dalam Bible sendiri ada menjelaskan akan lahirnya nabi terakhir iaitu Muhammad. Ditelitinya ciri-ciri yang disebut dalam Bible itu ada pada Nabi Muhammad SAW. Akhir sekali beliau telah memeluk Islam. Hasil temu bual dengan Lim Jo Soon (Melaka), beliau mengatakan bahawa sebelum memeluk Islam beliau sudah menjadi mubaligh Kristian selama 13 tahun. Setelah menonton CD perdebatan di antara Ahmad Deedat dengan beberapa paderi Kristian, beliau tidak dapat tidur semalaman. Beliau mula mempelajari agama Islam dan akhirnya memeluk Islam. Kini beliau merupakan seorang pendakwah Islam yang gigih.

Akhbar Al-Riyad melaporkan bahawa seorang paderi di Itali memeluk Islam kerana tertarik dengan kesederhaan Islam itu sendiri. Beliau katanya melihat melalui televisyen pada awal Ogos, 2005; upacara pengebumian jenazah pemerintah 'Arab Saud, Raja Fahd di tanah perkuburan Al-Qud amatlah sederhana sekali. Malah jenazah Raja Fahd juga disembahyangkan bersama (satu sembahyang) dengan jenazah seorang lahi yang meninggal waktu itu dan dikuburkan di tempat yang serupa. "....kesederhanaan pengebumian diraja mengejutkan saya dan mengubah fikiran saya" kata paderi itu. Pengarah Yayasan Pendidikan Islam Jedah, Bdr Al Olyayan berkata bahawa penghijrahan paderi berkenaan kepada Islam ialah "berita amat baik".

Di samping itu kita tidak pernah dengar bahawa ada di antara sarjana Islam yang terkemuka adalah mereka memeluk Islam.

Untuk keterangan lebih lanjut, rujuk halaman 157-158 dalam buku Islam, Pelbagai Agama dan Kepercayaan.

Monday, August 19, 2013

Kristian hanya untuk bani Israel

Agama Kristian ini pada mulanya hanya untuk kaum Israel sahaja. Nabi Isa diutus hanya untuk kaum Israel dan tidak untuk segala bangsa seperti mana yang wujud pada hari ini. Alasan ini adalah berdasarkan kitab suci Kristian sendiri seperti mana berikut:

a. Herodes, raja Rom pada masa itu rasa terkejut dengan kelahiran Isa (Matthew, 2:3). Beliau bertanya mengenai tempat kelahiran Isa itu dan diberikanlah penjelasan oleh para imam dan ahli Taurat Yahudi bahawa ianya dilahirkan di Betlehem seperti mana dikhabarkan dalam Taurat yang akan bangkitnya seorang pemimpin dari kalangan kaum Israel untuk menggembaling (memimpin) kaum Israel  sendiri (Matthew, 2:6).

b. Semasa Nabi Isa mengutuskan 12 pengikutnya, baginda berpesan, "Janganlah kamu menyimpang ke jalan bangsa lain atau masuk ke dalam kota orang Samaria, melainkan pergilah kepada kambing-kambing yang hilang dari umat Israel." (Matthew, 10:5-6).

c. Sewaktu seorang perempuan Kan'an memohon Nabi Isa mengubati penyakit anak perempuannya, Nabi Isa menolak walaupun ini diminta muridnya sendiri. Nabi Isa menolak dengan alasan, "Aku diutus hanya kepada kambing-kambing yang hilang dari umat Israel." (Matthew, 15:23-24). "Kambing yang hilang" itu dalam konteks ini ialah orang-orang Israel yang mengingkari ketuhanan Allah yang Esa.

d. Murid-murid Nabi Isa mengakui, "Memberitakan Injil ini kepada orang Yahudi sahaja." (Kisah Para Rasul 11:19).

Apa yang diperkatakan di atas jelas membuktikan bahawa Nabi Isa diutus Allah adalah untuk menyambung apa yang didakwahkan oleh Nabi Musa dengan 'Taurat', bertuhankan Allah dan hanya kaum Israel sahaja. Bagaimanapun persoalan yang timbul di sini ialah mengapa ianya diburu oleh orang Israel sendiri. Ini perlu dirujuk keadaan sejarah kaum Israel masa itu. Di kala itu kerajaan yang menguasainya ialah kerajaan Rom. Kaum Israel tertindas di bawah kekuasaan raja Rom ini. 

Adalah menjadi hasrat penting bagi kaum Israel kehadiran Isa ini dapat memimpin kaumnya mengatasi masalah yang mereka hadapi masa itu, sebagaimana yang dikhabarkan dalam kitab Taurat bahawa akan lahirlah seorang pemimpin dari kalangan mereka untuk memimpin kaumnya iaitu Israel.

Bagi mendapat penjelasan lanjut, sila rujuk halaman 151-153 dalam buku Islam, Pelbagai Agama dan Kepercayaan. Hubungi 09-747 7434 (Ahad-Jumaat)